Showing posts with label FGV. Show all posts
Showing posts with label FGV. Show all posts

Sunday, December 8, 2019

Mazlan Aliman rayu Dr M tak serah FGV pada pihak ketiga

Diterbitkan Hari ini 12:30 tengahari

BERITA

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional Amanah, Mazlan Aliman merayu agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak membiarkan membiarkan sektor FGV Holdings Bhd (FGV) diambil alih oleh pihak ketiga.

Mazlan yang berucap pada sesi penggulungan di Konvensyen Nasional Amanah 2019 berkata, warga Felda merupakan penyumbang terbesar kemenangan PH.

“Saya merayu kepada kerajaan, kepada perdana menteri Tun M (Dr Mahathir) jangan sesekali pihak ketiga ambil alih FGV.

“Saya sekadar ingatkan bagaimana perjuangan kita (Amanah) puluhan tahun untuk dapatkan sokongan orang Felda atas nama PH, mereka (Felda) sumbang menang besar kerajaan sekarang,” katanya di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), Shah Alam, hari ini.

FGV merupakan sebuah syarikat pertanian dan merupakan anak syarikat milik penuh Felda yang kini diterajui penuh oleh pihak kerajaan.

Mazlan yang juga merupakan pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang juga mendakwa bahawa pihak ketiga yang dimaksudkannya mahu mengambil alih FGV adalah ahli perniagaan, Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Saya terpaksa beritahu pihak ketiga itu adalah Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Kalau langkah pihak ketiga ini berjaya, kerajaan PH akan dituduh pengkhianat dan PH akan undang masalah pada PRU akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Syed Mokhtar merupakan seorang ahli perniagaan dan pengerusi Yayasan Al-Bukhary.

Terbaharu, beliau juga telah membeli kepentingan 70 peratus dalam anak syarikat milik penuh Dilof Sdn Bhd -syarikat induk yang memegang lesen percetakan Utusan Bhd.

Sementara itu, bekas ketua Wanita Amanah, Dr Mariah Mahmud di dalam ucapan penggulungannya hari ini mendapat tepukan gemuruh dari semua perwakilan serta pimpinan yang hadir di konvensyen.

Beliau mengingatkan pemimpin parti supaya tidak membolot semua jawatan yang ada dan sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin lain yang berkaliber.

“Orang lantikan politik, setakat politik cukup.

“Kita ada ramai lagi orang yang berkebolehan di kalangan pimpinan dekat sini,” katanya.

Terdahulu, Dr Mariah dilaporkan mengambil keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan jawatannya dalam ketua wanita dan juga difahamkan tidak mendapat tempat dalam pemilihan kepimpinan parti itu di Puchong.

Monday, December 25, 2017

Isa Samad nafi elak media kerana isu tanah Felda

FMT Reporters
December 25, 2017

Bekas pengerusi Felda itu berkata, beliau sibuk menghadiri beberapa program di Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menafikan beliau cuba mengelakkan wartawan yang mahu mendapatkan komennya berhubung isu pemindahan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu NST Online beliau mempunyai jadual padat untuk menghadiri beberapa program di Jempol, Seremban dan Port Dickson sejak beberapa hari lalu.

“Siapa kata saya larikan diri? Saya sibuk dengan pelbagai program,” katanya ketika menghadiri kempen Hari Pahlawan Teluk Kemang di Batu 4, Port Dickson.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Isa ada mengulas isu pertukaran hak milik tanah itu.

Isa dilaporkan mengelak menemui wartawan yang menunggu beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Khamis lalu, sekembalinya dari luar negara.

Beliau juga tidak menjawab panggilan mahupun mesej WhatsApp yang dihantar ke nombor telefon peribadinya.

Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil Isa bagi membantu siasatan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.

Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai RM270 juta itu, susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai 1 Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi FGV mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017

Friday, September 1, 2017

Ekonomi di bawah PM Najib bagus, kata penganalisis

Penganalisis politik berkata langkah pentabdiran Najib menghapuskan subsidi dan melaksanakan GST sebagai sesuatu yang “perlu dan mendesak”.Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.

