Saturday, April 18, 2015

Pua gesa rakyat boikot MP sokong lulus pindaan Akta Hasutan

Pindaan kepada Akta Hasutan melihat tambahan dalam tempoh penjara yang dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah kerana menghasut.

KUALA LUMPUR, 18 April:

Rakyat perlu menghukum ahli parlimen yang mengundi bersetuju dengan pindaan Akta Hasutan di Parlimen dengan tidak keluar mengundi dalam pilihan raya umum akan datang, kata ahli DAP, Tony Pua.

Sebagai permulaan, katanya terdapat 11 kawasan ahli parlimen yang bersetuju itu, menang dengan kelebihan kurang daripada 1,000 undi.

Kempen yang dilakukan oleh pengundi di kawasan ini untuk dua tiga tahun akan datang ini akan dapat menolak ahli parlimen yang mengkhianati hak demokrasi rakyat Malaysia, katanya.

Kawasan berkenaan adalah Baram Anyi Ngau (menang 194 undi majoriti); Telok Intan – Mah Siew Keong (238); Labis – Chua Tee Yong (353); Bentong – Liow Tiong Lai (379); Sungai Besar – Noriah Kasnon (399); Kuala Selangor – Irmohizam Ibrahim (460); Beaufort – Azizah Mohd Dun (672); Machang – Ahmad Jazlan Yaakub (805); Titiwangsa – Johari Abdul Ghani (806); Pasir Gudang – Normala Abdul Samad (935) dan Ketereh – Annuar Musa (974).

Sementara itu, empat ahli parlimen lagi yang menang majoriti lebih daripada 2,000 tetapi mungkin akan kalah sekiranya tidak bertanding tiga atau empat penjuru untuk kawasan mereka.

Kawasan itu adalah Pensiangan, Joseph Kurup; Mas Gading ,Nogeh Gumbek; Ranau, Ewon Ebin dan Tenom, Raime Unggi.

“Mereka ini adalah 23 ahli parlimen yang mengundi secara membuta tuli untuk memilih pindaan untuk Akta Hasutan yang sudah lapuk.

“Usaha untuk memastikan mereka tidak lagi berada di parlimen dalam pilihan raya umum akan datang, bermula hari ini,” kata Pua.

Pada 9 April lalu, 108 ahli parlimen mengundi memilih pindaan dibuat kepada Akta Hasutan 1948 sementara 79 lagi menolak.

Pua berkata 108 ahli parlimen mengundi secara ‘membuta tuli’ untuk pindaan itu walaupun mendapat bantahan dari peguam, aktivis sosial dan orang ramai.

Katanya, pindaan baru itu akan memberi kuasa lebih besar kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas kebebasan bersuara atau aktiviti yang dirasakan menghasut.

Rang undang-undang itu akan menambah satu lagi seksyen tambahan di mana penjara antara lima dan 20 tahun akan dikenakan ke atas kesalahan yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda dan juga hukuman penjara lebih tinggi antara tiga dan tujuh tahun atas kesalaham am jenayah hasutan.

Sebelum pindaan dibuat, undang-undang zaman kolonial itu menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda maksimum RM5,000 untuk kesalahan kali pertama dan maksimum lima tahun penjara untuk kesalahan berulang.

“Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia telah menyalahguna Akta Hasutan sedia ada dalam beberapa bulan kebelakangan ini di mana 150 ketua pemimpin pembangkang, aktivis, ahli akademik dan wartawan serta orang awam biasa, ditahan.

“Maka, kebimbangan mereka yang melihat akta lapuk ini dipinda dan mensasarkan kritikan ke atas kerajaan Barisan Nasional yang lemah ini berasas,” kata Pua yang merupakan Ketua Publisiti DAP dan juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Pua turut mengkritik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi kerana beberapa kali mengabaikan bantahan oleh ahli parlimen yang lain ketika dalam debat, termasuk usul untuk meminda pindaan.

Pua berkata Zahid menjawab dengan sebaris jawapan: “Tuan Pengerusi, saya tidak berhajat untuk memberikan sebarang ulasan” kerana mahu mempercepatkan cadangan pindaan itu.

Pua turut menggesa pengundi di kawasan mereka supaya menulis kepada ahli parlimen dan meminta mereka menjawab mengapa mereka membenarkan pindaan untuk undang-undang yang tidak demokrasi dan tidak adil itu diluluskan dalam parlimen Malaysia.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/18/pua-gesa-rakyat-boikot-mp-sokong-lulus-pindaan-akta-hasutan/#ixzz3XdSHx9tL

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-