
Beliau berkata, bermula dengan Langkah Kajang yang songsang tanpa persetujuan semua parti dalam Pakatan Rakyat, diikuti pula dengan krisis pengguguran Menteri Besar Selangor.
"DAP melancarkan pelbagai serangan provokasi terhadap batang tubuh Presiden PAS khususnya. DAP membuat keputusan rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi tidak dengan PAS.
"Ini merupakan satu perancangan pecah dan perintah oleh DAP iaitu memecahbelahkan kesatuan pimpinan untuk mereka menguasai PAS," ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar dekat sini, pagi ini.
Musyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din merasmikan muktamar dengan tema 'Prinsip Perjuangan Asas Nusrah Kemenangan' itu. Hadir sama ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Mazlan Aliman.
Beliau berkata, DAP juga telah mengisytiharkan pembubaran Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak dan menentang keras usaha kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.
Tambahnya, terkini DAP pula memberi isyarat campur tangan dalam pemilihan PAS dengan mengandaikan mereka akan membuat keputusan berhubung kedudukan mereka dalam PR selepas muktamar PAS.
"Ia adalah isyarat campur tangan yang jelas agar perwakilan memilih pemimpin baru PAS yang pro dengan segala tindak tanduk DAP.
"Situasi ini memperingatkan kita dengan syarat-syarat tahaluf siyasi yang telah digariskan oleh Majlis Syura Ulamak pada 2009," ujarnya.
Menurut beliau, tindakan provokatif DAP itu boleh membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Parti Islam dengan parti sosialis tersebut.
Beliau menjelaskan, tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara PAS dan parti-parti yang tidak berasaskan Islam hukum asalnya dilarang oleh Islam.
Namun, katanya ia diharuskan apabila ada keperluan dengan beberapa syarat, antaranya tahaaluf dan kerjasama itu menjadi platform untuk mengukuhkan Islam dan ia tidak menjadi penghalang untuk pelaksanaan Syariat Islam.
Dengan syarat-syarat tersebut, ujar beliau Majlis Syura Ulamak telah mengharuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara PAS dengan PKR dan DAP.
"Tahaluf siyasi atau kerjasama politik merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh PAS sebagai strategi memaksimumkan kemenangan PAS dan meminimumkan kemenangan Barisan Nasional," kata beliau.
Tambah beliau, thaaluf siyasi dengan DAP dan PKR bermula dengan rundingan kerusi untuk menghadapi PRU12.
Strateginya, kata beliau ialah agar tidak berlaku pertembungan antara parti pembangkang dalam menghadapi BN.
Katanya lagi, strategi tersebut berjaya menyebabkan jatuhnya Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak daripada tangan Barisan Nasional.
"Rentetan itu, ditubuhkan kerajaan bersama antara parti pembangkang. Kedah ditubuhkan kerajaan bersama antara PAS dan PKR.
"Pulau Pinang pula kerajaan bersama antara DAP dan PKR. Perak dan Selangor pula kerajaan bersama 3 parti PAS, PKR dan DAP," ujarnya lagi.
Akhirnya, kata beliau ditubuhkan pula Pakatan Rakyat pada 2009.
"Dalam PRU13 pada 2013, PR menyertai pilihan raya dengan mempertaruhkan kekuatan kerjasama Pakatan Rakyat namun kita gagal mempertahankan Kedah dan gagal mendapatkan semula Perak yang dirampas oleh Umno menerusi pengkhianatan beberapa Adun DAP dan PKR," kata beliau. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.