Friday, August 7, 2015

Perwakilan Pagoh sangsi penderma mahu RM2.6 bilion masuk akaun Najib

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Published: 7 August 2015 1:20 PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di majlis perasmian mesyuarat perwakilan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno Pagoh hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2015.

Perwakilan sayap parti Umno di Pagoh, Johor, hari ini menyuarakan keraguan mereka yang penderma dana RM2.6 bilion dari Timur Tengah mahu wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada pembukaan mesyuarat perwakilan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno Pagoh hari ini, ketika ucapan perasmian Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, kebanyakan mereka menjerit "tidak" apabila beliau berkata perkara itu dimaklumkan Najib kepadanya.

"Saya tanya, duit itu masuk ke mana, (Najib jawab) akaun saya. Kenapa masuk akaun you? Orang nak bagi derma itu suruh masuk akaun saya," katanya mengulangi dialog Najib kepadanya sebelum ini.

"Percaya atau tidak?" Muhyiddin mengajukan soalan kepada perwakilan, dan disambut dengan teriakan "tidak".

"Kena percaya, orang sudah beritahu itu percaya sahajalah... takut lepas ini lembaga disiplin (Umno) panggil saya," katanya.

Muhyiddin yang digugurkan daripada Kabinet Najib pada hujung bulan lalu berkata, beliau dimaklumkan oleh Najib, penderma dana berjumlah RM2.6 bilion itu mahukan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui dana berkenaan adalah derma, seperti mana dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

"Saya tidak dimaklumkan berkenaan RM2.6 bilion. Saya hanya dimaklumkan selepas pendedahan The Wall Street Journal (WSJ), disaksikan setiausaha agung dan bendahari. Saya sebagai timbalan presiden memang tidak tahu.

"Saya tak mahu persoalkan wang derma itu, saya tak mahu pertikaikan. Itu jumlah bukan sedikit," kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Muhyiddin berkata, Najib bagaimanapun tidak mendedahkan kepadanya sumber dana berkenaan.

"Saya tanya datang dari mana, beliau jawab daripada penyumbang Timur Tengah. Saya tanya siapa nama orang itu, dan beliau kata tak boleh beritahu kamu," katanya.

Muhyiddin berkata, orang ramai yang menemuinya kini membangkitkan persoalan sama ada akaun Najib yang sudah ditutup masih lagi mempunyai wang di dalamnya.

"Akaun dah ditutup, ada baki tak? Sudah dimasukkan ke akaun parti? Saya tak boleh nak jawab sama ada dah masuk ke akaun parti atau sebaliknya. Banyak tanda tanya yang belum terjawab.

"Jika benar kerajaan kita ini telus, akauntabiliti, kita kena tunjuk bukan saja melalui perkataan, baru rakyat yakin kerajaan ini telus dan bertanggungjawab," katanya. – 7 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/perwakilan-pagoh-tak-percaya-penderma-mahu-rm2.6-bilion-masuk-akaun-najib#sthash.dwuSUDFD.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-