Adik kepada Anthony Kevin Morais, Datuk Richard Morais. - Foto TRP/Syahirah Roslan
KUALA LUMPUR, 16 September: Suasana pilu menyelubungi sekitar kawasan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dengan kehadiran adik dan rakan Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais bagi mengetahui keputusan bedah siasat susulan penemuan mayat di dalam tong di Subang 3,USJ Subang Jaya, pagi tadi.
Sehingga jam 3.30 petang ini, ramai kenalan Kevin terdiri daripada peguam hadir di HKL dan kawasan ini turut dikawal ketat polis bantuan hospital.
Adik bongsu Kevin, Datuk Richard Morais ketika ditemui kelihatan masih sedih dan terkejut dengan berita tersebut.
Beliau yang tiba di HKL kira-kira ja 11 pagi tadi berkata, masih belum melihat keadaan mayat kerana kesihatan yang dialaminya.
“Biar mereka menjalankan bedah siasat dahulu,” katanya yang hanya mahu menjawab beberapa soalan daripada media.
Polis hari ini berjaya menemui mayat dipercayai Kevin yang dibuang ke dalam sungai kira-kira jam 8 pagi tadi.
Richard menyifatkan kejadian tersebut bukan sesuatu yang normal dan ianya tidak sepatutnya berlaku.
“Dia (Kevin) sangat tegas dalam bekerja dan seorang yang sentiasa menyimpan rahsia mengenai pekerjaan serta tidak melibatkan ahli keluarga.
“Dia seorang yang mengikut undang-undang dan komited dengan kerja,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Kevin ada menerima ugutan atau sebagainya sepanjang bekerja, Richard berkata dia tidak mengetahui perkara tersebut kerana mendiang seorang yang profesional dalam pekerjaan.
Menurutnya, abangnya dari Amerika Syarikat akan tiba hari ini bagi melihat mayat Kevin.
Kevin yang merupakan anak sulung daripada empat adik beradik itu disifatkan seorang yang pendiam.
Kevin, 55 dilaporkan hilang pada 4 September lalu selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Jalan Duta.
Bagi adik ketiga Kevin, David Morais berkata, diberitahu laporan bedah siasat akan dikeluarkan dua hari.
Dia bagaimana pun enggan menjelaskan kesedihan ahli keluarga dan menganggap kejadian tersebut tidak patut berlaku ke atas Kevin.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat yang dijangka dua hari lagi,” katanya.
BACA: Mendiang Kevin seorang pegawai dan lelaki baik – Gani Patail
Dalam pada itu, bekas Ketua Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyifatkan mendiang Kevin Anthony Morais sebagai pegawai yang baik dalam menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
Menurut Abdul Gani, Morais sering mengendalikan kes -kes besar sepanjang menjawat jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Morais berhubung penemuan mayat itu.
Suruhanjaya itu berharap mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.
BACA: Doktor tentera antara suspek pembunuhan Kevin Morais
Seorang doktor perubatan pusat perubatan tentera, yang berdepan dakwaan rasuah oleh Morais, adalah antara tujuh yang ditahan berhubung insiden itu.
Pagi tadi, polis yang dibantu bommba dan penyelam, mengeluarkan tong dram yang mereka percayai berisi mayat Timbalan Pendakwa Raya berusia 55 tahun itu.
Tong dram itu dibuang ke dalam kolam di belakang Sekolah Cina Chee Wen di Taman Subang Mewah.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/16/kes-bunuh-morais-suasana-pilu-di-hkl/#ixzz3ltbfx6WL
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.