Sunday, February 26, 2017

PAS berjiwa besar jika buat pusingan U terima Amanah, DAP

 ARIF ATAN
Mahfuz Omar
Bimbang dengan penolakan rakyat terhadap Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya masih mahu bersendirian, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyeru kepimpinan partinya segera berubah.

Menurutnya, Pas dilihat berjiwa besar jika melakukan pusingan U dengan menghentikan permusuhan terhadap Amanah dan DAP sebaliknya parti yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menerima padah jika gagal berbuat demikian.

"Kalau Pas buat 'U-turn' terima Amanah, terima DAP, orang akan lihat inilah pengorbanan yang dilakukan oleh Pas. Itulah berjiwa besar. Jika tidak dilakukan, rakyat akan menolak Pas pada pilihan raya umum akan datang," tegasnya pada ceramah perdana anjuran Amanah Pokok Sena semalam.

Mengulas panggilan yang digunakan Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib baru-baru ini kepada golongan wakil rakyat 'kencing tikus' yang tidak menyuarakan masalah rakyat di Parlimen, beliau khuatir pengundi juga mempunyai persepsi sedemikian.

"Saya cukup terkejut apabila seorang pensyarah UUM tolak mana-mana wakil rakyat atau pemimpin politik yang 'kencing tikus', tolak yang tidak bersuara. Saya bimbang ini yang sedang dilihat. Saya bimbang (tanggapan) ini ada dalam pemikiran pengundi," ujar bekas Ketua Whip Pas di Dewan Rakyat itu.

Beliau pada masa sama turut menghargai usaha Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam 'memujuk' Pas untuk tidak bersendirian mendepani Umno-BN pada PRU-14 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Mukhriz yang masih lagi mengharap iaitu sedia untuk terus berbincang (dengan Pas). Kita nak supaya semua parti bergabung dalam pakatan pembangkang yang kuat pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya bukan Allah untuk menentukan kalah menang tetapi dalam politik ini, dalam Pas sendiri dididik untuk cula, mana boleh menang itu yang Pas akan bertanding.

"Tengah-tengah Georgetown, mana pernah Pas bertanding. Bukan kita tidak yakin tapi perkiraan politik dengan akal yang dikurniakan Allah tak munasabah, tak masuk akal untuk bertanding di tengah-tengah Georgetown," ujarnya diikuti ketawa oleh hadirin yang juga termasuk penyokong Bersatu.

Mahfuz adalah antara Ahli Parlimen Pas yang dikenali paling menonjol berhujah di Parlimen berbanding baki 13 wakil rakyat parti itu yang dilihat pasif untuk mengambil bahagian dalam perbahasan termasuk ponteng untuk hadir ke Dewan Rakyat.

Keputusan PRU-13 menyaksikan Pas mulanya mempunyai 21 Ahli Parlimen tetapi akibat kegagalan pengurusan konflik dalaman parti, enam daripadanya menyertai Amanah manakala seorang lagi Ahli Parlimen Pas dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar memilih PKR pada 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-