Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata KPI Hasan bergantung kepada keupayaannya menangani dua dakwaan penyelewengan iaitu derma RM2.6 bilion dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Seakan-akan Parlimen Malaysia menghadapi sindrom skizophrenia, beliau berkata, Malaysia tidak harus mencatat sejarah dalam sistem berparlimen di dunia sebagai memiliki satu-satunya pengerusi PAC yang fobia media.
“Jika ada individu yang patut dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana melakukan penghinaan awam, ia sepatutnya Hasan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, Hasan dilapor kebanyakan media tempatan sebagai berkata beliau juga mahu ‘cari makan’ ketika ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil PAC berkaitan skandal 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion.
Ia mendorong Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendesak Hasan meletak jawatan sebagai pengerusi PAC berikutan kenyataan itu memalukan, selain menunjukkan beliau tidak memiliki kebebasan yang diperlukan.
Gerakan Media Marah (GERAMM) turut menyelar Hasan kerana tidak menghormati pengamal media dan memandang rendah kebijaksanaan pembaca apabila memberi alasan kenyataan ‘cari makan’ itu sekadar gurauan.
Kit Siang juga kesal kerana ketika banyak pihak bercakap soal pembaharuan Parlimen supaya mencapai piawaian dunia, kebanyakan ahli parlimen dan speaker, masih berminda dunia ketiga.
“Di seluruh dunia, Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mengadakan sesi di khalayak ramai tetapi di Malaysia, PAC sangat berahsia, malah pengerusinya mengharamkan semua media,” katanya
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.