Showing posts with label RUU355. Show all posts
Showing posts with label RUU355. Show all posts

Friday, July 24, 2020

RUU355: PAS, UMNO mahu restu MCA dahulu?

By ainulillia
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Rakyat menilai jika PAS mula berhelah dalam perjuangan asal


BANGI, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Inilah masa yang tepat untuk PAS membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU355 ke Parlimen, dan bukannya berdolak-dalih.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, jika PAS senyap dan sentiasa berhelah, maka masyarakat sudah boleh menilai serta memberi markah kepada perjuangan PAS sama ada ia perjuangan berprinsip atau sebaliknya.

“Kita boleh bercakap bila-bila masa bahawa perjuangan kita adalah perjuangan berprinsip, tetapi kita harus sedar juga bahawa kita terus dinilai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Apakah kata-kata kita itu sejajar dengan perbuatan atau tindakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Exco Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary bahawa sebarang cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Marzuk menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Tampin, Hasan Bahrom, berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Selain itu, Hasan juga meminta kerajaan menjelaskan sebab jika ia tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Mengulas respon timbalan menteri itu, Ustaz Zamani berkata, beliau amat berharap dengan terbentuknya Muafakat Nasional (MN) ini, ia akan menjadi lebih bertenaga, malah setiap pemimpin UMNO dan PAS lebih berwibawa untuk memperkasakan agenda ummah dan negara, termasuk RUU355.

“Saya tidak nampak halangan yang besar untuk membawa RUU355 ini sebabnya sudah menjadi kerajaan kecuali UMNO dan PAS (MN) masih nak merujuk kepada MCA dan mendapatkan restunya,” katanya.

Beliau menasihatkan, pemimpin-pemimpin di dalam MN supaya tidak membawa agenda kepartian.

“Lihat DAP walaupun diberi peluang 22 bulan menjadi kerajaan, mereka tidak teragak agak membawa agenda bangsanya, mohon pemilikan tanah sampai 999 tahun.

“Berjaya atau tidak itu bukan persoalan tetapi semangat bersungguh sungguh itu yang ditonjolkan okeh mereka kepada bangsa mereka,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Wednesday, July 25, 2018

RUU355: Apa pendirian Tun M?

SITI FATIHAH AWANG
25 JULAI 2018

Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kerajaan negeri dinasihatkan untuk membuat perbincangan dengan kerajaan persekutuan bagi mendapat persetujuan melibatkan perbahasan RUU355 dibahaskan dalam di sidang Parlimen kali ini.

Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, Pas juga boleh menguji Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk melihat sejauh mana pendirian pemimpin itu terhadap RU355.

“Sekarang perdana menteri keempat jadi perdana menteri ketujuh dan RUU355 hampir dapat dilaksanakan, kita di sini memberi sokongan. Kita berjaya menyakinkan kerajaan terdahulu dan mereka setuju.

“Tidak boleh ke kali ini, kita ' test' perdana menteri ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita buat apa yang kita boleh buat dan kita tengok apa yang mereka (Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan) boleh lakukan.

"Kita yakin rakyat bersama-sama kita untuk melihat sesuatu yang baik mengenai Islam," katanya semasa pada persidangan Dun Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.

Beliau terdahulu bertanyakan soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Perkara yang sama turut dinyatakan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) mengenai sikap dan pendirian perdana menteri tersebut sedangkan sebelum ini semasa menjadi perdana menteri keempat, beliau pernah menolak pelaksanaan kanun itu.

Menjawab persoalan yang diajukan, Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri optimis dengan perkara tersebut dan dan yakin sikap perdana menteri itu boleh berubah dengan mengambil contoh apa yang telah berlaku kepada tuntutan royalti yang pernah dinafikannya dulu.

“Insya-ALLAH kita akan rundinglah. Saya lihat sikap ini boleh berubah. Yang menafikan royalti sebelum ini pun perdana menteri keempat (Tun M) juga. Kita yakin sikap itu akan berubah juga nanti,”katanya.

Sunday, May 27, 2018

PAS tuntut janji PAN bentang RUU355

27 MEI: PAS mendakwa bekas pemimpinnya yang kini Ahli Parlimen PAN terikat kepada janji untuk membolehkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 2016 (RUU 355) dibentangkan di Parlimen.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata beberapa pemimpin parti itu dikatakan pernah mendakwa perlu membentuk kerajaan Persekutuan terlebih dulu bagi membolehkan suara mereka didengar di Parlimen.

