Tuesday, April 21, 2015

Ustaz Nazri Ahmad, calon PAS PRK Rompin

KHAIRIL ABDUL RAHIM




ROMPIN: Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad, 40, diumumkan sebagai calon PAS bagi menggalas cabaran dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin.

Pemilihannya diumumkan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada Majlis Ceramah Pengisytiharan Calon PAS PRK Rompin di Markas Induk PAS Bandar Satelit Muadzam Shah, sebentar tadi.

Antara pemimpin PAS yang hadir ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Pilihan raya, Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Nazri yang juga bekas pensyarah sambilan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah adalah lulusan Sarjana Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar Mesir.

Anak peneroka Keratong 5 ini merupakan Ketua Pemuda PAS Pahang untuk penggal akhir, menjadi pilihan Majlis Syura Ulamak PAS juga di peringkat akar umbi parti tersebut.

Lahir daripada keluarga usahawan, anak keenam daripada lapan beradik ini mempunyai seorang isteri dan enam orang cahaya mata dan kini menjadi pendakwah sepenuh masa.

Beliau mulai aktif berpolitik apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Rompin pada 2005.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 5 Mei manakala tarikh bagi penamaan calon pula 22 April.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad, Rompin.

BN telah mengumumkan Datuk Hasan Arifin sebagai calon bagi PRK Parlimen Rompin pada 18 April lalu.

PRK Rompin perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Pada PRU13 Mei 2013 lalu, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mendapat 30,040 undi sementara calon PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh memperolehi 14,926 undi. - HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-