Showing posts with label Tabung Haji (TH). Show all posts
Showing posts with label Tabung Haji (TH). Show all posts

Thursday, December 10, 2020

Mujahid akan dedahkan isu yang merosakkan TH sebelum diambil alih

Oleh MALAYSIA DATELINE
December 9, 2020 11:44 pm


Bekas Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan mendedahkan lagi banyak isu yang telah merosakkan institusi umat Islam Tabung Haji (TH) termasuk Tabung Haji Plantation (THP).

Beliau berkata, isu yang telah merosakkan institusi umat Islam sebelum beliau mengambil alih di mana ianya berlaku ketika pentadbiran kerajaan BN.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar juga mengaku laporan polis telah pun dibuat atas jenayah korporat terbesar di dalam Tabung Haji sehingga memaksa beliau membuat penstrukturan semula TH.

THP adalah anak syarikat TH induk untuk fokus pada sektor perladangan.

Pada tahun 2006, TH menerokai bidang perladangan memandangkan permintaan sawit yang meningkat.

Dari sebuah syarikat yang berskala sederhana dengan pemilikan 15,000 hektar, katanya THP menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Pada tahun-tahun berikutnya, jelas beliau THP secara agresif membeli ladang besar sehingga keluasan milik ladangnya pada tahun 2012 menjadi 100,000 hektar

“Dari sudut perniagaan, tidak ada salahnya membesarkan keupayaan kita tetapi ia perlu melihat kepada kerapuhan modal pelaburan, hutang, kos operasi dan kapasiti produktiviti dan infrastruktur.

“Oleh kerana THP adalah syarikat yang berdaftar dengan Bursa, ia tertakluk kepada undang-undang pengurusan korporat Bursa Malaysia, THP perlu memastikan perjalanannya mengikut piawaian yang ditetapkan,” ujarnya.

Jelasnya, perkara yang membabitkan hutang, kos pelaburan yang tinggi, kos operasi menyebabkan kedudukan kewangan THP menyempit.

Misalnya, kata beliau pada tahun 2015, THP dalam menangani masalah hutang membuat keputusan menjual TH Bakti bernilai RM16.3 juta dan TH Gemas bernilai RM154 juta kepada sebuah syarikat swasta Dupont dengan alasan mengurangkan beban hutang THP.

Tahun kewangan 2018, tambahnya, THP menanggung hutang RM 1.24b dan pada suku ke-3 hutang meningkat kepada RM1.29b.

“Pegangan tunai menyusut dari RM50.6 juta kepada RM43.8 juta. Keadaan ini memerlukan THP membuat rasionalisasi aset untuk memastikan kestabilan kewangannya.

“Sama seperti tahun 2015, THP perlu melihat masalah hutangnya dan menyelamatkan aset lain yang membawa hasil lebih baik untuk mengurangkan kos operasinya,” kata beliau.

Di atas alasan tersebut, Mujahid berkata beberapa ladang yang tidak produktif dan bermasalah terpaksa dilepaskan supaya dengan berbuat demikian THP menjimatkan kos pinjaman sebanyak RM9.41 juta.

“Usaha menyelamatkan kewangan THP adalah urusan biasa amalan pengurusan korporat yang tertakluk bawah peraturan Bursa Malaysia.

“THP juga ada ahli lembaganya yang bebas membuat keputusan atas kepentingan kewangan syarikat,” katanya.

Malangnya kata beliau isu THP menjadi isu politik yang membawa naratif aset dan harta orang Islam yang dijual kepada orang Cina.

“Campurtangan politik telah menjejaskan perjalanan THP yang kini mengalami masalah. Tujuan rasionalisasi aset adalah untuk selamatkan aset ladang lain yang membawa pulangan tinggi, manakala aset yang membebankan perlu dilepaskan supaya THP dapat berkembang dengan baik.

“Apakah ini satu contoh awalan campurtangan politik dalam amalan pengurusan korporat yang telus?

“Apakah entiti korporat tertakluk kepada tekanan politik sehingga kerajaan TSMY tidak mampu mempertahankan satu keputusan perniagaan yang telah pun diperakui pada 24 Nov kewajarannya?” soal beliau.

Monday, August 10, 2020

Kerajaan timbang tubuh RCI Tabung Haji

MyMetro

MENARA Tabung Haji, Jalan Tun Razak. FOTO Arkib NSTP.

BERNAMA

KERAJAAN akan mempertimbangkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu akan dibincangkan mesyuarat jemaah menteri dalam masa terdekat.

"Kerajaan amat memahami bahawa dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan TH, perlunya ada satu badan bebas dan berautoriti.

"Mesyuarat menteri dalam masa terdekat akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, isu mengenai TH menjadi tumpuan beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang bertikam lidah mengenainya sehingga menggamatkan persidangan Dewan Rakyat.

Antara perkara berbangkit ialah keperluan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lepas.

Sementara itu, Zulkifli menegaskan kerajaan akan mencari titik penyelesaian mengenai isu TH yang boleh diterima semua pihak.

