Sunday, September 6, 2015

Pembangkang guna taktik jejas reputasi untuk jatuhkan Najib

Ahmad mengingatkan semua pemimpin serta ahli Umno supaya tidak terperangkap dengan taktik kotor pembangkang itu, kerana ia akan melemahkan parti. - Foto arkib TRP/ Azrol Ali

KENINGAU, 6 September:

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mendakwa, pihak pembangkang sedang menggunakan taktik untuk menjejaskan reputasi dan menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad berkata, ia dapat dilihat menerusi pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan ke atas Najib merangkap Presiden Umno, sebagai usaha merosakkan reputasi serta imej beliau, bagi menimbulkan persepsi buruk rakyat terhadap kepimpinannya.

“Taktik itu merupakan antara perangkap pihak pembangkang bagi memastikan Najib tidak lagi menjadi tunjang utama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti,” katanya selepas majlis dialog isu-isu semasa bersama Umno Bahagian Keningau dan Pensiangan, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihak pembangkang juga dilihat cuba ‘membunuh’ 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan memanipulasi fakta mengenai syarikat itu sehingga menimbulkan keraguan dan mengelirukan rakyat.

Tambahan, katanya, terdapat juga usaha untuk menggoncang kekuatan dalaman Umno dan Barisan Nasional, memandangkan kekuatan itu dilihat adalah punca kemenangan BN pada PRU13 yang lalu.

Sehubungan itu, Ahmad mengingatkan semua pemimpin serta ahli Umno supaya tidak terperangkap dengan taktik kotor pembangkang itu, kerana ia akan melemahkan parti.

“Jangan masuk perangkap (sehingga) memecahkan kekuatan Umno. Jika kekuatan Umno pecah, maka kita akan lemah untuk (menghadapi) PRU14 nanti,” katanya.

Mengulas penganjuran perhimpunan Bersih 4 yang mendapat sokongan di luar negara, Ahmad berkata, Umno juga boleh berbuat demikian dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan, memandangkan Kelab Umno turut berada di 70 lokasi di seluruh dunia.

“Jika kita minta Kelab Umno di seluruh dunia itu bangkit menyokong (kerajaan), ia juga kelihatan ada sokongan dari seluruh dunia, bukan begitu? Kita cuma tunggu masa bila nak mengaktifkan bila perlu,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis dialog itu, Ahmad menjelaskan isu-isu semasa yang menjadi kontroversi ketika ini, termasuk dana RM2.6 bilion, 1MDB serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menurut beliau, digunakan pembangkang sebagai perangkap untuk menjatuhkan kerajaan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/06/pembangkang-guna-taktik-jejas-reputasi-untuk-jatuhkan-najib/#ixzz3kvWBBj6K

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-