Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) P019 Rompin. Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) P019 Rompin. Show all posts

Wednesday, May 6, 2015

"Kebenaran jangkaan Tun M makin terserlah"

FMT Reporters

Jangkaan Tun Mahathir bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang dan Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkannya semakin menunjukkan tanda-tanda kebenaran.
PETALING JAYA : Kemerosotan undi majoriti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin merupakan satu petanda penolakan rakyat terhadap Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.

Bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, rakyat menolak Najib kerana melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, Najib juga bertanggungjawab terhadap FELDA apabila harga sahamnya yang telah hilang lebih separuh daripada harga asal ketika disenaraikan di pasaran saham.

“Semuanya beban yang terangkum di bahu Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Ini kerana GST dilaksanakan oleh Najib dan FELDA pula terletak di bawah jagaannya.

“Isu GST dan FELDA yang ditambah dengan beban lain yang membelit Perdana Menteri seperti 1MDB, Sirul (Azhar Umar), (Datin Seri) Rosmah (Mansor) serta kehilangan sokongan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), telah menjadikan Najib semakin tidak diyakini lagi untuk terus memimpin negara ini,” tulisnya menerusi laman blognya shahbudindotcom.blogspot.com

Shahbudin berkata, keputusan yang diperoleh di Rompin juga memperlihatkan penyokong kuat UMNO iaitu pengundi luar bandar dan peneroka FELDA telah mula membuka mata terhadap apa yang berlaku dalam negara.

Beliau menambah, tidak mustahil keputusan di Permatang Pauh esok akan merangsang arus yang lebih hebat, berdasarkan penolakan ketara di PRK Rompin yang merupakan kubu kuat BN.

“Jangkaan Tun Mahathir bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang dan Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkannya semakin menunjukkan tanda-tanda kebenarannya.

“Bekas Perdana Menteri itu pasti akan meneruskan serangan pada tahap yang lebih serius lagi selepas ini untuk memaksa Najib berundur demi menyelamatkan UMNO dan BN. Rakyat pula sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk bersama-sama Tun Mahathir,” katanya.

- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/06/kebenaran-jangkaan-tun-m-makin-terserlah/#sthash.tisiLTUZ.dpuf

KIAMAT sudah semakin dekat bagi Najib, Umno-BN

Oleh Shahbudin Husin

Keputusan pilihanraya kecil Parlimen Rompin sudah pun diketahui. Di luar jangkaan sama sekali, majoriti undi BN merosot dengan teruk berbanding pilihanraya umum 2013 lalu.

Jika dalam pilihanraya umum lalu, majoriti BN ialah 15,114 undi, kini angkanya makin mengecil dengan pencapaian hanya 8,895 undi saja. Keputusan ini memperlihatkan BN kehilangan hampir separuh majoritinya.

Dalam pilihanraya kecil di mana hampir semua menteri, pemimpin negeri, jentera kerajaan, peruntukan dan segala macam kelebihan lainnya dipertaruhkan untuk memikat hati rakyat, tetapi hanya kemenangan sekecil ini yang mampu dicapai, ia tidak lain adalah petanda buruk bagi UMNO dan BN.

Hakikatnya, selain Rompin memang dikenali sebagai kubu kuat BN, ia juga merupakan kawasan Parlimen di negeri yang menjadi tapak politik Perdana Menteri, Najib Razak sendiri.

Kalau di negeri Pahang dan dalam pilihanraya kecil pula, keputusan ini ibarat "kiamat makin dekat" bagi UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Ini menandakan penyokong tradisi UMNO iaitu rakyat luar bandar dan peneroka Felda sudah mulai terbuka minda mereka terhadap apa yang berlaku dalam negara. Mereka bukan lagi totok kepada UMNO dan BN.

Sudah tentu UMNO dan BN menyalahkan peratusan turun mengundi yang merosot sebagai punca pencapaian yang kurang memberangsangkan ini, tetapi secara rasionalnya keputusan ini tidak lain adalah tanda penolakan terhadap Najib sebagai Perdana Menteri.

