Wednesday, August 17, 2016

Tiada parti Melayu yang akan bertahan lama selain UMNO - Nazri

Mana-mana parti yang keanggotaannya berasaskan orang Melayu dan Bumiputera tidak akan diterima dan bertahan lama kecuali UMNO, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata sejarah politik membuktikan penubuhan parti yang cuba bertindak mewakili pribumi akan menjadi sia-sia dan hancur sebagaimana yang terjadi kepada Semangat 46 dan Berjasa.

Mengulas penubuhan Parti Pribumi yang diketuai bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamed Nazri berkata ia akan menerima nasib seperti Semangat 46 berdasarkan keanggotaannya yang terhad kepada Melayu dan Bumiputera semata-mata.

"Jika asasnya ialah Melayu dan Bumiputera, ia akan hancur kerana masyarakat lain tidak akan menyokong parti pribumi," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Rekod anjuran Arkib Negara di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata PKR, satu lagi parti serpihan UMNO, masih bertahan kerana ia merupakan parti yang boleh disertai pelbagai kaum.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu menyifatkan semua parti yang didaftarkan dengan hasrat menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya, sebenarnya memberi kelebihan kepada BN meraih kemenangan.

"Selain beri ruang yang mudah kepada BN, parti-parti ini juga boleh menjadi rumah baharu kepada mereka yang suka merosakkan UMNO bertapak dan merosakkan parti itu juga...dan ini proses pembersihan yang baik kepada UMNO," katanya.

Mengulas perhimpunan Bersih 5 yang dirancang diadakan, Mohamed Nazri berkata beliau sebagai pengamal undang-undang tiada masalah dengannya selagi ia dijalankan mengikut peruntukan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 tetapi tindakan akan diambil jika peserta melanggar peraturan dan membuat provokasi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-