Sunday, May 10, 2015

Tanya PM, bagaimana 1MDB kumpul hutang RM42 bilion?

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji perlu membatalkan pembelian tanah dan bukan menjual tanah itu kepada pihak lain, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, rakyat marah kerana duit Tabung Haji disalurkan kepada 1MDB yang bermasalah apabila mereka di TH yang membuat keputusan membeli tanah daripada 1MDB juga memegang jawatan penting dalam 1MDB.

Menurutnya, menjual tanah kepada pihak lain bukanlah penyelesaian dan tidak akan dapat menutup bangkai hutang 1MDB.

"Kerana ini bukan tindakan pembetulan, ini tindakan menutup kesilapan tanpa memikirkan bagaimana perkara ini boleh dielak daripada berulang," ujarnya.

Justeru, kata beliau selaku penasihat 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajar menerangkan bagaimana 1MDB mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion.

Tambahnya, cadangan PM, selaku penasihat 1MDB, untuk TH menjual balik tanah 1MDB dan bukan membatalkan pembelian tanah itu adalah sangat menjengkelkan.

"Apakah betul 1MDB amat memerlukan duit keuntungan tersebut untuk membayar bunga hutang sehingga Najib tidak berani mengarahkan pembelian tanah itu dibatalkan?" tanya beliau.

Beliau menegaskan bahawa rakyat perlu terus menekan untuk jawapan. - HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-