EKONOMI Malaysia di bawah Perdana Menteri Najib Razak sebenarnya berada pada kedudukan yang baik, kata Dr Bruce Gale, tetapi pentadbiran beliau tidak diberikan pujian yang sewajarnya.

Menulis dalam akhbar The Straits Times, penganalisis politik dan ekonomi itu berkata hakikatnya di bawah kepimpinan Najib, dasar-dasar ekonomi mikro Malaysia adalah memadai.

Beliau menyebut langkah pentabdiran Najib menghapuskan subsidi dan melaksanakan GST sebagai sesuatu yang “perlu dan mendesak”, selain penglibatan Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, yang kini sudah diketepikan oleh Amerika Syarikat yang menarik diri selepas Donald Trump jadi presiden.

“Bahawa dasar-dasar tidak popular ini diusahakan ketika ada dua pilihan raya umum (pada 2008 dan 2013) yang melahirkan pembangkang yang kuat juga membayangkan tahap keberanian politik yang jarang ada dalam kalangan pemimpin Malaysia,” tulisnya di akhbar itu hari ini.

Dr Bruce menambah pemerhati politik dan ekonomi Malaysia tidak harus membenarkan isu-isu yang dibangkitkan berhubung skandal korporat, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda Global Ventures Capital Sdn Bhd (FGV), mengaburi pandangan mereka tentang aspek lain prestasi ekonomi Malaysia.

Thursday, August 17, 2017

Belum ada keputusan beku aset Isa Samad - SPRM

SALMAH MAT HUSAIN
 16 AUGUST 2017
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuat keputusan untuk membekukan aset bekas Pengerusi Felda Global Ventures, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atau sebaliknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Azam Bakri berkata, ia bergantung kepada hasil siasatan dibuat.

“Sehingga kini pihak kami masih membuat penyiasatan sejak laporan berkaitan Isa Samad diterima lebih sebulan lalu,” katanya kepada media mengulas berkaitan penahanan Isa petang semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedah lebih lanjut mengenai kes tersebut buat masa ini.

“Saya perlu dapatkan maklumat lebih lanjut daripada pegawai penyiasat yang menyiasat perkara ini sebelum membuat tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut memberitahu siasatan dibuat berkaitan maklumat orang ramai dan laporan berkaitan FGV dan pembelian hotel.

Sebelum itu beliau hadir pada program Ikrar Bebas Rasuah pemimpin kerajaan Kelantan.

Turut menandatangani ikrar itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan anggota-anggota Exco.

Program itu diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini.

 - HARAKAHDAILY 16/8/2017

Wednesday, June 7, 2017

Kemelut Felda peluang PH tembusi kubu BN - Bersatu

Posted By: Redzuan

Penempatan Felda bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN), kata PPBM, yang yakin pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih kuat di situ.

Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya kini semakin membuat kemajuan dalam menembusi wilayah Felda.

Menurutnya penerimaan warga Felda terhadap PPBM bukan sahaja atas “faktor Dr Mahathir”, tetapi juga dibantu oleh krisis yang kini menimpa Global Ventures Holdings (FGV) melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad dan Pengerusi Tan Sri Isa Samad.

“Ia benar-benar menyedihkan dan mengecewakan di mana peneroka Felda adalah golongan yang lebih memerlukan bantuan, sebaliknya terpalit dengan dakwaan salah urus,” kata Syed Saddiq kepada FMT.

Syed Saddiq yakin Isa bukan pemimpin yang popular di kalangan peneroka Felda.

Menurutnya, ketidaktentuan sokongan peneroka Felda menyebabkan BN masih belum lagi membubarkan Parlimen kerana belum yakin pengundi Felda akan “menyelamatkan mereka”.

