Sunday, June 28, 2015

Skandal Mara - cabaran buat Najib, pukulan kepada Shafie Apdal

oleh Shahbudin Husin
SUARA LANTANG: Rakyat negara ini sekali lagi dikejutkan apabila skandal pembelian sebuah apartment di Melbourne, Australia oleh sebuah anak syarikat Mara iaitu Mara Inc., terdedah kepada umum. Skandal ini didedahkan oleh akhbar The Age yang membuat penyiasatan selama lapan bulan lalu mendapati apartment Dudley Internatinal House tersebut dibeli dengan harga RM13.7 juta lebih mahal yang kemudian didakwa dipulangkan dalam bentuk rasuah kepada kepada beberapa pihak di dalam negara.

The Age secara terbuka mendedahkan antara mereka yang terbabit dengan rasuah itu ialah Pengerusi Mara Inc. Datuk Mohamad Lan Alani, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Halim Abd Rahim serta beberapa yang lain.

Secara umumnya skandal ini memburukkan lagi nama kerajaan di mata dunia kerana ia berlaku di luar negara dan didedahkan pula oleh akhbar asing. Sudah tentu pandangan buruk antarabangsa terhadap negara tidak dapat diketepikan.

Di dalam negara pula, skandal ini menimbulkan lebih banyak kemarahan kerana mereka yang terlibat itu terang-terang mengkhianati rakyat memandangkan Mara itu sendiri adalah hasil singkatan yang membawa maksud cukup murni iaitu Majlis Amanah Rakyat.

Mara secara khususnya ditubuhkan untuk membantu Bumiputera dalam peningkatan bidang keusahawanan dan pendidikan agar mereka mampu bersaing dengan kaum-kaum lain. Dalam kes apartment yang dibeli di Melbourne yang dikaitkan dengan unsur rasuah sebanyak RM13.7 juta itu, ia adalah khusus untuk kegunaan para pelajar tajaan Mara yang belajar di Universiti Monash, Australia.

Bagi rakyat, kemarahan mereka ialah bagaimanakah mereka yang terlibat itu sanggup mengkhianati kepercayaan atas nama amanah rakyat dan pembelian yang berkaitan bidang pendidikan generasi muda pula?

Setelah rakyat begitu banyak berbual dan memperkatakan tentang isu 1MDB dan FGV sejak kebelakangan ini, timbulnya skandal Mara ini secara langsung menambahkan lagi imej buruk kerajaan di mata rakyat.

Rakyat menjadi hairan, mengapakah skandal demi skandal terus berlaku di negara ini? Apakah faktor penguatkuasaan kita begitu lemah sehingga sesiapa saja tidak takut melakukan kesalahan?

Apakah juga skandal demi skandal dari pelbagai peringkat dan agensi ini berlaku kerana orang peringkat rendah melakukannya lantaran melihat rasuah, penyelewengan serta kecurangan di peringkat atasan juga terus berleluasa?

Walaupun isu Mara ini sedang disiasat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga sudah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat, imej kerajaan yang dipimpinnya nyata sudah pun tercalar.

Jika dalam isu 1MDB, nama Perdana Menteri dikaitkan atas kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, manakala dalam isu FGV pula kerana Felda terletak dibawah naungannya, tetapi dalam skandal Mara ini nama Datuk Seri Najib dikaitkan kerana Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau MTEN yang dipengerusikannya adalah pemutus akhir yang meluluskan pembelian apartmen tersebut.

Meskipun Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa telah membetulkan kenyataannya sebelum ini dengan mengatakan MTEN sebenarnya sudah menolak pembelian itu pada peringkat awal tetapi hanya meluluskannya setelah dirayu oleh Mara dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, persoalannya tentu tambah melebar lagi.

Ia menjadikan semua ingin tahu, kenapa Mara dan kementerian membuat rayuan sedangkan ia sudah ditolak sebelumnya? Mengapa pula MTEN akhirnya mengalah dengan rayuan yang dikemukakan itu?

Persoalan ini berangkali memerlukan jawapan atau penjelasan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi Mara ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh yang sekarang menjadi Menteri Pelajaran Kedua.

Sejak pendedahan mengenai skandal Mara ini meletus dan menjadi perbualan ramai, Datuk Seri Shafie dan Datuk Seri Idris belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan atau ditanya wartawan mengenainya. Yang ke depan sekarang hanyalah Tan Sri Annuar Musa, tetapi beliau hanya dilantik menjadi Pengerusi Mara pada penghujung 2013 sedangkan proses pembeliannya bermula pada 2012 dan dimuktamadkan pada April 2013.

Mara serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah perlu tampil dengan penjelasan, apakah mereka sedar harga apartment tersebut dicadangkan pembeliaannya dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran?

Yang keduanya, adakah cadangan pembelian dan harga yang dikemukakan oleh Mara Inc itu sudah dilakukan semakan oleh Mara dan juga kementerian terbabit?

Terutama kepada Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini agak kritikal terhadap Perdana Menteri dalam isu 1MDB, timbulnya skandal Mara ini tentu saja merupakan pukulan kepada dirinya. Bukan saja kerana kementeriannya turut terlibat meluluskan pembelian itu, tetapi juga disebabkan Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohamad Lan Alani yang merupakan Pengerusi Mara inc. dan salah seorang yang didakwa terlibat itu datangnya daripada UMNO Bahagian Semporna yang kini sedang diketuainya.

Sudah kedengaran daripada kalangan pro Datuk Seri Najib yang mengatakan ini merupakan "karma" kepada dirinya sambil mahukannya segera tampil dengan keberanian memberi penjelasan sebagaimana sikapnya mahukan kebenaran dalam isu 1MDB sebelum ini.

Lalu, janganlah berlengah lagi menunjukkan kewibawaan dan ketelusan sebagai pemimpin.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Skandal-Mara-cabaran-buat-Najib-pukulan-kepada-Shafie-Apdal#sthash.WHA3Cynk.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-