“Kini mereka sudah berjaya membentuk kerajaan baharu menggantikan BN. Kita akan melihat sama ada mereka akan mengotakan janji sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita masih menaruh harapan tinggi pembentangan RUU 355 dapat diteruskan menerusi kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH),” katanya di petik BH Onlinehari ini.

PAN merupakan salah satu parti komponen PH yang kini membentuk kerajaan Persekutuan bersama PKR, DAP, PPBM, manakala parti Warisan Sabah menyokong dasar gabungan, walaupun tidak menyertai secara rasmi.

Dua pemimpin kanan PAN iaitu Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub kini merupakan sebahagian daripada kabinet di bawah pentadbiran perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Amar mengingatkan pemimpin parti pembangkang lain supaya memberi ruang dan peluang kepada kerajaan baharu PH.

“Ketika ini adalah terlalu awal untuk kita membuat sebarang kritikan, sebaliknya melihat apa yang akan dilakukan PH termasuk menunaikan janji dalam tempoh 100 hari pemerintahan,” katanya.

Saturday, October 14, 2017

Pakatan Harapan tidak mampu pertahan Islam

Mohd. Hafiz Abd. Mutalib

KOTA BHARU 14 Okt.- Pakatan Harapan tidak mampu mempertahan atau menegakkan syiar Islam di negara ini kerana mereka jelas telah dikuasai oleh DAP yang menjadi parti paling dominan dan berkuasa dalam gabungan tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun DAP cuba menafikan hakikat tersebut namun tindak tanduk sekutunya dalam Pakatan Harapan yang tidak pernah bersuara dalam banyak perkara berkaitan kepentingan Islam sebelum ini jelas membuktikan DAP cukup berkuasa.

Katanya, hal demikian semakin jelas apabila parti dalam pakatan itu tidak pernah memberi sokongan terhadap RUU355 selain mengambil sikap kunci mulut dalam isu pesta arak meskipun mendapat bantahan umat Islam di negara ini.

“Selain itu, agenda Islam satu pun tidak dapat dilaksanakan di dalam Pakatan Harapan sama ada di Selangor atau Pulau Pinang kerana DAP menguasainya dan parti itu langsung tidak berminat untuk memartabatkan syiar Islam.

“Malah dalam Perlembagaan DAP juga jelas memperjuangkan sekular,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pada Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini malam tadi.

Selain Annuar turut menjadi panel dalam program yang dikendalikan Datuk Dahlan Maamor sebagai moderator itu ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Yang turut hadir, Bendahari UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan lebih 1,000 orang yang memenuhi ruang program tersebut berlangsung.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, situasi tersebut berbeza dengan UMNO yang sentiasa meletakkan Islam sebagai perkara yang menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada rakyat sama ada memilih Pakatan Harapan yang dikuasai DAP atau Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO untuk memerintah negara.

Sunday, July 16, 2017

PAS tidak akan kerjasama dengan UMNO

By watan

PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14), kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

“Majlis Syura Ulama sudah menjelaskan tidak boleh bekerjasama.

“Bagaimanapun dalam isu RUU355, kita bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan supaya rang undang-undang itu boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya selepas majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Perlis di Kangar, pada Sabtu.

Ditanya mengenai PRU-14, Takiyuddin berkata PAS bakal bertanding kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dimenangi bekas rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta UMNO.

“Kita mensasarkan memenangi tidak kurang 40 kerusi Parlimen termasuk kerusi yang dimenangi UMNO selain PKR,” kata Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa partinya mempunyai strategi realistik seperti meletakkan calon bukan Islam di kerusi majorti pengundi bukan Islam.

“PAS kini sedang mengenalpasti tiga calon di setiap kerusi Parlimen untuk dikemukakan kepada Majlis Syura yang akan membuat tapisan bagi memilih seorang mewakili parti itu di setiap kerusi ditetapkan,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Wartawan Watan-Online

Friday, May 12, 2017

PAS sah putus tahaluf siyasi dengan PKR


Oleh NUR ASLINDA NASIR
 Foto RABBANI JAMIAN

11 MEI: Majlis Syura Ulama yang bersidang hari ini memutuskan bahawa hubungan politik Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Muhammad Zawawi Salleh, keputusan itu dibuat merujuk kepada pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam.