“Saya rasa semua orang tahu Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup peneroka Felda, jadi ada beberapa nostalgia di kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata salah satu agenda utama untuk peneroka Felda yang dirancang Pakatan Harapan (PH) ialah sebuah universiti untuk mereka.

Semalam, Zakaria diarahkan Lembaga Pengarah melepaskan jawatan CEO dan presiden, sementara siasatan diteruskan mengenai tunggakan bayaran oleh sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.

 – FMT

Zakaria jumpa SPRM petang ini


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini.

Memetik laporan Utusan Online, pertemuan tersebut dijadual diadakan kira-kira pukul 3 petang ini di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Laporan yang sama turut menyebut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki mengesahkan perkara itu.

Semalam, Zakaria dilaporkan sebagai berkata, beliau mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi syarikat itu bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalah gunaan kuasa.

Jelas Zakaria, walaupun diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV, beliau sendiri sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat syarikat perladangan itu termasuk ketika sebelum beliau menjadi CEO lagi.

“Saya sedia bekerjasama kepada SPRM. Saya tidak takut untuk berdepan situasi ini kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mungkin banyak perkara yang boleh disiasat oleh SPRM.

“Dengan penglibatan SPRM sendiri, mungkin banyak persoalan boleh dirungkai dan diselesaikan,” katanya.

Sunday, February 12, 2017

Shahrir tanya mana pergi RM4.3 bilion duit Felda?

BANGI, 14 Jamadilawal 1438H, Sabtu – Sejumlah RM4.3 bilion wang Felda hasil penyenaraian FGV telah hilang dan mungkin disalah belanja.

“Felda mendapat RM6 bilion hasil penyenaraian FGV iaitu harta bisnes Felda. Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion kita belanjakan sebagai durian runtuh.

“Kita sampaikan kepada peneroka dan keluarga mereka iaitu RM15,000 satu keluarga dan ada bakinya RM4.3 bilion lagi.

“Jadi RM4.3 bilion ini mana pergi? Ini agaknya saya rasa mengecewakan peneroka yang dah begitu rapat dengan Felda…begitu sanjung peranan Felda…saya rasa mereka pun kecewa,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Sinar Online.

Shahrir berkata, di bawah laporan Ketua Audit Negara, kira-kira RM200 juta dibelanjakan dengan pelbagai program yang dibuat.

“Nak dapatkan balik, kita akan berusaha. Tapi tak mungkin kita dapat balik RM200 juta pasal sudah habis. Dilaporkan dibuat macam-macam tanpa kelulusan, protokol atau keadaan yang sepatutnya.

“Sebab itu tugas saya ialah cuba betulkan kedudukan kewangan Felda. Duit bukan tiada, tapi ialah…mungkin disalah belanja,” katanya.

Beliau berkata, oleh itu menjadi tanggungjawabnya dan pengurusan Felda pada hari ini untuk mengembalikan keyakinan di kalangan pengurusan kakitangan lembaga tersebut.

“Kalau sudah yakin.. kita tahu tugas kita.. kita buat kerja kita sebagai pengurusan, peneroka pun akan kembali balik kepada kita. Percaya balik kepada Felda.

“Ia bermula daripada dalam iaitu daripada Felda itu sendiri. Jadi itu tugas saya sebagai pengerusi Felda,” katanya.

Tuesday, January 10, 2017

Apa rahsia Isa Samad hingga Najib sayang: Soal PAS

 Berita Utama
BANGI, 11 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Kenapa Datuk Seri Najib (Razak) terlalu sayang kepada (Tan Sri) Isa Samad? Apakah rahsia kekuatan Isa Samad sehingga beliau kebal di Felda?, soal Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Sedangkan, katanya, masalah di Felda bermula sejak Isa menjadi Pengerusi Felda pada 2011, sehingga menimbulkan keresahan di kalangan warga agensi tanah Persekutuan itu.

