Sunday, May 24, 2015

Menanti 1MDB kedua sebagai pemacu kegagalan RMK11?

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: "Adakah kita juga menanti lahirnya 1MDB yang kedua sebagai pemacu kegagalan RMK11 pula?" tanya Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu, Rancangan Malaysia (RMK) merupakan perancangan nasional pembangunan negara yang dibentangkan pada setiap lima tahun.

Tambahnya, tidak dapat dinafikan bermula RMK1 sehinggalah RMK10 ada memberikan manfaat kepada negara daripada kurang membangun sehinggalah menjadi negara membangun dan kini menuju kepada status negara maju.

Katanya, yang terbaru, RMK11 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di parlimen pada pagi Khamis, 21 Mei lalu.

"Untuk kita menganalisa RMK11, penting juga untuk kita membelek dan membedah terlebih dahulu sejauhmana keberjayaan dan pencapaian RMK10 (2010-2015) dahulu?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jikalau dahulu, ujarnya RMK1 sehinggalah RMK9, Unit Perancang Ekonomi (EPU) merupakan pengemudi utama pembangunan negara, namun pada RMK10 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyerahkan kemudi tersebut kepada Pemandu, agensi baru yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, apabila Pemandu diberikan tauliah sebagai peneraju utama RMK10, ia merupakan kesilapan besar yang dilakukan oleh Najib.

Menurut beliau lagi, RMK10 tidak pun mencapai tahap yang sepatutnya dicapai kerana pengemudi Pemandu terdiri daripada mereka yang tidak berpengalaman, ilmu dan hikmah dalam membangunkan negara.

"Sungguh menyedihkan apabila kita meneliti statistik pencapaian RMK10 di bawah pimpinan Najib," ujarya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Antaranya, kata beliau nilai tukaran wang Ringgit Malaysia pada Julai 2013 ialah USD1 bersamaan dengan RM3.12, kini Mei 2015, merudum kepada RM3.60.

Hutang negara pula, ujarnya pada 2011 dahulu sebanyak RM257 billion, kini melambung naik sehingga RM740 billion.

Begitu juga, ujarnya kadar penggangguran pada 2011 adalah 3.1% tetapi kini 2015 meningkat kepada 3.2% manakala kadar inflasi pada 2011 ialah 2.5% tetapi tahun lalu 3.3%

Lihat pula, kata beliau pada skandal terbesar dalam sejarah negara ini iaitu 1MDB.

"Bukankah aneh apabila secara tiba-tiba 1MDB muncul sedangkan ia tidak wujud pun di dalam pelan RMK10?" ujarnya.

Katanya, ia diusahakan sendiri oleh PM tanpa pengetahuan kabinet dan dan Parlimen.

Beliau berkata, akibat daripada sikap berlagak pandai itu akhirnya kini negara terpaksa menanggung beban begitu besar sehingga RM42 bilion hutang 1MDB.

"Bukankah ini kegagalan paling besar yang dilakukan oleh PM Najib?" katanya.

Bukan sahaja itu, katanya kini wang Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan banyak lagi dana awam telah digunakan demi menyelamatkan 1MDB yang kian karam.

"Apa yang kita dapat lihat di dalam RMK11 yang baru dibentang itu, pihak kerajaan masih belum bersungguh untuk mereformasi dan perubahan besar-besaran kepada institusi penting negara dilaksanakan seperti Parlimen, Mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan lain-lain," ujarnya.

Hal ini, ujar beliu amat penting khususnya Parlimen agar benar-benar berfungsi sebagai badan yang mampu berperanan dengan lebih berani dan efektif sebagai check and balance kepada pihak eksekutif.

"Bak kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menzahirkan kekecewaan beliau apabila Parlimen tidak bebas dan hanya bertindak sebagai rubber stamp kepada pihak eksekutif," katanya lagi.

Begitu juga, ujarnya pihak kerajaan masih gagal untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis sehingga menyebabkan pihak PDRM masih tercengkam dan takut untuk bertindak kepada pihak eksekutif.

Hakikatnya, kata beliau PM Najib sudah pun gagal pada RMK 10 khususnya isu 1MDB.

Tambahnya, pihak kerajaan begitu bersungguh untuk mengejar status pencapaian negara berpendapatan tinggi tetapi yang menjadi mangsanya adalaha golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang dipaksa menanggung bebanan akibat pelaksanaan GST.

"Jikalau pihak kerajaan masih tidak punyai keazaman dan kesungguhan dalam membuat perubahan menangani isu boros berbelanja, ketirisan dan salah guna kuasa, impian untuk bergelar negara maju pada 2020 kelak tidak ubah seperti angan-angat Mat Jenin," katanya. - HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-