Saturday, October 14, 2017

Pakatan Harapan tidak mampu pertahan Islam

Mohd. Hafiz Abd. Mutalib

KOTA BHARU 14 Okt.- Pakatan Harapan tidak mampu mempertahan atau menegakkan syiar Islam di negara ini kerana mereka jelas telah dikuasai oleh DAP yang menjadi parti paling dominan dan berkuasa dalam gabungan tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun DAP cuba menafikan hakikat tersebut namun tindak tanduk sekutunya dalam Pakatan Harapan yang tidak pernah bersuara dalam banyak perkara berkaitan kepentingan Islam sebelum ini jelas membuktikan DAP cukup berkuasa.

Katanya, hal demikian semakin jelas apabila parti dalam pakatan itu tidak pernah memberi sokongan terhadap RUU355 selain mengambil sikap kunci mulut dalam isu pesta arak meskipun mendapat bantahan umat Islam di negara ini.

“Selain itu, agenda Islam satu pun tidak dapat dilaksanakan di dalam Pakatan Harapan sama ada di Selangor atau Pulau Pinang kerana DAP menguasainya dan parti itu langsung tidak berminat untuk memartabatkan syiar Islam.

“Malah dalam Perlembagaan DAP juga jelas memperjuangkan sekular,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pada Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini malam tadi.

Selain Annuar turut menjadi panel dalam program yang dikendalikan Datuk Dahlan Maamor sebagai moderator itu ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Yang turut hadir, Bendahari UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan lebih 1,000 orang yang memenuhi ruang program tersebut berlangsung.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, situasi tersebut berbeza dengan UMNO yang sentiasa meletakkan Islam sebagai perkara yang menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada rakyat sama ada memilih Pakatan Harapan yang dikuasai DAP atau Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO untuk memerintah negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-