“Daripada awal lagi beliau dilantik sudah menimbulkan keresahan di kalangan penghuni Felda. Beliau yang mempunyai rekod yang tidak bersih di dalam Umno, tetapi tetap juga dilantik. Kelam kabut dalam pengurusan Felda, walaupun mereka ini orang yang cukup setia dengan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, Isa juga tidak mempedulikan bantahan pihak pengurusan Felda berikutan cadangan FGV untuk memiliki 37 peratus saham PT Eagle Hight Plantations (PT EHP), anak syarikat Rajawali Group, sebuah konglomerat perladangan terbesar Indonesia.

Katanya, walaupun Tan Sri Shahrir Samad mengganti Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, namun Isa masih kekal sebagai Pengerusi FGV.

“Bolehkah Shahrir bergerak dengan bebas? Masalah Felda ialah masalah FGV yang dipengerusi oleh Isa Samad. Kenapa Datuk Seri Najib terlalu sayang kepada Isa Samad? Apakah rahsia kekuatan Isa Samad sehingga beliau kebal di Felda?,” katanya.

Ustaz Idris berkata, melantik Shahrir mungkin untuk meredakan kemarahan warga Felda yang memiliki 54 kerusi Parlimen.

“Ia merupakan stok penimbal BN dalam pilihan raya. Mungkin Najib sudah dapat menghidu kemarahan warga Felda yang akan bertukar haluan kepada PAS terutamanya apabila rungutan mereka tidak didengari oleh kerajaan. Maka Shahrir dilantik menjadi Pengerusi Felda yang baru,” katanya.

Sunday, January 8, 2017

Masalah Felda bukan kerana peneroka, kejatuhan harga minyak sawit tetapi......

Felda dibeban dengan pelbagai rancangan dan skim yang tidak ada kaitan dengan perladangan, kononnya atas alasan transformasi dan mempelbagaikan kegiatan. FGV yang menjadi kebanggaan Felda suatu ketika dahulu kini berdepan masalah apabila nilai sahamnya terus merudum

BANGI, 9 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times, Datuk A Kadir Jasin berpendapat, masalah yang dihadapi Felda sekarang ini bukan lagi kerana kejatuhan harga minyak kelapa sawit, getah atau disebabkan sikap peneroka.

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang menjadi masalah ialah Felda dibebankan dengan pelbagai rancangan dan skim yang tidak ada kaitan dengan perladangan, kononnya atas alasan transformasi dan mempelbagaikan kegiatan.

Oleh itu, katanya, banyak sumber kewangan dan kepakaran Felda dialihkan daripada perladangan kepada sektor-sektor bukan ladang, dengan menggadai atau memajak asetnya untuk mencari modal.

“Felda memasuki bidang-bidang yang bukan kepakarannya di dalam dan luar negara seperti hartanah, perhotelan dan pengilangan bijirin. Penglibatannya dalam industri pemprosesan bijirin minyak di Amerika Syarikat dan Kanada telah menyebabkan kerugian besar dan terpaksa dijual.

“Felda mendakwa membuat keuntungan daripada penjualan itu tetapi ada pihak mengatakan ia tidak mengambil kira kerugian dan modal yang terpaksa dilupuskan.

“Pengilang di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Kanada tidak akan menjual kilang jika perniagaan mereka menguntungkan apatah lagi menjualkannya kepada orang asing. Mereka menjual kerana industri pengisaran bijirin minyak semakin sukar dan tidak menguntungkan. Inilah kilang yang dibeli oleh Felda dan FGV.

“Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa banyak syarikat besar dan berpengalaman seperti Kumpulan Kuok dan pengilang-pengilang di China mengalami kerugian besar dalam industri pengisaran bijirin minyak,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
A Kadir berkata, pada 2014, Felda beli pula sebuah hotel empat bintang di London pada harga, yang diketahui satu dunia, lebih mahal daripada harga pasaran, sehingga penggiat pasaran hartanah di London mengkritik pembelian itu sebagai merosakkan pasaran.