"Kerajaan juga akan meneliti dan menilai segala transaksi yang dibuat oleh TH baik yang (dibuat) sebelum ini atau yang akan datang. Fokus kerajaan agar segala operasi TH dijalankan dengan penuh integriti dan amanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:57 PM

Sunday, July 26, 2020

Hanya PM boleh putuskan tubuh RCI Tabung Haji, kata timbalan menteri

Executive Editor
Julai 25, 2020


KOTA BHARU: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Tabung Haji (TH) adalah perkara besar dan perlu dibawa ke Kabinet dan ia hanya boleh diputuskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, lebih penting kerajaan akan memastikan aset TH dan soal pengurusan haji serta masa depan sejumlah 9.3 juta pendeposit haji akan dijaga sebaik mungkin walaupun belum diumumkan sama ada perlu penubuhan RCI atau tidak.

“Setakat ini kerajaan belum memutuskan sebarang bentuk siasatan…mungkin siasatan dalaman, tetapi semua maklumat yang disampaikan kepada kerajaan sama ada melalui perbahasan ahli Parlimen atau melalui memo yang dihantar akan diteliti oleh kerajaan.

“Kita akan lihat perkara itu dengan sewajarnya…apa keperluan yang perlu dibuat. Apa yang penting kerajaan akan menentukan hala tuju yang jelas kepada pengurusan dan petadbiran TH

“Sebagai contoh kerajaan akan melihat mungkin ada anak syarikat yang tidak berdaya saing akan distruktur semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa hari ini.

Katanya, siasatan dalaman secara rasmi belum diumumkan, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sudah beberapa kali membuat perbincangan dan memanggil pengurusan TH.

“Walaupun begitu, ia tidaklah dianggap sebagai siasatan, tetapi sebahagian cara untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang berbangkit,” katanya.

Menurutnya, ia juga bagi mencari dan mengenal pasti kesahihan mengenai perkara dibangkitkan, sama ada benar atau tidak.

Kita perlu faham, sebagai contoh TH Plantation adalah ‘public listed company’ yang kadang kala kita juga boleh dapatkan maklumat daripada ‘public info’ tentang apa-apa yang didakwa dalam perbahasan Parlimen atau dakwaan di luar Parlimen.

“Kita mengambil peduli semua itu dan membuat pengenalpastian sama ada benar atau tidak, sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Soal penubuhan RCI walaupun banyak dicadangkan oleh ahli yang berhormat atau orang awam, tetapi buat masa ini masih dalam pertimbangan kerajaan,” katanya.

MR : RCi akan buktikan siapa sebenarnya perompak............

Wednesday, March 4, 2020

Pemuda UMNO gesa TH beku penjualan aset


Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Pengurusan Tabung Haji (TH) dan TH Plantation Berhad (THP) untuk segera membekukan program rasionalisasi aset.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendesak pihak pengurusan TH dan THP agar menghormati kerajaan Perikatan Nasional yang baharu dilantik dan tidak terburu-buru ingin meneruskan sebarang penjualan yang diluluskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof.

“Umum telah mengetahui bahawa penjualan aset-aset berharga milik TH seperti ladang-ladang kelapa sawit dan getah milik THP dan Hotel-hotel TH mendapat tentangan kuat daripada rakyat terutamanya pendeposit TH.

“Pembekuan ini mustahak bagi memastikan penilaian semula dilakukan oleh Kerajaan Baharu agar kepentingan pendeposit TH dan umat Islam umumnya mampu dipelihara dan dipertahankan,” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi mendakwa, setakat hari ini difahamkan, pihak THP telah memasuki Perjanjian Penjualan Saham (Share Purchase Agrement) untuk melupuskan 3 anak syarikat THP iaitu THP-YT Sdn Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisammas Shd Bhd (MW).

Ia melibatkan tanah perladangan seluas 9,018 hektar atau 11.8% dari jumlah keluasan yang mahu dijual dibawah program rasionalisasi aset THP.

Sebelum ini dilaporkan empat hotel Tabung Haji (TH) di Kota Kinabalu, Bayan Lepas, Alor Setar dan Kuala Terengganu dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

TH berkata empat hotel itu akan diteruskan bawah anak syarikat milik penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

Hotel-hotel itu juga akan dikenali dengan nama baru Raia Hotel dan kekal dengan dengan konsep patuh syariah.

Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan, menurut TH.

-SM

Tuesday, February 18, 2020

Dr M pertahan keputusan TH pindah milik 4 hotel kepada MOF

Adam Abu Bakar
-February 18, 2020 6:31 PM

TH mengumumkan operasi 4 rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada UJPM mulai April ini. (Gambar thhotels.com.my)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan Tabung Haji (TH) pindah milik operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) kepada anak syarikat milik Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati beberapa hartanah milik TH tidak memberi keuntungan kepada agensi berkenaan.

“Maka mereka perlu melupuskannya. Namun, ada beberapa cara lain untuk melabur duit berkenaan supaya memberi pulangan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Puspanitari, Putrajaya.

