Saturday, April 11, 2015

Si baju hijau peserta Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) penuhi Padang Merbok

HINDAR yang merupakan program anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat bermula jam 4 petang Sabtu hingga 9 malam, mendapat kelulusan pihak polis. Foto TRP/ AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

KUALA LUMPUR, 11 APRIL:

Ribuan peserta Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) mula berkumpul di Padang Merbok, di ibu negara bagi menunjukkan tanda protes terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula berkuatkuasa sejak 1 April lalu.

HINDAR yang merupakan program anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat bermula jam 4 petang Sabtu hingga 9 malam, mendapat kelulusan pihak polis.

Turut hadir dan berucap adalah wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO), persatuan peniaga, selebriti dan pimpinan parti-parti politik.

Kemuncak himpunan ini turut diadakan persembahan puisi, pentomen, nasyid berkaitan GST dan munajat perdana selepas solat Maghrib.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob akan mengimamkan majlis solat Magrib berjemaah manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyampaikan pidato khas selepas solat isyak berjemaah.

Sebelum itu, Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata, peserta HINDAR yang hadir menyertai himpunan ini terdirinya daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Bukan hanya wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO), persatuan peniaga, selebriti dan pimpinan parti-parti politik sahaja yang datang malah jutawan dan juruterbangpun datang.

“Kalau mereka yang professionalpun datang, takkan lah yang bawah teksipun masih menyokong UMNO,” katanya ketika berucap kepada orang ramai di Padang Merbok, berhampiran Tugu Negara.

Beliau berkata, rakyat tidak akan marah jika pelaksanaan GST memberi banyak manfaat.

Namun beliau mendakwa pelaksanaan cukai itu bukan seperti yang dilaksanakan di negara lain kerana di Malaysia keuntungan GST tidak dapat dinikmati oleh rakyat.

“Kerajaan cakap GST buat harga barang turun tetapi saya pergi kedai, dulu barang itu berharga RM100 kini sudah berharga RM106.

“Ini matematik moden, dan adakah ia munasabah?” katanya.

Sementara itu, aktivis pelajar, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS), Imran Ishak berkata, GST benar-benar membebankan pelajar sepertinya.

“Kerajaan Malaysia ambil sistem pengurusan banyak dari Barat sepatutnya daripada sistem Islam.

“Saya beli kasutpun naik harga, makan nasi ayampun kena GST sedangkan laporan audit sudah tertulis bahawa kerajaan kita korup dan banyak ketirisan,” katanya.

Pelawak, pelakon dan penulis lirik yang kini menjadi aktivis PAS, Bob Lokman turut turun ke Padang Merbok.

Beliau berkata, jika benar GST baik untuk rakyat negara ini sepatutnya menjadi negara pertama melaksanakan cukai tersebut.

Sementara itu, wakil OKU bangkit, Umar Abdul Aziz berkata, sebagai orang kelainan upaya (OKU) beliau rasa terpanggil untuk menentang pelaksanaan cukai tersebut.

“Mereka yang sihat tubuh badanpun menentang GST apatah lagi golongan OKU. GST menambah lagi penderitaan kami.

“Sebelum GST, golongan OKU sudah cukup menderita makan mee Meggi dengan nasi dan telur.

“Kini kena GST lagi menambah penderitaan kami,”

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/11/si-baju-hijau-peserta-himpunan-derita-rakyat-hindar-penuhi-padang-merbok/#ixzz3X09lXqcp

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-