Hal yang sama juga kata wartawan veteran itu, dapat dilihat dalam proses mengapungkan aset peneroka melalui tawaran awam permulaan (IPO) FGV pada 2012, di mana harga yang tinggi dikenakan iaitu RM4.55 tatkala harga kelapa sawit dan getah mula jatuh.

“Ini menyebabkan banyak pihak percaya bahawa dorongan di sebalik diversifikasi dan pembelian harta di luar negara bukanlah kebajikan peneroka Felda, keuntungan jangka panjang dan kelestarian perniagaan tetapi cara bagi membolehkan pihak-pihak tertentu membuat keuntungan segera dalam bentuk komisen, yuran perundingan dan keuntungan modal (capital gain).

“Adalah perkara biasa dalam urusan menggabung dan mengambil alih syarikat (M&A), pembelian aset dan pinjaman bersindiket (syndicated loans) komisen dan yuran perundingan yang lumayan akan dibayar.

“Satu contoh yang diketahui umum adalah bagaimana Abdul Razak Baginda, bekas penyelidik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dibayar 30 juta Euro (kira-kira RM141 juta pada kadar tukaran sekarang) sebagai orang tengah dalam pembelian kapal selam Scorpene daripada Perancis,” katanya.

A Kadir berkata, kebimbangan yang semakin mendalam mengenai masa depan Felda dan nasib peneroka adalah berasas, walaupun dalam jangka masa singkat kelemahan kewangan Felda boleh ditutup melalui operasi ‘corporate manoeuvre’, penjualan aset atau meminjam daripada kerajaan.

“Kegagalan sistemik (systemic failure) akan berlaku juga jika urus niaga Felda terus tidak lestari. Buat permulaan, aset terbesar Felda iaitu FGV sudah pun mula mencatatkan kerugian – sebanyak RM94.8 juta bagi sembilan bulan pertama tahun 2016,” katanya.

Sunday, June 28, 2015

Skandal Mara - cabaran buat Najib, pukulan kepada Shafie Apdal

oleh Shahbudin Husin
SUARA LANTANG: Rakyat negara ini sekali lagi dikejutkan apabila skandal pembelian sebuah apartment di Melbourne, Australia oleh sebuah anak syarikat Mara iaitu Mara Inc., terdedah kepada umum. Skandal ini didedahkan oleh akhbar The Age yang membuat penyiasatan selama lapan bulan lalu mendapati apartment Dudley Internatinal House tersebut dibeli dengan harga RM13.7 juta lebih mahal yang kemudian didakwa dipulangkan dalam bentuk rasuah kepada kepada beberapa pihak di dalam negara.

The Age secara terbuka mendedahkan antara mereka yang terbabit dengan rasuah itu ialah Pengerusi Mara Inc. Datuk Mohamad Lan Alani, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Halim Abd Rahim serta beberapa yang lain.

Secara umumnya skandal ini memburukkan lagi nama kerajaan di mata dunia kerana ia berlaku di luar negara dan didedahkan pula oleh akhbar asing. Sudah tentu pandangan buruk antarabangsa terhadap negara tidak dapat diketepikan.

Di dalam negara pula, skandal ini menimbulkan lebih banyak kemarahan kerana mereka yang terlibat itu terang-terang mengkhianati rakyat memandangkan Mara itu sendiri adalah hasil singkatan yang membawa maksud cukup murni iaitu Majlis Amanah Rakyat.

Mara secara khususnya ditubuhkan untuk membantu Bumiputera dalam peningkatan bidang keusahawanan dan pendidikan agar mereka mampu bersaing dengan kaum-kaum lain. Dalam kes apartment yang dibeli di Melbourne yang dikaitkan dengan unsur rasuah sebanyak RM13.7 juta itu, ia adalah khusus untuk kegunaan para pelajar tajaan Mara yang belajar di Universiti Monash, Australia.

