Sunday, April 19, 2015

PAS tetap sokong calon KEADILAN untuk kemenangan Pakatan

(Oleh Nazar Hashim)

PADANG SERAI 19 APRIL: PAS sepakat menyokong calon KEADILAN bagi mempertahan kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh pada Pilihan
Raya Kecil Parlimen itu 7 Mei nanti.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, suara-suara kecil berhubung isu pencalonan di PRK itu tidak mewakili PAS yang tekad mahu membantu calon Pakatan menang menewaskan kerajaan zalim Umno BN.

“Kita tidak boleh bersendirian jika inginkan kemenangan besar untuk menuju Putrajaya. Kemenangan calon KEADILAN adalah kemenangan Pakatan.
“Sepakat akan membawa berkat kerana kemenangan menjadi harapan semua komponen Pakatan.

“Atas keyakinan itulah, PAS telah pun membuka bilik gerakan bagi membantu KEADILAN menang,” kata Mohamad Sabu pada ceramah isu semasa dan perasmian Dewan Tuan Haji Harun Haji Rejab di Permatang Tok Dik, di sini, 17 April lalu.

Pengarah Pilihan Raya PAS PRK itu berkata, penindasan pemerintah yang berterusan ke atas rakyat perlu disekat Pakatan secara bersepadu.

“Sejak zaman Mahathir (Mohamad) kita ditindas dan dizalimi oleh pelbagai dasar yang menyekat kebebasan rakyat.

“Sekarang Najib Razak meneruskan dasar zalim BN untuk menyekat suara rakyat dan menghalang demokrasi melalui Akta Hasutan, Akta
Perhimpunan Aman dan pelbagai lagi dasar mereka.

“Takkanlah kita hendak sokong parti pemerintah yang zalim dan meninggalkan rakan kita dalam Pakatan Rakyat,” katanya lagi menangkis dakyah pihak tertentu berkenaan penggabungan PAS bersama Umno.

Beliau dalam pada itu menyeru rakyat berhimpun di Kuala Lumpur 1 Mei ini bagi menzahirkan bantahan terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST).

“Himpunan Tok Janggut ini bagi membuktikan kepada kerajaan bahawa rakyat semakin terhimpit dengan sistem yang diperkenalkan mereka.

“Ayuh rakyat di seluruh pelusuk negara kita turun ramai-ramai tunjukkan kepada kerajaan betapa sukarnya hidup rakyat dengan
pelaksanaan GST,” kata Mohamad Sabu lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-