Mungkin sebab lain ialah kerana penolakan rakyat terhadap GST dan masalah berkaitan Felda, terutama harga sahamnya yang juga sudah hilang lebih separuh daripada harga asal ketika disenaraikan di pasaran saham dahulu.

Apa pun, semuanya merupakan beban yang terangkum di bahu Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Ini kerana GST dilaksanakan oleh Najib dan Felda pula terletak di bawah jagaannya.

Isu GST dan Felda yang ditambah dengan beban lain yang membelit Perdana Menteri seperti 1MDB, Sirul, Rosmah serta kehilangan sokongan Tun Mahathir, telah menjadikan Najib semakin tidak diyakini lagi untuk terus memimpin negara ini.
Kalau di Rompin yang merupakan kubu kuat BN sudah menunjukkan penolakan yang ketara, sudah tentulah keputusan di Permatang Pauh pada 7 Mei nanti akan merangsang arus yang lebih hebat lagi.

Melalui keputusan ini yang tidak dapat disangkal lagi sebagai bukti penolakan rakyat terhadap Najib, secara tidak langsung ia adalah "tonik tambahan" kepada perubahan yang sedang digerakkan oleh Tun Mahathir.

Ini adalah petanda bahawa jangkaan Tun Mahathir BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang dan Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkannya, semakin menunjukkan tanda-tanda kebenarannya.

Bekas Perdana Menteri itu pasti akan meneruskan serangan pada tahap yang lebih serius lagi selepas ini untuk memaksa Najib berundur demi menyelamatkan UMNO dan BN. Rakyat pula sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk bersama-sama Tun Mahathir.

Berdasarkan kebijaksanaan pengundi di Rompin ini, UMNO dan BN sudah tidak boleh diselamatkan lagi jika Najib berdegil mahu terus menghuni Seri Perdana. Rompin sudah menunjukkan tiada masa depan lagi buat UMNO dan BN selagi Najib menjadi Perdana Menteri.

Blog ini semalam menyarankan agar pengundi Rompin bertindak bijak dengan mengurangkan majoriti kemenangan BN bagi memberi mesej kepada Najib bahawa rakyat semakin tidak bersama dengannya dan hanya dengan adanya mesej itu yang disusuli dengan desakan ke arah pengunduran Najib, barulah masa depan parti dapat diselamatkan.

Apa pun, sekalung tahniah kepada pengundi Rompin kerana tidak meminggirkan diri daripada perubahan. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Monday, May 4, 2015

Ini bukti rakyat Rompin 'sudah faham' GST seperti yang dikatakan oleh Hasan Malek

PADAN MUKA?????? .... HIMPUNAN DERITA RAKYAT (HINDAR) DI ROMPIN, SURAM, MURAM, HAMBAR, DINGIN DAN LENGGANG???????
Kesiannnn sungguh kepada para pembenci ulama .... niat mereka untuk melihat suatu perhimpunan anjuran Dewan Ulama PAS Pusat Himpunan Derita Rakyat (HINDAR 2.0) di Bandar Muadzam Shah, Pahang malam tadi 3hb Mei 2015 bersamaan hari Ahad suram, muram, hambar, dingin dan lenggang tidak kesampaian, apabila ribuan warga Rompin turun beramai-ramai menyatakan sokongan bantah GST.

Walaupun notis pemberitahuan tukar lokasi dilakukan dalam masa yang amat singkat namun sambutan diberikan melebehi jangkaan.

Sebab tu rasa pelik bin hairan apabila Hasan Malek berkata penduduk Rompin menerima GST dengan hati terbuka sebab sudah faham.

Sunday, May 3, 2015

Lonjakan moral PAS, cawangan baru di tempat calon BN

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 03 Mei 2015.
ROMPIN: PAS mendapat lonjakan moral menjelang dua hari lagi tarikh mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin apabila sebuah cawangan baru PAS ditubuhkan di Kampung Leban Chondong di sini.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cawangan tersebut ditubuhkan sempena kemasukan 600 orang ke dalam PAS malam tadi.