Bagi rakyat, kemarahan mereka ialah bagaimanakah mereka yang terlibat itu sanggup mengkhianati kepercayaan atas nama amanah rakyat dan pembelian yang berkaitan bidang pendidikan generasi muda pula?

Setelah rakyat begitu banyak berbual dan memperkatakan tentang isu 1MDB dan FGV sejak kebelakangan ini, timbulnya skandal Mara ini secara langsung menambahkan lagi imej buruk kerajaan di mata rakyat.

Rakyat menjadi hairan, mengapakah skandal demi skandal terus berlaku di negara ini? Apakah faktor penguatkuasaan kita begitu lemah sehingga sesiapa saja tidak takut melakukan kesalahan?

Apakah juga skandal demi skandal dari pelbagai peringkat dan agensi ini berlaku kerana orang peringkat rendah melakukannya lantaran melihat rasuah, penyelewengan serta kecurangan di peringkat atasan juga terus berleluasa?

Walaupun isu Mara ini sedang disiasat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga sudah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat, imej kerajaan yang dipimpinnya nyata sudah pun tercalar.

Jika dalam isu 1MDB, nama Perdana Menteri dikaitkan atas kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, manakala dalam isu FGV pula kerana Felda terletak dibawah naungannya, tetapi dalam skandal Mara ini nama Datuk Seri Najib dikaitkan kerana Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau MTEN yang dipengerusikannya adalah pemutus akhir yang meluluskan pembelian apartmen tersebut.

Meskipun Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa telah membetulkan kenyataannya sebelum ini dengan mengatakan MTEN sebenarnya sudah menolak pembelian itu pada peringkat awal tetapi hanya meluluskannya setelah dirayu oleh Mara dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, persoalannya tentu tambah melebar lagi.

Ia menjadikan semua ingin tahu, kenapa Mara dan kementerian membuat rayuan sedangkan ia sudah ditolak sebelumnya? Mengapa pula MTEN akhirnya mengalah dengan rayuan yang dikemukakan itu?

Persoalan ini berangkali memerlukan jawapan atau penjelasan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi Mara ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh yang sekarang menjadi Menteri Pelajaran Kedua.

Sejak pendedahan mengenai skandal Mara ini meletus dan menjadi perbualan ramai, Datuk Seri Shafie dan Datuk Seri Idris belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan atau ditanya wartawan mengenainya. Yang ke depan sekarang hanyalah Tan Sri Annuar Musa, tetapi beliau hanya dilantik menjadi Pengerusi Mara pada penghujung 2013 sedangkan proses pembeliannya bermula pada 2012 dan dimuktamadkan pada April 2013.

Mara serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah perlu tampil dengan penjelasan, apakah mereka sedar harga apartment tersebut dicadangkan pembeliaannya dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran?

Yang keduanya, adakah cadangan pembelian dan harga yang dikemukakan oleh Mara Inc itu sudah dilakukan semakan oleh Mara dan juga kementerian terbabit?

Terutama kepada Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini agak kritikal terhadap Perdana Menteri dalam isu 1MDB, timbulnya skandal Mara ini tentu saja merupakan pukulan kepada dirinya. Bukan saja kerana kementeriannya turut terlibat meluluskan pembelian itu, tetapi juga disebabkan Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohamad Lan Alani yang merupakan Pengerusi Mara inc. dan salah seorang yang didakwa terlibat itu datangnya daripada UMNO Bahagian Semporna yang kini sedang diketuainya.

Sudah kedengaran daripada kalangan pro Datuk Seri Najib yang mengatakan ini merupakan "karma" kepada dirinya sambil mahukannya segera tampil dengan keberanian memberi penjelasan sebagaimana sikapnya mahukan kebenaran dalam isu 1MDB sebelum ini.

Lalu, janganlah berlengah lagi menunjukkan kewibawaan dan ketelusan sebagai pemimpin.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Skandal-Mara-cabaran-buat-Najib-pukulan-kepada-Shafie-Apdal#sthash.WHA3Cynk.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-