Terdahulu, TH mengumumkan operasi 4 rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM) mulai April ini.

TH berkata pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan semula dan penstrukturan institusi tesebut.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi memenuhi mandat yang diberikan untuk mengurangkan komitmen kerajaan.

Empat hotel THHR yang terlibat adalah di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Pinda hukuman mati kes dadah

Mengulas lanjut, Mahathir berkata kerajaan sedang mengkaji untuk meminda undang-undang berkaitan dadah yang menurutnya hukuman sedia ada iaitu hukuman mati terlalu keras terhadap pesalahnya.

“Banyak yang berpendapat ia tidak berkesan, masih ada mereka yang mencari duit yang tidak halal dengan mengedar dadah. Kita akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak.

“Kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah, atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang,” katanya.

Jelasnya, hakim mahkamah ketika ini tidak mempunyai pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap pesalah berkaitan dadah. Menurutnya, hukuman penjara seumur hidup antara pilihan bagi menggantikan hukuman berkenaan.

“Sekarang ini hukuman mati mandatori, iaitu hakim tidak ada hak menjatuhkan hukuman yang lain, dia mesti jatuhkan hukuman mati.

“Tetapi ada yang berpendapat, hukuman mati itu terlalu keras. Sebab itu kita perlu pinda, mungkin untuk penjara seumur hidup,” katanya.

Saturday, April 20, 2019

Belanja aset pertahanan ikut kemampuan bagi utamakan TH, Felda

Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan Hari ini 8:47 pagi


Pembelian aset pertahanan negara perlu mengikut kemampuan kewangan bagi mengutamakan usaha menyelamatkan institusi bumiputera seperti Tabung Haji (TH) dan Felda, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu

Jelas Mohamad, meskipun peruntukan perbelanjaan untuk kementeriannya di bawah Belanjawan 2019 tidak terjejas dan masih mendapat belanjawan tambahan, perbelanjaan untuk membeli aset pertahanan negara hanya akan dibuat mengikut keperluan.

"(Perbelanjaan aset pertahanan) ikut keperluan dan kemampuan kewangan.

"Banyak wang digunakan untuk selamatkan institusi yang hancur - Tabung Haji dan Felda - meskipun kerajaan PH diserang (sebagai) tak peduli hal bumiputera.

"Kalau tak selamatkan (institusi-institusi ini), akan berlaku malapetaka ekonomi bukan hanya kepada Felda dan Tabung Haji tapi kepada Malaysia itu sendiri," kata Mohamad dalam wawancara bersama media di pejabat Kementerian Pertahanan, semalam.

Kerajaan PH memperuntukkan RM6.3 bilion untuk menyelamatkan Felda dan RM17.8 bilion pula diperuntukkan untuk membantu Tabung Haji.

Kerajaan berkata, perkara itu perlu dilakukan akibat salah urus kedua-dua institusi itu di bawah pentadbiran BN.

Bagaimanapun, jelas Mohamad dalam wawancaranya, Kementerian Pertahanan masih mampu memperuntukkan lebih RM79 juta untuk bantuan RM500 sempena hari raya kepada veteran tentera dari kalangan kumpulan B40.

Tambah pemimpin Amanah itu, kementeriannya menerima belanjawan tambahan untuk memperoleh bot laju pemintas (FIC). Proses pembelian masih sedang berjalan, katanya.

Mohamad menjangkakan kewangan negara akan bertambah baik dalam masa akan datang dan berkata pelaburan asing setakat ini menggalakkan.

Sementara bagi projek Kementerian Pertahanan yang ditangguhkan sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan salah laku, katanya, ia dijangka diteruskan pada Julai.

[Baca berita asal]

Friday, April 19, 2019

Jamin wang pendeposit TH diurus sebaiknya

MyMetro

Dr Mahathir ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary.
 FOTO Bernama

BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada pendeposit Tabung Haji (TH) bahawa wang deposit mereka akan diuruskan dengan lebih baik oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata TH diuruskan dengan buruk bertahun-tahun lamanya sebelum ini, yang mengakibatkan ia tidak memperoleh banyak keuntungan.

“Sebenarnya mereka tidak membuat sebarang keuntungan, jadi mereka ambil deposit dan menggunakannya sebagai dividen, jadi ramai yang simpan duit mereka di sana kerana mereka lihat banyak pulangan daripada pelaburan.

“Ini tidak boleh diteruskan selamanya,” katanya pada persidangan media di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata, bagi memastikan orang ramai terus menyimpan wang mereka dalam TH, kerajaan akan membayar dividen kepada pendeposit menggunakan hasil dari pelaburan yang dibuat, walaupun jumlahnya mungkin kecil.

“Ini bermakna mereka yang berhasrat menunaikan haji, akan masih sanggup menyimpan (dalam TH) kerana ia akan diuruskan dengan baik, bukan seperti sebelum ini apabila deposit mereka digunakan untuk jadi subsidi belanja menunaikan haji, dan juga untuk mengumumkan dividen,” katanya.