Difahamkan, calon BN PRK Rompin mempunyai ramai saudara mara di Leban Chondong bahkan beliau berasal dari situ.

"Bagi PAS ini satu lonjakan yang amat menggalakkan kerana biasanya apabila menjelang pilihan raya yang kita lihat ialah orang PAS masuk Umno.

"Ini fenomena luar biasa. Sebelum ini 400 generasi kedua Felda sekitar Keratong telah menyertai PAS," katanya ketika ditemui di bilik gerakan Keratong 1.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, kesemua yang baru menyertai PAS akan diraikan dalam majlis jamuan rakyat tengah hari esok. - HARAKAHDAILY 3/5/2015

PAS cabar Najib, jangan jadi PM untuk Rompin sahaja

HARAKAHDAILY | 03 Mei 2015.
PAS mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memberikan harga rumah yang sama kepada semua generasi kedua dan ketiga (G2 & G3) Felda sebagaimana yang diberikan kepada warga Felda di Rompin.

Tindakan memberikan harga lebih murah dan makenisma lebih baik kepada warga generasi kedua Felda di Rompin menggambarkan sememangnya warga Felda terabai selama ini.

Kalau bukan kerana adanya Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, G2 dan G3 Felda di Rompin akan terus terabai. Ini membuktikan PAS membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di Rompin kali ini.

Rungutan harga rumah yang mahal dan mekanisma yang tidak membantu G2 and G3 memiliki rumah merupakan agenda utama dalam setiap dialog dengan warga Felda.

Hakikatnya, harga rumah antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit itu adalah di luar kemampuan golongan muda Felda di seluruh negara. Tapi hanya kerana bimbang dengan kebangkitan G2 dan G3 Felda dalam PRK Rompin kali ini, maka datangnya durian runtuh sedemikian daripada Najib.

Masalahnya ialah hanya mereka yang berada di parlimen Rompin boleh menikmati potongan RM32,500 untuk pembelian rumah secara jual-beli, dan tidak pada G2 dan G3 Felda di kawasan lain.

Yang amat dikesali ialah kenyataan Najib tidak mencerminkan sikap sebagai PM bagi semua warga Felda di tempat lain. Ia seolah-olah seperti kenyataan Pegawai Felda Wilayah sahaja kerana hanya nampak masalah di Rompin, sedangkan isu ini dibangkitkan oleh seluruh warga G2 dan G3 Felda seluruh negara.

Sebagai PM, PAS menyeru Najib agar bertindak sebagai PM bagi seluruh negara. Jangan hanya kerana nak selamatkan kedudukan dan undi di Rompin, lalu kita isytihar pelbagai habuan hanya bagi kawasan PRK sahaja.

Melihat sikap PM sedemikian, PAS menyeru seluruh warga G2 dan G3 Felda bangkit mendesak hak serta kemudahan dan harga yang sama diberi kepada generasi muda di Rompin turut dinikmati Felda seluruh negara.

Warga G2 dan G3 Felda di Rompin, undilah PAS untuk kesejahteraan kawasan-kawasan Felda yang lain. Atau kawasan Felda lain terpaksa menunggu nasib untuk diadakan PRK selagi kerajaan Umno-BN memerintah, barulah keperitan mereka akan dipandang dan kawasan mereka dituruni pelbagai insentif. Inilah nilai dan harga undi anda. - HARAKAHDAILY 3/5/2015

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Naib Presiden PAS
3 Mei 2015

Monday, April 27, 2015

Umno BN melatah slogan 'Satu Undi Tolak GST'

SALMIYAH HARUN|FOTO WAN ZAHARI

ROMPIN: Slogan 'Satu Undi Tolak GST' yang dibawa PAS pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin membuatkan Umno BN semakin melatah.

Pengarah PRK PAS Rompin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan turut memberi respons kepada isu GST yang dibangkitkan PAS sejak memulakan kempen di Rompin.

"Sampai Ahmad Maslan tanya balik kepada Pakatan Rakyat apa alternatif kerajaan sekiranya hapuskan GST.

