Wednesday, April 22, 2015

PRK Rompin: BN lawan PAS

Calon PAS, Nazri Ahmad (kiri) mengangkat tangan bersama calon BN, Datuk Hasan Arifin (kanan) setelah selesai proses penamaan calon bagi PRK Rompin, P.091 di pusat penamaan calon di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi. - TRP/Mokhsin Zamani

ROMPIN, 22 April:

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin menyaksikan pertarungan sengit satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) dan PAS pada hari pengundian 5 Mei depan.

Calon PAS, Ketua Pemuda Pahang, Nazri Ahmad tiba dan selesai menghantar borang di pusat penamaan calon pada 9.05 pagi diikuti calon BN, bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Hasan Arifin yang selesai menghantar borang pada 9.07 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Fadzillah Salleh berkata demikian ketika membuat pengumuman rasmi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Rompin di sini, hari ini.

Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli yang tiba pada 9.05 pagi bagaimanapun ditolak permohonannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Shukri ketika ditemui pemberita berkata dia diberitahu oleh pegawai SPR ketika menghantar borang pencalonan bahawa permohanannya ditolak disebabkan kempen yang dijalankannya terlalu awal.

Antara pemimpin tertinggi BN yang hadir adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Nazri juga diiringi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; pimpinan PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

Pilihan raya diadakan berikutan penyandang kerusi tersebut Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Jamaluddin telah dipilih sebagai anggota Parlimen Rompin selama enam penggal iaitu sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, dan pada PRU 2013, beliau mengalahkan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Hari pengundian PRK Rompin pada 5 Mei ini dan pengundian awal pada 30 April.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/22/prk-rompin-bn-lawan-pas/#ixzz3Y0hL4xj4

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-