Awal bulan ini TH mengumumkan agihan dividen 2018 pada kadar 1.25 peratus, kadar paling rendah dalam sejarah penubuhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 10:20 PM

Tak wajar cadang tutup Tabung Haji

Sinar Harian
April 19, 2019 07:14 MYT

TH merupakan institusi contoh kepada negara Islam lain dari sudut pengurusan jemaah haji dan kewangan.

SHAH ALAM: Cadangan supaya Tabung Haji (TH) ditutup disebabkan kelemahan pengurusan adalah tidak wajar kerana pertimbangan tersebut hanyalah berdasarkan kepada kebimbangan terhadap kualiti manusia yang menjalankan tugas.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, mengambil contoh permulaan Transit Aliran Ringan (LRT), ia berdepan masalah dan kerajaan membantu dengan memberikan suntikan dana kerana wujud kelemahan penilaian dalam soal penjualan tiket serta jumlah kos projek.

"Namun, projek tersebut pada hari ini memberikan pulangan selain menyediakan perkhidmatan awam yang dinikmati rakyat," katanya dalam Wacana Sinar Harian bersama Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali; Profesor dan mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Berikut ulasan penuh beliau dalam siri wacana yang berlangsung semalam:-

"Ini isu yang berlaku dalam semua industri termasuklah TH. Ia juga adalah perkara pada pandangan saya mempunyai hubungan dengan pasaran yang mengancam. Selain itu mungkin timbul kecuaian dalam isu pengurusan TH yang sepatutnya boleh dibaiki. Sepatutnya, apabila berlaku sesuatu masalah kita tidak boleh ketepikan TH. Sebagai manusia, Nabi Adam turut diberikan peluang kedua.

Dalam konteks TH, pimpinan baharu telah merangka pelan pemulihan dengan salah satu caranya adalah akan melaksanakan kaedah pelaburan sama seperti syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia.

Mereka akan sediakan laporan bagi setiap bulan untuk melihat liabiliti aset TH dengan kata lain kita sebagai manusia boleh menjangkakan apakah hibah yang diperoleh lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga setahun.

Ada langkah-langkah pemulihan yang dijalankan oleh TH bagi menutup lompong-lompong yang dilakukan oleh manusia lepas.

Kalau TH selama ini telah lakukan satu kesilapan teknikal iaitu banyak melabur dalam pasaran saham seperti 70 peratus dalam aset berisiko tinggi dan 30 peratus dalam pelaburan simpanan tetap.

Kalau kita lihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka lakukan sebaliknya, di mana pelaburan dalam simpanan tetap adalah 70 peratus.

TH bukan sama seperti syarikat-syarikat yang tersenarai dalam pasaran saham yang perlu tingkatkan nilai saham mereka.

Pada saya selaku penganalisis ekonomi, TH yang lepas tidak menghormati satu mantera pengurusan aset yang baik dan berhemah tinggi.

Kalau selama ini mereka letakkan 70 peratus pelaburan dalam simpanan tetap dan jika pasaran saham teruk, TH tidak akan berdepan dengan situasi seteruk ini. Berdasarkan laporan yang saya baca tiga hari lepas, pulangan saham di Malaysia pada 2018 hanya dua peratus sahaja.

Malah banyak tabung-tabung berasaskan ekuiti pulangan mereka lebih rendah berbanding dengan simpanan tetap di bank.

Hari ini pasaran saham di negara kita, pulangannya adalah negatif berbanding negara-negara Indonesia, Thailand dan sebagainya.

Cadangan saya, kalau boleh kerajaan kena bantu lagi dengan beri kupon bernilai satu atau dua peratus untuk simpanan.

Suntikan dalam bentuk sukuk itu tidak mampu membantu TH untuk masa hadapan bagi membina keuntungan untuk memberi hibah paling kurang tiga hingga empat peratus supaya pendeposit rasa selesa dengan pulangan simpanan mereka," katanya.

Mengulas mengenai peranan TH bermula 1969, Mohd Daud mengakui ia adalah institusi contoh kepada negara-negara Islam lain dari sudut pengurusan jemaah haji dan kewangan.

"Kalau kita lihat apa yang berlaku sebelum itu, datuk dan nenek kita terpaksa mengerjakan haji secara sendiri kerana tidak ada satu organisasi cekap menguruskan penempatan, pengangkutan, insuran, makan, minum dan sebagainya di Makkah.

"Selain itu, ia menjadi satu keperluan menabung kepada bakal-bakal jemaah haji untuk mereka menyiapkan simpanan mereka.

"TH datang tepat pada masanya untuk menguruskan dua perkara iaitu pengurusan urusan haji di Tanah Arab dan penabungan yang ada konsep hibah.

"Hibah adalah subsidi haji di mana pelaburan yang dibuat oleh TH ada keuntungan dan dapat diberikan kepada mereka yang tidak mampu.

"Dari segi kontrak syariahnya, pada pandangan saya pada 1969 mungkin tidak ada konsep yang jelas mengenai penabung dengan TH. Konsep ketika itu adalah menerima wang sebagai amanah untuk dilaburkan secara patuh syariah.