"Malah calon BN di Rompin pun turut memberi respons dan mengatakan slogan kita mengarut," katanya ketika ditemui.

Bercakap kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS menyifatkan pemilihan slogan itu menepati kehendak rakyat bukan sahaja di Rompin bahkan seluruh negara yang terbeban dengan pelaksanaan GST.

Malah, katanya rata-rata pengundi yang ditemui marah kerana perbelanjaan mereka semakin bertambah dari hari ke hari.

Begitu juga, katanya dengan peniaga kecil-kecilan yang terpaksa menaikkan harga kerana kos yang mereka keluarkan dikenakan GST.

"Mereka beli kena GST tetapi bila jual balik tak boleh kenakan GST. Kalau kena GST mereka akan didenda, dia rugi terpaksa naikkan harga," katanya.

Justeru katanya, isu GST membuatkan pemimpin Umno bertelagah sesama sendiri sehingga Ahmad Maslan mengatakan Tun Mahathir tidak faham dengan GST apabila bekas Perdana Menteri itu turut membantah pelaksanaan cukai tersebut. - HARAKAHDAILY

Saturday, April 25, 2015

PRK Rompin: Isa Samad, jawablah isu Felda

HAZAYANI ZAKARIA
ROMPIN: PAS mendesak Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjawab segala isu berkaitan peneroka Felda yang masih gagal dijelaskan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin merupakan masa terbaik untuk Isa membuat penjelasan kerana sebahagian besar pengundi ialah peneroka.

Isu seperti kedudukan Felda Global Ventures Holding (FGVH) selepas disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan saham FGV yang jatuh katanya masih belum dijelaskan.

"Tan Sri Isa Samad kata beliau bersedia beri penjelasan mengenai isu-isu Felda yang dibangkitkan. Jadi inilah waktu yang sesuai.

"Apa yang dilakukan FGV dalam keadaan ekonomi tidak stabil?" katanya pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Rompin, Bandar Satelit Muadzam Shah, hari ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) juga membangkitkan Perjanjian Tanam Semula dan Pengurusan Kebun di antara Felda dan peneroka yang dilihat berat sebelah.

"Tidak munasabah setelah peneroka membayar hutang piutang dan memperolehi geran hak milik tanah, mereka sekali lagi dipaksa menandatangani perjanjian.

"Perjanjian untuk tanam semula ini pula menyebabkan peneroka terus membayar hutang kepada Felda, sampai tua pun tak habis," katanya.

Justeru beliau berkata, Anak menganjurkan Himpunan Perdana Selamatkan Felda di Felda Jeratong 4 bermula hari ini sehingga esok bagi membincangkan isu-isu peneroka.

"Esok ada seminar sehari yang menampilkan tokoh-tokoh yang berpengalaman dalam Felda dan bidang ekonomi.

"Peneroka boleh bertanya secara terus kepada mereka permasalah mereka," katanya.

Resolusi seminar itu katanya, akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media sama mendesak kerajaan mengkaji semula perjanjian di antara Felda dan peneroka.

"Kaji semula perjanjian supaya peneroka tidak terus terbeban," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan merasmikan himpunan malam ini. - HARAKAHDAILY

Wednesday, April 22, 2015

PRK Rompin: BN lawan PAS

Calon PAS, Nazri Ahmad (kiri) mengangkat tangan bersama calon BN, Datuk Hasan Arifin (kanan) setelah selesai proses penamaan calon bagi PRK Rompin, P.091 di pusat penamaan calon di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi. - TRP/Mokhsin Zamani

ROMPIN, 22 April:

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin menyaksikan pertarungan sengit satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) dan PAS pada hari pengundian 5 Mei depan.

Calon PAS, Ketua Pemuda Pahang, Nazri Ahmad tiba dan selesai menghantar borang di pusat penamaan calon pada 9.05 pagi diikuti calon BN, bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Hasan Arifin yang selesai menghantar borang pada 9.07 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Fadzillah Salleh berkata demikian ketika membuat pengumuman rasmi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Rompin di sini, hari ini.

Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli yang tiba pada 9.05 pagi bagaimanapun ditolak permohonannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Shukri ketika ditemui pemberita berkata dia diberitahu oleh pegawai SPR ketika menghantar borang pencalonan bahawa permohanannya ditolak disebabkan kempen yang dijalankannya terlalu awal.

Antara pemimpin tertinggi BN yang hadir adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Nazri juga diiringi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; pimpinan PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

Pilihan raya diadakan berikutan penyandang kerusi tersebut Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Jamaluddin telah dipilih sebagai anggota Parlimen Rompin selama enam penggal iaitu sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, dan pada PRU 2013, beliau mengalahkan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Hari pengundian PRK Rompin pada 5 Mei ini dan pengundian awal pada 30 April.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/22/prk-rompin-bn-lawan-pas/#ixzz3Y0hL4xj4

Berita Terkini: Hari Penamaan Calon PRK Rompin

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin, Pahang.
Laporan oleh: Dalia Ismail, Sarah M.Khir, Sean Augustin, Sukhbir Cheema dan Mokhsin Zamani
ROMPIN, 22 April:


Hari ini, berlangsung proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin, Pahang.

Setakat ini, tiga calon telah mengumumkan hasrat untuk bertanding pada PRK itu yang diadakan berikutan penyandang kerusi tersebut Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Tiga calon tersebut adalah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin; Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad; dan penulis blog, Mohd Shukri Mohd Ramli.

Hari ini The Rakyat Post akan melaporkan setiap perkembangan terkini proses penamaan calon di Parlimen Rompin, dari awal sehingga selesai tempoh bantahan dan pengumuman muktamad nama calon yang bertanding dibuat.

Untuk rekod, Parlimen Rompin mempunyai sejumlah 53,294 pemilih berdaftar terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir, layak mengundi pada PRK Parlimen Rompin.

Penamaan calon akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Rompin di sini mulai 9 pagi hingga 10 pagi.

Jamaluddin telah dipilih sebagai anggota Parlimen Rompin selama enam penggal iaitu sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, dan pada PRU13, beliau mengalahkan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Foto TRP/Sarah M.Khir
Muslimat PAS sudah mula kelihatan di sekitar kawasan penamaan calon.

Foto TRP/Sean Augustin
Antara gerai di luar pusat penamaan calon oleh penyokong PAS

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/22/berita-terkini-hari-penamaan-calon-prk-rompin/#ixzz3XzdryP6h

Tuesday, April 21, 2015

Ustaz Nazri Ahmad, calon PAS PRK Rompin

KHAIRIL ABDUL RAHIM




ROMPIN: Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad, 40, diumumkan sebagai calon PAS bagi menggalas cabaran dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin.

Pemilihannya diumumkan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada Majlis Ceramah Pengisytiharan Calon PAS PRK Rompin di Markas Induk PAS Bandar Satelit Muadzam Shah, sebentar tadi.

Antara pemimpin PAS yang hadir ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Pilihan raya, Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Nazri yang juga bekas pensyarah sambilan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah adalah lulusan Sarjana Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar Mesir.

Anak peneroka Keratong 5 ini merupakan Ketua Pemuda PAS Pahang untuk penggal akhir, menjadi pilihan Majlis Syura Ulamak PAS juga di peringkat akar umbi parti tersebut.

Lahir daripada keluarga usahawan, anak keenam daripada lapan beradik ini mempunyai seorang isteri dan enam orang cahaya mata dan kini menjadi pendakwah sepenuh masa.

Beliau mulai aktif berpolitik apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Rompin pada 2005.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 5 Mei manakala tarikh bagi penamaan calon pula 22 April.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad, Rompin.

BN telah mengumumkan Datuk Hasan Arifin sebagai calon bagi PRK Parlimen Rompin pada 18 April lalu.

PRK Rompin perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Pada PRU13 Mei 2013 lalu, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mendapat 30,040 undi sementara calon PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh memperolehi 14,926 undi. - HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-