Thursday, May 21, 2015

Arak dan Negara Islam Malaysia........?

YB, anda boleh sara orang Islam yang bekerja di kedai arak?


oleh V Shuman

SEKILAS PANDANG: Anak muda melayu yang bekerja di hotel, kedai serbaneka 24 jam dan restoran yang menghidangkan alkohol, boleh lah berhenti kerja serta merta.

Begitu juga dengan pemandu lori yang membawa alkohol dan pekerja kedai yang membantu mengangkutnya.
Selepas anda berhenti, bolehlah berbaris di luar rumah atau pejabat wakil rakyat Kukup, Johor Suhaimi Salleh (kiri) daripada Umno. Dia mungkin boleh mendapatkan anda kerja lain bagi menyara anda dan keluarga.

Lagipun, Suhaimi baru-baru ini mendesak agensi berkaitan untuk melakukan kajian tentang kemungkinan menghalang orang Islam daripada bekerja di kedai serbaneka 24 jam yang menjual arak.

Bernama melaporkan dia berkata yang pekerja Melayu tidak patut menggadaikan maruah, kaum dan agama mereka kerana menjual arak.

“Jelas yang Islam mengatakan meminum arak ialah satu dosa, mereka yang menjualnya juga melakukan dosa. Juga satu dosa kepada mereka yang mengangkat kotak-kotak berisi arak dan menyusunnya di rak jualan.

“Adakah kita akan membiarkan dosa ini berterusan? Ini mungkin kelihatan kecil, tetapi ianya dosa besar di mata Tuhan,” dia dipetik berkata apabila memperdebatkan ucapan diraja Sultan Johor semasa persidangan dewan negeri minggu lepas.

Dia menambah yang perkara itu, jika dibiarkan, boleh merosakkan maruah orang Melayu, terutama sekali anak-anak muda.

Adakah Suhaimi sedar berapa ramai orang Melayu Islam yang bekerja dalam perniagaan yang berurusan dengan minuman beralkohol di seluruh negara?

Ini termasuklah kedai-kedai 7-11 yang terdapat dikawasan kejiranan anda, sehinggalah restoran makanan barat yang menghidangkan alkohol dan kilang arak. Tidak dilupakan juga hotel dan syarikat penerbangan.

Bolehkah mereka semua mencari kerja lain hanya kerana kerja mereka sekarang terpaksa mengendalikan minuman beralkohol?

Bolehkah Suhaimi membantu mereka mendapatkan pekerjaan lain, atau dia bersedia mengambil semua mereka sebagai pekerja- atau sekurang-kurangnya mereka yang hilang kerja mereka disebabkan oleh cadangannya, di Johor?

Jika tidak, bagaimana mereka ingin menyara diri mereka , dan keluarga mereka, selepas mengikut nasihatnya, yang bagi kebanyakan orang, langsung tidak berguna?

Mengeluarkan kenyataan bebal, tidak praktikal melalui saluran rasmi telah menjadi kebiasaan ahli politik kebelakangan ini, terutama sekali mereka yang mempunyai kaitan dengan BN.

Jika Suhaimi mengeluarkan cadangan ini di Melaka, untuk mengharamkan penjualan alkohol di kawasan majoriti orang Islam, ia masih boleh diterima.

Malah, cadangan mengharamkan pengambilan alkohol di ruang awam juga lebih masuk akal berbanding cadangan Suhaimi ini.

Jika Suhaimi benar-benar mahu memberi amaran alkohol di negara Islam seperti Malaysia, kenapa dia tidak mendesak kerajaan persekutuan-BN untuk berhenti mengutip cukai daripada penjualan alkohol?

Alang-alang, minta juga Putrajaya menutup terus dua buah kilang arak yang beroperasi di Selangor?

Juga, kenapa tidak minta Perdana Menteri Najib Razak supaya tidak merasmikan perlumbaan Formula 1, dimana arak digunakan untuk meraikan kejayaan pelumba?

Suhaimi perlu menyedari yang maruah seseorang tidak akan tergadai hanya kerana minum arak. Ia juga boleh berlaku apabila ahli politik hilang nilai-nilainya sebagai balasan kepada ganjaran wang atau bercakap tanpa berfikir.

Maruah juga boleh hilang dengan mengambil atau menggalakkan rasuah, dan juga tewas kepada tuntutan nafsu, malah seperti yang kita tahu ramai ahli politik telah tewas dalam perkara ini.

Sekurangnya sejumlah besar orang yang minum arak tidak hipokrit- mereka boleh bercakap benar, sepahit manapun, apabila mereka mabuk.

Bagi saya, itu lebih baik daripada bermuka-muka- wajah yang berlainan untuk pengundi dan mereka yang lebih berkuasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-