Thursday, August 27, 2015

Rakyat letih 'dibangsatkan', kata bekas timbalan menteri menjelang Bersih 4

OLEH YASMIN RAMLAN

Ketua Pegawai Eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah berucap pada forum ‘Protes Rakyat atau Dewan Rakyat’ anjuran portal Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi. Beliau berkata, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin merosot dengan segala isu yang melanda negara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2015.

Rakyat Malaysia sudah penat diperbodohkan, dileter dan dibangsatkan, kata bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah menjelang perhimpunan Bersih 4 yang akan diadakan hujung minggu ini.

Ketua pegawai eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu berkata, apa yang dialami negara kini boleh disifatkan sebagai defisit kepercayaan terhadap kerajaan.

"Dari segi rakyat, sekarang ini ada satu kekecewaan, kemarahan, terkumpul perasaan-perasaan yang sedemikian rupa dan ada banyak sebab.

"Dahulu ketika seorang timbalan perdana menteri dipecat, pada masa itu rakyat lihat ia sebagai isu politik, hari ini bila seorang lagi timbalan perdana menteri dipecat, rakyat tidak lihat ia sekadar isu politik. Ia bukan lagi isu politik, ia melampaui politik," katanya merujuk kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun ini.

Bekas ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian pada forum “Protes Rakyat atau Dewan Rakyat” anjuran portal Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

"Di kalangan rakyat dilihat seperti ada satu garis sesama rakyat di mana kebijaksanaan rakyat dihina, rakyat serik dileter, diperbodohkan, dan akhir-akhir ini dibangsatkan," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan kontroversi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa orang Melayu akan “dibangsatkan” jika Umno hilang kuasa ketika berucap pada majlis perasmian berkelompok persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau pada Ahad lalu.

Saifuddin yang juga merupakan bekas timbalan menteri pengajian tinggi berkata, rakyat seperti tidak dapat dibantu kerana keadaan seolah-olah tidak akan berubah, manakala pada masa sama mereka mengharapkan sesuatu perubahan terjadi.

Bagaimanapun menurut Saifuddin, masih terdapat beberapa pihak yang berani menyuarakan kebenaran .

"Kalau Maria bersuara itu biasa, kalau Gan Peng Sieu dan saya pun biasa juga. Tetapi kalau bekas kakitangan kerajaan yang tinggi, masih dalam perkhidmatan mengatakan ‘kamu ada kuasa aku ada Tuhan’, itu adalah sesuatu,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai usul undi tidak percaya kepada Najib yang dikatakan akan dibawa ke Dewan Rakyat.

Katanya, sesetengah pihak keliru antara kerajaan dan negara kerana beliau berpendapat tindakan dalam Parlimen itu semestinya tidak menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Adakah boleh gulingkan kerajaan secara undi tidak percaya? Pertamanya menggulingkan kerajaan bukan di luar demokrasi. Yang tidak boleh itu ialah merosakkan negara," katanya.

Selain Saifuddin, di antara panelis yang bersama forum malam tadi ialah wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, Gan yang juga bekas timbalan menteri dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rakyat-letih-dibangsatkan-kata-bekas-timbalan-menteri-menjelang-bersih-4#sthash.FDn1fRa9.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-