PERMATANG PAUH, 15 April:
PKR tidak akan diberi peluang langsung untuk memanipulasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh akan datang ini, kata Datuk Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kewangan berkata Barisan Nasional (BN) akan memastikan mereka bekerja keras untuk membersihkan pendapat salah mengenai isu GST di kawasan kubu kuat PKR itu.
Apabila ditanya mengenai cara yang dicadangkan dalam tempoh berkempen, Ahmad Maslan berkata, ia mungkin dilakukan dalam bentuk ceramah dan menyebarkan risalah dari rumah ke rumah.
“Kami berharap penduduk Permatang Pauh akan membaca risalah ini kerana ia mengandungi keterangan tepat dan garis panduan GST.
“Ia turut membantu menjawab soalan lazim dan kekeliruan rakyat mengenai GST.
“Sekiranya PKR terus menggunakan isu GST untuk meracun minda penduduk di kawasan ini, kami juga akan terus membersihkan minda mereka dari segala kekeliruan,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai memberi ceramah mengenai GST kepada guru dan pembantu akademik di Sekolah Menengah Kebangsaan Pauh Jaya, Permatang Pauh, hari ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penduduk Permatang Pauh akan faham manfaat GST dan berkata terdapat peningkatan dalam kefahaman mengenai isu ini.
“Kami akan pastikan penduduk di sini memahami faedah GST. Pihak pembangkang berkeras mahu meneruskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus tetapi kerajaan hanya mahukan enam peratus, jadi yang mana lebih baik?” soal Ahli Parlimen Pontian itu.
Beliau turut berkata, isu GST ini sudah semakin kurang diperkatakan di laman sosial media dan orang semakin kurang merungut, tidak seperti pada hari pertama ia dikuatkuasa pada 1 April lalu, maka menjadi semakin mudah untuk memahamkan penduduk Permatang Pauh (mengenai isu GST).
“Saya mengaku ia bukan kerja mudah untuk tetapi kami akan beri yang terbaik dan bersungguh-sungguh apabila cuba memahamkan penduduk mengenai apa sebenarnya GST dan ia bukanlah untuk menyusahkan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengulangi kenyataannya baru-baru ini yang menyebabkan kritikan termasuk kenyataan terbaru di Universtii Teknologi MARA (UiTM) di mana dia mengesyorkan pelajar universiti supaya memasak makanan mereka bagi mengurangkan kos melibatkan GST.
Beliau turut meminta rakyat supaya memberi kerajaan masa sebelum ia dapat diterima sepenuhnya dan tidak mengkritik beliau secara peribadi juga terhadap ibunya.
“Tolong jangan libatkan ibu saya kerana beliau tidak tahu apa-apa. Sya boleh terima semua kritikan, tidak mengapa,” katanya merujuk kepada kritikan hebat yang diberikan ke atasnya dan anggota keluarganya di media sosial selepas perlaksanaan GST.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/?p=80305#ixzz3XNhjslm0
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.