"Ia boleh disebutkan bahawa TH pada tahun tersebut seperti Bank Islam cuma mereka tidak boleh beri pinjaman sahaja. TH terkeluar daripada Akta Bank iaitu Akta Institusi Kewangan Islam.

"Apa yang menarik tentang TH adalah tidak terikat dengan Akta Syarikat tetapi boleh mengambil wang dan Akta Pasaran Modal 2007.

"Ia ada akta tersendiri seperti badan berkanun sama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi melaburkan wang pendeposit dengan tidak ada syarat untuk beri hibah tetapi mengikut budi bicara TH," katanya.

Saturday, April 6, 2019

Isu hibah TH tak jejas kempen PH di Rantau, kata Mahfuz

News | Diterbitkan Hari ini 8:57 pagi


PRK RANTAU | Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar yakin bahawa isu kadar agihan hibah Tabung Haji (TH) yang diumumkan hari ini tidak akan menggugat kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, beliau yakin pengundi di kawasan itu merupakan mereka yang berfikiran matang dan sedar bahawa situasi tersebut berlaku akibat penyelewengan pengurusan TH di bawah kerajaan terdahulu.

"Saya fikir pengundi tak marah khususnya umat Islam yang merupakan pendeposit kepada TH, mereka tahu kenapa berlaku perkara ini dan saya percaya pendeposit dan umat Islam harus berterima kasih kerana kerajaan hari ini menyelamatkan TH untuk kembali kepada landasan betul," katanya kepada pemberita di Seremban, malam tadi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof mengumumkan agihan hibah TH adalah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Ditanya sekiranya perkara itu dijadikan isu oleh pembangkang pada PRK ini, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, berkata perkara tersebut akan hanya menyebabkan rakyat menghukum mereka sekali lagi.

"Saya percaya kalau mereka (pembangkang) mainkan isu seperti itu untuk kempen keluarkan deposit daripada TH, sekali lagi rakyat akan hukum mereka (kerana) melakukan pengkhianatan kedua terhadap institusi kewangan dan ekonomi umat Islam," katanya.

Beliau dalam pada itu, turut menyeru pengundi DUN Rantau memilih calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram sebagai wakil rakyat bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke kawasan itu.

"Sekiranya calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menang sekali pun, ia sama sekali tidak akan mengembalikan jawatan menteri besar yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu.

“Pengundi pastinya tidak mahu melihat taraf Tok Mat turun dari menteri besar kepada ketua pembangkang (dalam persidangan DUN).

“Betul ramai orang sayang Mohamad tapi nak sayang pun kena fikir juga keluarga, masyarakat, negeri dan negara...takkan nak sokong parti korup,” katanya.

PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

- Bernama

Tuesday, April 2, 2019

Tidak wajar bukan Islam urus harta TH

MUHAMED NORAZIHA ABDULLAH
02 APRIL 2019


KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata tidak sewajarnya harta Tabung Haji (TH) milik umat Islam diberi tanggungjawab kepada orang bukan Islam untuk mengurus.

Katanya, dalam kaedah Islam perkara yang melibatkan orang Islam khususnya berkenaan institusi TH mesti diketuai oleh orang Islam.

Beliau mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menyatakan bahawa Prokhas Sdn. Bhd tidak mengurus aset dan harta TH, sebaliknya harta itu diuruskan oleh Syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn. Bhd yang mempunyai kuasa eksekutif.

"CEO (ketua pegawai eksekutif) besar kuasanya. Kalau menteri berkata bahawa Prokhas bukan hanya mengurus TH, juga mengurus yang lain, kenapa tidak diasingkan TH kerana ia melibatkan orang Islam?" soalnya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya yang memetik hadis bahawa "jangan ambil cahaya api daripada orang musyrik" yang membawa maksud jangan minta pandangan orang musyrik dalam perkara melibatkan orang Islam.

"TH milik orang Islam. Apa sahaja yang hendak dilakukan untuk TH tidak boleh melibatkan walau seorang bukan Islam. Apatah lagi melibatkan CEO Prokhas yang mempunyai tanggungjawab besar kepada pengurusan melibatkan TH.

"Sebab itu Prokhas tidak wajar diberikan tanggungjawab, kalau perlu SPV lantik satu lagi syarikat lain khusus untuk urus TH melibatkan orang Islam sahaja bukan diketuai bukan muslim.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh apabila Menteri Agama 'diasak' dengan pelbagai persoalan daripada pihak pembangkang ekoran jawapan yang tidak jelas diberikannya berhubung aset dan harta TH yang diurus oleh Prokhas Sdn. Bhd diketuai orang bukan Islam ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

 – HARAKAHDAILY 
    2/4/2019

Saturday, January 19, 2019

Tabung Haji: Adakah mampu diselamatkan?

