Sunday, May 10, 2015

Tabung Haji: Abim tegur Pengerusi Majlis Fatwa

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin menegur Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipetik berkata bahawa langkah penjualan semula hartanah Tabug Haji (TH) adalah bagi menghentikan fitnah.

"Beliau seharusnya sedar tentang penglibatan pengurusan TH dengan 1MDB secara langsung. Ia sekaligus menimbulkan kesangsian orang ramai berkaitan ketelusan," ujar Presiden Abim, Amidi Abd Manan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, manakala rakyat hanya meminta agar siasatan dijalankan bukan tuduhan atau fitnah seperti yang dinyatakan.

"Jelas beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merangkap Ahli Lembaga Pengarah TH gagal memahami kerisauan masyarakat Islam," ujarnya.

Tambahnya, merujuk kepada kenyataan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim berkaitan penjualan semula lot tanah di TR Exchange, Abim menyambut baik langkah tersebut.

Katanya, ia merupakan satu permulaan untuk membersihkan Tabung Haji daripada unsur-unsur manipulasi khususnya dari 1MDB.

Beliau berkata, langkah itu dilihat mampu untuk memulihkan keyakinan pendeposit terhadap pengurusan Tabung Haji.

Namun, ujarnya bagi memastikan keyakinan itu dapat terus dipertahankan keempat-empat pengurusan tertinggi TH yang terlibat dengan 1MDB di pelbagai peringkat mesti mengundurkan diri.

"Begitu juga dengan Datuk Abdul Azeez Rahim, selaku Pengerusi TH yang dilihat gagal menguruskan jual beli tersebut berlangsung dengan baik sehingga menimbulkan pertikaian," katanya lagi.

Tambah beliau, tidak timbul persoalan tergadainya hartanah benilai tinggi kepada bukan bumiputera jika kerajaan sendiri jujur dan bersungguh-sungguh mahu meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera di kawasan terbabit.

Menurutnya, tanah yang pada asalnya dimiliki kerajaan itu boleh sahaja terus dibangunkan oleh TH atau mana-mana GLC yang dikuasai oleh golongan bumiputera. -HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-