Anthony Kevin Morais
KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan 15 individu bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, individu yang dipanggil itu termasuk rakan, keluarga dan pekerja kepada Morais.
“Kita juga masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan, ada beberapa perkara yang perlu kita selidik lagi,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada bukti baharu kes kehilangan Morais]
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, pihaknya juga akan meneliti segenap aspek termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mengesan Morais.
“Kita juga berharap kerjasama masyarakat yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Kita mahu selesikan kes ini secepat mungkin,” katanya.
Morais, dilaporkan hilang sejak 4 September lalu, selepas meninggalkan kediamannya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabat di Jabatan Peguam Negara dengan memandu kereta rasmi kerajaan.
Kehilangannya dikaitkan dengan penemuan sebuah kereta terbakar dipercayai milik Kevin di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak, Ahad lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.