Presiden Isma, MPM adakan pertemuan bincang kedudukan kewangan, proses penstrukturan semula kedudukan aset dan liabiliti Tabung Haji

Oleh Siti Fatimah Ishak
sitifatimah 19/01/2019


BANGI, 13 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya mengakui masih terdapat kebimbangan dalam pengurusan dan penstrukturan Tabung Haji (TH), walaupun proses pemulihan lembaga itu sedang dilaksanakan.

Katanya, menerusi pertemuan beliau dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama Tabung Haji semalam, beberapa perkara masih menjadi tanda tanyA, berkaitan proforma penyata kewangan selepas penstrukturan yang masih tidak dapat disediakan, untuk memastikan ianya adalah efektif.

Selain itu, turut menjadi persoalan katanya, aset-aset yang dipindahkan adalah aset yang menjana keuntungan walaupun tidak banyak tetapi dilihat sebagai strategik.

“Adakah pengauditan TH perlu dibuat oleh juru audit luar yang bertauliah dan bukannya oleh Jabatan Audit Negara yang mana ia masih di bawah pengaruh pemimpin politik?

“Selain itu, jumlah sebenar hibah yang akan diumumkan, adakah sama atau berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya? Mungkin perkara ini perlu diperhalusi oleh pihak TH,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan proses pemulihan Tabung Haji sama ada aspek kewangan mahu pun pentadbiran dijangka berjalan lancar dalam tempoh beberapa tahun ini.

Katanya, TH turut mengesahkan tiada campur tangan politik di dalam pengurusan sekarang, yang mana Bank Negara membantu sebagai agensi pemantau.

“Selepas proses penstrukturan berjaya, TH dijangka akan menjana keuntungan. Dalam jangkamasa panjang, TH mungkin akan membeli semula aset-aset yang telah dipindahkan kepada Special Purpose Vehicle (SPV),” katanya.

Thursday, December 27, 2018

Hadi: Isu Tabung Haji agenda tersirat jatuhkan imej Islam

Diterbitkan 27 Dis 2018, 4:43 petang 


Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan isu Tabung Haji (TH) digunakan sebagai agenda tersirat pihak tertentu untuk menjatuhkan imej Islam.

Perkara tersebut dinyatakannya pada sesi dialog bersama warga Malaysia di sebuah hotel di London kelmarin, lapor Harakahdaily.

"Mereka hentam Tabung Haji melalui media, bukan melalui mahkamah. Media menjadi hakim, ini tak betul, salah! Apa membimbangkan kita, digunakan isu ini untuk merendahkan imej Islam.

"Itu agenda itu ada. Ini kita kena sedar. Padahal pihak lain banyak juga buat salah. Tapi dibesarkan di media, agenda yang tersirat ialah untuk menjatuhkan imej Islam,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof pada 10 Disember lalu mendedahkan keadaan kewangan Tabung Haji mengalami defisit RM4.1 bilion.

Beliau juga berkata hibah (dividen) Tabung Haji dibayar menggunakan wang pendeposit sendiri, dan bukannya keuntungan, sejak 2014.

Sementara itu, Hadi yang juga anggota parlimen Marang juga menjelaskan pendirian PAS itu tidak bermakna mereka mendukung penyelewengan.

“Penyelewengan itu satu, imej Islam itu satu. Kita setuju menentang penyelewengan.

"Tapi jangan libatkan Islam dengan sebab kesalahan Tabung Haji. Tetapi terdapat kalangan tertentu yang bukan Islam ini ada agenda nak merendahkan imej Islam ini melalui Tabung Haji," ujarnya.

Wednesday, December 12, 2018

PAS gesa tubuh RCI, tidak wajar ‘menteri mentah’ ulas TH di media

Oleh Abdul Rahim Sabri
Diterbitkan pada 12 December 2018

PAS menggesa urusan kewangan Tabung Haji disiasat oleh Majlis Raja-Raja atau Parlimen sebelum syornya dilaksanakan oleh kerajaan. — Foto oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR, 12 DisPAS mendesak suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyelesaikan pertikaian pengurusan kewangan dan dakwaan salah urus Tabung Haji (TH).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata syor siasatan RCI itu, atau Parlimen, perlu mempertimbang syor juruaudit bebas sebelum ia dilaksanakan oleh kerajaan.

“Namun PAS berpandangan adalah tidak wajar sekiranya pertuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang menteri yang masih mentah,” katanya dalam kenyataan.

“Sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.”

Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Rawa memaklumkan TH menanggung defisit RM4.1 bilion dan ia melanggar akta apabila memberi dividen.

Namun bekas pengerusi TH Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menafikannya dan dengan tegas menyatakan pengurusan TH tidak melanggar Akta Tabung Haji.

Justeru, Abdul Hadi menasihatkan kerajaan Pakatan Harapan agar tidak mempolitikkan isu TH sehingga boleh merosakkan imejnya dan tidak berat sebelah dalam siasatan.

PAS yakin integriti dan profesionalisme lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan TH dalam melaksanakan tugas, tambahnya.

“Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” kata wakil rakyat Marang lagi.

