Friday, August 7, 2015

SPRM terima sokongan tidak dijangka, daripada pembangkang dan pengkritik

OLEH JULIA YEOW, PENGARANG BERITA

Published: 7 August 2015 6:54 AM

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob bersama Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang ketika sesi lawatan pembangkang ke SPRM di Putrajaya, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 7 Ogos, 2015.

Sejak ditubuhkan, kewajaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sering menjadi pertikaian di mata orang ramai, dengan pengkritik mendakwa ia lebih menyerupai proksi kerajaan daripada sebuah badan pemantau bebas.

Rakyat Malaysia makin kecewa dengan apa yang mereka anggap satu ketidaktelusan dalam kontroversi 1Malaysia Development Board (1MDB) dan penyaluran RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka kini menggantungkan harapan mereka kepada SPRM, yang hari ini muncul sebagai satu sumber inspirasi bagi mereka yang mencari kebenaran.

Sejarah hitam

SPRM pertama kali terbabit dalam kontroversi pada Julai 2009 apabila setiausaha politik ahli pembangkang Teoh Beng Hock ditemui mati di premis bangunan pejabat agensi itu di Shah Alam, Selangor.

Ia ketika itu baru 7 bulan beroperasi sebagai suruhanjaya yang lebih bebas, telus dan profesional, menggantikan Badan Pencegah Rasuah, sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tidak sampai 2 tahun kemudian, pegawai kastam Ahmad Sarbani Mohamad ditemui mati di bangunan sama.

Polis sedang membuka semula siasatan ke atas kematian Teoh, manakala bagi kes Sarbani, inkues memutuskan kematiannya satu kemalangan.

Kedua-dua insiden itu membentuk persepsi awam yang agensi anti rasuah itu sendiri penuh dengan rahsia gelap, rasuah dan salah urus.

Bagaimanapun, tanggapan itu nampaknya mula berubah minggu lalu apabila SPRM mendapati dirinya di tengah-tengah satu kontroversi epik berikutan siasatannya ke dalam saga 1MDB itu.

Ia menjadi sasaran siasatan polis kerana wujud dakwaan maklumat rasmi dibocorkan dalam siasatan kerajaan ke atas 1MDB.

Apabila 7 pegawai dan seorang bekas anggota panel penasihatnya dipanggil polis untuk disoal siasat dalam satu usaha yang disifatkan pengkritik satu cubaan intimidasi, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zain bertindak balas dengan ikrar untuk meneruskan siasatan.

Tiba-tiba, mereka yang dulunya memusuhi SPRM, beralih sentimen.

Daripada pemimpin hak awam Datuk Ambiga Sreenevasan hingga orang kuat pembangkang Lim Kit Siang, mereka kini menjadi sekutu kuat, menyuarakan sokongan kepada suruhanjaya itu yang pernah mereka kecam sebelum ini sebagai tidak cekap.

Kini mereka menghamburkan kata pujian kepada SPRM sebagai pejuang kebenaran.

Sokongan yang diterima rakyat Malaysia juga luar biasa, dengan sebuah laman Facebook dinamakan "Rakyat bersama SPRM" menarik hampir 7,000 ahli dalam masa tidak sampai 24 jam selepas dimulakan. Dan setakat pagi ini, keahliannya mencapai lebih 18,000.

Perubahan tiba-tiba tanggapan terhadap SPRM ini, daripada penjahat kepada wira, sebahagian besarnya disebabkan hakikat rakyat Malaysia selama ini tidak mendapat jawapan kepada soalan mereka mengenai 1MDB, kata Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4) Cynthia Gabriel.

Mereka kini berharap kepada SPRM untuk mendapatkan jawapannya.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertindak menghentikan penentangan dari dalam Umno, menyingkirkan peguam negara dan membantutkan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dengan menaikkan pangkat penyiasat utamanya," katanya.

SPRM berkata ia sedang menyiasat SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, manakala siasatan polis ialah terhadap 1MDB.

Tetapi, memandangkan persepsi orang ramai terhadap polis sekarang, "harapan dan penggantungan tinggi" diletakkan pada badan anti rasuah ini, kata Gabriel.

Sokongan tidak berbelah bahagi

Penyokong SPRM mendakwa, serbuan polis ke atas pegawai agensi itu merupakan satu bentuk ugutan, dan sebahagian usaha kerajaan menggagalkan siasatan terhadap kontroversi yang timbul.


Sokongan kepada SPRM perlu diberikan kerana mereka wira sebenar dalam masa mencabar ini, kata Presiden Transparency International-Malaysia, Datuk Akhbar Satar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Ogos, 2015."Kita mesti bangkit menyatakan sokongan kepada SPRM, kerana mereka merupakan wira sebenar pada masa-masa yang mencabar ini," kata Presiden Transparency International-Malaysia, Datuk Akhbar Satar.

"Kami menyeru kerajaan membenarkan SPRM menjalankan tugasnya tanpa rasa takut atau gentar. Ia satu-satunya institusi yang tinggal, yang dilihat bebas dan berupaya mencari kebenaran. Semua intimidasi polis ini mesti dihentikan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Akhbar berkata, SPRM selama ini tidak mendapat sokongan ramai rakyat Malaysia, sebahagiannya kerana "sejarah hitamnya" dengan kematian Teoh dan Sarbani.

Bagaimanapun, penyokong SPRM kini menyatakan sokongan tidak berbelah kepada agensi itu tanpa mempedulikan sejarah lampaunya, kerana siasatannya mesti diteruskan tanpa halangan atau campur tangan kerajaan.

Gabriel menegaskan, tindakan masyarakat sivil bukan bertujuan "menyelamatkan SPRM" dan ia masih perlu bertanggungjawab ke atas semua kontroversinya yang lalu, tetapi ia perlu "dipelihara dan diperkukuhkan agar boleh menjalankan tugas dengan bebas".

"Apa yang sedang kita hadapi ini dalam konteks semasa isu 1MDB, sangat berbeza dan pelik. Ia rasuah besar-besaran, pada skala yang kita tidak pernah saksikan sebelum ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Kami melihat kuasa eksekutif cuba campur tangan mengganggu siasatan. Paling penting, SPRM harus dibenarkan melaksanakan tugasnya secara bebas."

Akhbar berkata, peristiwa beberapa minggu lepas menunjukkan satu suasana "tiadanya tadbir urus yang baik, integriti dan penghormatan kepada kedaulatan undang-undang".

"Dakwaan Malaysia sebelum ini yang ia berjuang memerangi rasuah kini menjadi pertikaian. Tahap keyakinan orang ramai sangat rendah.

"Jika rakyat Malaysia mahu melihat keadilan dan kebenaran, mereka perlu menggalakkan SPRM menjalankan tugas mereka, dan berharap ia akan menemukan jawapan yang kita semua cari.

"Harapan ini amat penting pada masa-masa kelam begini." – 7 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sprm-terima-sokongan-tidak-dijangka-dari-pembangkang-dan-rakyat-malaysia-ya#sthash.xeRWRj58.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-