Tuesday, April 14, 2015

PKR lancar jentera PRK Permatang Pauh malam ini sempena tarikh "Black 14"

Wan Azizah yang pernah menjadi wakil rakyat Parlimen Permatang Pauh hampir tiga penggal apabila menggantikan suaminya Anwar pada 1999 sebelum meletak jawatan pada Julai 2008 bagi memberi laluan Anwar mengambil alih semula Parlimen itu kini sudi menggantikan Anwar sekali lagi. - Foto Facebook Dr Wan Azizah Ismail.

KUALA LUMPUR, 14 April:

Seperti yang dijanjikan, hari ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melancarkan Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P44 Permatang Pauh.

Tarikh hari ini sengaja dipilih sebagai simbolik sempena tarikh 14 April 1999 yang digelar sebagai “Black 14′′ oleh penyokong PKR kerana bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara enam tahun setelah disabitkan bersalah atas empat pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin malam, Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, PKR bersama rakan komponen dakam Pakatan Rakyat (PR) akan melancarkan Jentera Pilihan Raya pakatan pembangkang bagi PRK Parlimen Permatang Pauh pada jam 8.30 malam ini.

Majlis pelancaran itu akan dilangsungkan di Dataran Rakyat Guar Perahu, bersebelahan Pusat Khidmat Parlimen Permatang Pauh, di Jalan Taman Guar Perahu.

“KEADILAN berbesar hati untuk menjemput seluruh rakyat dan rakan-rakan media bagi menghadiri majlis pelancaran ini.

“Jentera KEADILAN telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil ini,” kata Dr Afif Bahardin yang juga Exco kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Seberang Jaya.

Beliau menegaskan, kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah kubu terpenting untuk perjuangan PKR selama ini.

“Selain menjadi kerusi parlimen kepada Ketua Umum (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim – Permatang Pauh adalah nama yang dipilih untuk disematkan kepada Deklarasi Permatang Pauh – gagasan besar kepada perjuangan Reformasi dan KEADILAN,” kata beliau dalam kenyataan berkenaan.

“Pilihan Raya Kecil ini sangat penting di dalam usaha meneruskan agenda Reformasi dan masa yang sama memberi mesej jelas bahawa segala bentuk kezaliman, kepincangan, penyelewengan dan salahguna kuasa oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditentang,” tambahnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas satu mesyuarat khas pada 8 April lalu mengumumkan bahawa PRK Parlimen Permatang Pauh akan bermula dengan proses penamaan calon pada 25 April, diikuti pengundian awal pada 3 Mei, sebelum disusuli hari mengundi pada 7 Mei.

Ia diadakan ekoran penyandangnya Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun setelah disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas gagal dalam peringkat terakhir proses perundangan apabila petisyen memohon pengampunan diraja daripada Yang Dipertuan Agong yang difailkan oleh keluarganya ditolak oleh Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu.

PRK ini dijangka sengit kerana BN melalui UMNO sudah menyatakan komitmen meletakkan calonnya bertanding, selepas tidak berbuat demikian pada PRK Dewan Undangan Negeri Chempaka pada 22 Mac lalu.

Sementara itu di pihak PKR, Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Ismail pada 2 April sudah menyatakan kesediaan beliau untuk kembali menjadi wakil rakyat Parlimen Permatang Pauh yang beliau serahkan kepada Anwar pada 2004.

Bagaimanapun katanya keputusan itu akan ditentukan oleh kepimpinan PKR melalui satu mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu Wan Azizah yang juga ADUN Kajang tidak menolak mengenai khabar angin mengatakan anak perempuan keduanya, Nurul Nuha Anwar turut berminat menjadi calon dalam PRK Permatang Pauh.

Namun, beliau menjelaskan perkara itu juga akan ditentukan melalui mesyuarat PKR berkenaan selain perlu mendapat restu Majlis Pimpinan PR.

Wan Azizah sebelum ini telah bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 di Parlimen Permatang Pauh selepas suaminya Anwar dipenjara atas kesalahan salah guna kuasa.

Beliau ketika itu menewaskan calon BN, Datuk Seri Ibrahim Saad dengan majoriti 9,077 undi.

Dalam PRU berikutnya pada 2004, beliau berjaya mempertahankan kerusi parlimen tersebut setelah menang tipis dengan majoriti kecil menewaskan calon BN, iaitu bekas imam besar Masjid Negara, Firdaus Ismail.

Seterusnya pada PRU 8 Mac 2008, Wan Azizah yang sekali lagi dicabar Firdaus tetap dapat mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh, kali ini mewakili PKR selaku komponen Pakatan Rakyat (PR), yang juga disertai oleh PAS dan DAP.

Beliau seterusnya dilantik selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Namun tidak sampai lima bulan kemudian, pada 31 Julai 2008, beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang bagi memberi laluan kepada Anwar yang tamat tempoh lima tahun larangan bergiat cergas dalam politik selepas keluar dari penjara pada 2004 mengambil alih semula Permatang Pauh.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/14/pkr-lancar-jentera-prk-permatang-pauh-malam-ini-sempena-tarikh-black-14/#ixzz3XEsuUX12

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-