Azeez menggunakan hujah audit TH bawah pentadbirannya menggunakan khidmat Ernst & Young, sementara Mujahid berhujah menggunakan audit firma Price Waterhouse Coopers (PWC).

Namun Ernst & Young menjelaskan ia tidak mengaudit maklumat kewangan TH, sebaliknya menafsir kunci kira-kira pro forma bagi menggambarkan kesan pelaporan pelaburan TH.

Monday, December 10, 2018

Tubuh RCI siasat TH

MyMetro
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menyiasat kedudukan dan kewangan Tabung Haji (TH), tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, laporan siasatan dan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf di Parlimen hari ini, mengundang kerisauan semua pihak.

Oleh itu, katanya, satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera serta tegas.

Menurutnya, penubuhan RCI perlu bagi membolehkan membolehkan kerajaan mengetahui lebih jelas mengenai isu terbabit dan mencari jalan terbaik mengukuhkan kembali institusi penting berkenaan.

“Kita mesti melihat isu ini dalam konteks yang besar. Ia bukan sahaja berkaitan soal pemberian hibah yang tidak mengikut prosedur dan peruntukan TH, tetapi yang lebih mendasar ialah ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

“TH adalah institusi milik orang Melayu dan Islam. Masyarakat awam secara umum berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi itu dan kebenaran hanya akan terbit daripada siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad lagi, cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan institusi berkenaan diuruskan dengan sebaiknya dan tidak dibiarkan susut nilai serta dipergunakan.

Katanya, TH yang mempunyai nama besar dan reputasi yang baik sehingga di peringkat dunia harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

“UMNO sangat serius dalam apa jua usaha memelihara kewibawaan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Sebarang usaha untuk memperkuat institusi itu dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urus mesti disokong oleh semua pihak.

Portal berita hari ini melaporkan, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 8:38 PM

Mufti kecam pengkhianat berbaju pembela agama

Diterbitkan 10 Dis 2018, 8:37 malam


Pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof berhubung defisit RM4.1 bilion dialami Tabung Haji (TH) turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Melalaui hantaran di laman sosialnya mufti itu berkata kekuatan umat Islam tidak memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkannya.

Sebaliknya kata Mohd Asri ia hanya perlu dilakukan pengkhianat yang memakai baju "pembela agama."

"Siapakah yang menganiayai umat sendiri? Siapakah pula yang bersekongkol dengan kezaliman sebegini?" tanya Mohd Asri melalui hantaran berkenaan.

Pagi tadi Mujahid melalui sidang media di parlimen mendedahkan TH melanggar dua syarat semasa membuat pembayaran hibah (dividen) sejak 2014.

Kata anggota parlimen Parit Buntar itu, sepatutnya sebelum hibah dibayar kedudukan aset TH tidak boleh kurang berbanding liabiliti ditanggungnya.

Ia juga bergantung kepada kadar keuntungan yang diperolehi badan yang ditubuhkan khusus untuk membantu umat Islam mengerjakan haji itu.

Menurut Mujahid dapatan audit menunjukkan nilai keseluruhan aset TH ialah RM70.3 bilion manakala liabilitinya RM74.4 bilion.
diaudit itu berdasarkan laporan kewangan TH pada 31 Disember 2017.

Mujahid juga berkata kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia untuk masa depan yang lebih terjamin.

Mohd Asri juga membangkitkan persoalan, siapakah pihak yang bersekongkol untuk membiarkan kezaliman pada TH itu berlangsung.

"Kadangkala tidak perlu musuh luar untuk memusnahkan kekuatan kita, cukuplah dengan pengkhianat yang memakai baju pembela agama," katanya.

Tuesday, July 24, 2018

'Kembalikan penginapan percuma jemaah haji'

MyMetro
Mutakhir

Nur Lela Zulkipli
nurlela@nstp.com.my
KOMPLEKS TH, Sepang dan Movenpick Hotel yang akan digunakan buat pertama kali bagi mengendalikan operasi haji tahun ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah

WANITA UMNO menggesa Tabung Haji (TH) supaya mengembalikan perkhidmatan penginapan percuma kepada bakal jemaah haji yang transit musim ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, bakal jemaah haji yang juga pendeposit, wajar mendapat layanan terutamanya dalam pemberian penginapan percuma sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Buat pertama kalinya dalam sejarah, penginapan percuma kepada jemaah haji dihapuskan dan dikenakan bayaran yang dianggap mahal kepada jemaah.

"Akibatnya, bakal jemaah haji transit terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi penginapan mereka sedangkan tidak semua jemaah haji tergolong daripada orang yang berkemampuan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, Pengarah Operasi TH, Datuk Syed Salleh Syed Abd Rahman memberi penjelasan bahawa keputusan berkenaan dibuat sebulat suara oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab di TH.

Syed Salleh berkata, untuk mengubah keputusan yang telah dibuat, ia memerlukan persetujuan daripada jawatankuasa yang sama.

Dalam masa sama, Noraini turut berpandangan semua bakal jemaah haji layak dan berhak mendapat penginapan percuma seperti mana yang dilaksanakan oleh TH lebih 33 tahun lalu.

"Tidak semua jemaah haji mampu membayar kos penginapan yang mahal itu. TH tidak wajar mengambil keuntungan dari situasi jemaah haji yang memerlukan penginapan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"TH sebagai agensi utama yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan untuk mengelola urusan haji di Malaysia sepatutnya menjaga kebajikan jemaah haji terutamanya yang datang jauh dari ibu negara," katanya.

Difahamkan, bakal jemaah dan waris yang mahu menginap, TH menyediakan bilik di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) di Sepang tetapi kos penginapan ditanggung sepenuhnya oleh jemaah.

Penerbangan pertama haji akan berlepas pada Ahad ini sementara penerbangan terakhir ke Tanah Suci dijangka pada 14 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 8:46 PM

Saturday, September 12, 2015

Kren tumbang di Mekah: Dua lagi turut hilang, jadikan lapan jemaah gagal dikesan

Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan di sini berkata jumlah terkini itu diperoleh selepas pemeriksaan dilakukan dari bilik ke bilik di semua sembilan bangunan penempatan jemaah haji Malaysia sejak semalam.

KUALA LUMPUR, 12 September:

Dua lagi dilaporkan hilang sejak kejadian kren tumbang di Masjidil Haram semalam, menjadikan jumlah jemaah haji yang gagal dikesan kepada lapan orang.

Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan di sini berkata jumlah terkini itu diperoleh selepas pemeriksaan dilakukan dari bilik ke bilik di semua sembilan bangunan penempatan jemaah haji Malaysia sejak semalam.

Sebelum ini, enam nama disenaraikan hilang selepas kejadian itu yang turut mencederakan enam jemaah haji Malaysia itu, selain mengorbankan lebih 100 jemaah lain.

“Dua lagi jemaah yang dilaporkan hilang itu ialah Abdul Muluk Ishak, 71, berasal dari Pantai Remis, Perak, dan Susiah Suar, 56, berasal dari Gunung Besout 2, Sungkai, Perak,” kata kenyataan TH di sini.

Dalam kenyataan sebelum ini, enam jemaah yang hilang itu ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, berasal dari Tanah Merah, Kelantan; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah); Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan), Abdul Habib Lahman, 68, (Sik, Kedah), Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor) dan Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan).

Pasukan mencari dan menyelamat TH menggiatkan usaha untuk mencari dan mengesan kesemua jemaah terbabit di lokasi persekitaran Masjidil Haram serta klinik dan hospital sekitar Makkah.

Pusat Maklumat TH di Makkah juga akan memaklumkan perkembangan terkini kepada waris secara terus. TH akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa.

Orang ramai serta waris boleh menghubungi THCC di talian 03-62071919 dan 03-62071919 untuk mendapatkan maklumat.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/12/kren-tumbang-di-mekah-dua-lagi-turut-hilang-jadikan-lapan-jemaah-gagal-dikesan/#ixzz3lWYrdDDs

Sunday, May 10, 2015

Tabung Haji: Abim tegur Pengerusi Majlis Fatwa

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin menegur Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipetik berkata bahawa langkah penjualan semula hartanah Tabug Haji (TH) adalah bagi menghentikan fitnah.

"Beliau seharusnya sedar tentang penglibatan pengurusan TH dengan 1MDB secara langsung. Ia sekaligus menimbulkan kesangsian orang ramai berkaitan ketelusan," ujar Presiden Abim, Amidi Abd Manan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, manakala rakyat hanya meminta agar siasatan dijalankan bukan tuduhan atau fitnah seperti yang dinyatakan.

"Jelas beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merangkap Ahli Lembaga Pengarah TH gagal memahami kerisauan masyarakat Islam," ujarnya.

Tambahnya, merujuk kepada kenyataan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim berkaitan penjualan semula lot tanah di TR Exchange, Abim menyambut baik langkah tersebut.

Katanya, ia merupakan satu permulaan untuk membersihkan Tabung Haji daripada unsur-unsur manipulasi khususnya dari 1MDB.

Beliau berkata, langkah itu dilihat mampu untuk memulihkan keyakinan pendeposit terhadap pengurusan Tabung Haji.

Namun, ujarnya bagi memastikan keyakinan itu dapat terus dipertahankan keempat-empat pengurusan tertinggi TH yang terlibat dengan 1MDB di pelbagai peringkat mesti mengundurkan diri.

"Begitu juga dengan Datuk Abdul Azeez Rahim, selaku Pengerusi TH yang dilihat gagal menguruskan jual beli tersebut berlangsung dengan baik sehingga menimbulkan pertikaian," katanya lagi.

Tambah beliau, tidak timbul persoalan tergadainya hartanah benilai tinggi kepada bukan bumiputera jika kerajaan sendiri jujur dan bersungguh-sungguh mahu meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera di kawasan terbabit.

Menurutnya, tanah yang pada asalnya dimiliki kerajaan itu boleh sahaja terus dibangunkan oleh TH atau mana-mana GLC yang dikuasai oleh golongan bumiputera. -HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-