Antara perlanggaran tersebut ialah :-

a : Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.

b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kini Majlis Syura Ulama menyerah Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.

Sunday, April 30, 2017

DAP sebenar-benar musuh Islam

ALOR SETAR, 3 Syaaban 1438H, Ahad – Perwakilan PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah menyifatkan parti rasis dan cauvinis DAP sebagai musuh yang lebih besar berbanding Barisan Nasional (BN) dan UMNO kerana secara terang menentang usaha menegakkan syariat Islam di negara ini.

Pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar PAS Ke-63, di sini, sebentar tadi, beliau berkata, pendekatan politik yang diamalkan DAP sangat berbeza dengan pendirian PAS yang mengutamakan perjuangan Islam dan kesejahteraan.

“DAP jelas menolak perlaksanaan syariat dan terbaharu menolak pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

“DAP mengamalkan politik rimba, politik binatang dan politik dendam. Ia dapat dilihat dengan isu pemecatan ahli majlis dari PAS di Pulau Pinang. Bukan sahaja ahli majlis, malah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari PAS.

“Lebih mengejutkan pada 19 April lalu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengamalkan politik dendam apabila memecat seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang menjadi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Shazwani Muhamad Amin. Beliau dikatakan tidak menepati hasrat kerajaan DAP,” katanya,

Malah, tidak cukup dengan itu, Mohd Yusni berkata, DAP juga mengganggu urusan fatwa di Pulau Pinang sehingga ada yang tergantung dan masih belum diwartakan.

“Tindakan anti-Islam mereka juga dapat dilihat apabila pemimpin DAP di Kuching mempertikaikan kehadiran guru agama dari Semenanjung yang dihantar ke Sarawak,” katanya.

Monday, April 10, 2017

Kartun monyet pakai serban: Pas akan saman Nyanyang

By Muhammad Azizul Osman
- 10 April 2017
Kartun dalam Nyanyang Siang Pau
KUALA LUMPUR – Ekoran satu paparan kartun dalam Nyanyang Siang Pau yang memaparkan dua ekor monyet, Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Cina itu tidak lama lagi.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan, parti itu rasa terhina apabila salah seorang monyet berkenaan digambarkan sedang memakai serban yang menjadi simbul ‘lebai’ kepada parti itu.

“Biadap dan malampau. Nanyang Siang Pau mesti menarik balik kartun ini dan memohon maaf kepada ummat Islam khasnya kepada PAS.

“Politik yang sangat dangkal dan tidak bertamaddun. Pihak kami sedang meneliti aspek tindakan undang undang terhadap sikap yang diambil oleh Nanyang Siang Pau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kartun berkenaan, Nanyang Siang Pau telah menyamakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet yang lari meninggalkan sebuah pokok.

Tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai penangguhan oleh Pandikar yang dibuat beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menangguhan perbahasan pindaan RUU355 ke sidang akan datang.

Dalam kartun berkenaan turut memaparkan beberapa tulisan Mandarin yang dipercayai mengambarkan situasi pada sesi Dewan Rakyat Khamis lalu.

Namun ada tertera angka 355 yang dikaitkan dengan Usul Persendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) Akta 355 yang dibentangkan pada Khamis lalu.

“Anda boleh untuk tidak bersetuju. tetapi janganlah sampai ke tahap ini,” rujuk Nasruddin akan paparan kartun itu.

 -MalaysiaGazette.

Thursday, April 6, 2017

Perbahasan RUU355 disambung sidang Parlimen akan datang 24 Julai .....Ahli Parlimen DAP,PKR,PAN protes

 WARTAWAN AGENDADAILY

Sidang Dewan Rakyat sesi ini berakhir dengan suasana kecoh dan gamat.

Ini berlaku jam 4 petang bila Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan untuk sambung perbahasan mengenai RUU355 ke sidang akan datang yang akan bermula pada 24 Julai nanti.

Ia telah mencetuskan protes dikalangan Ahli Parlimen DAP,PKR dan PAN yang desak Speaker agar mereka turut dibenarkan membahaskan usul persendirian oleh Datuk Seri Haji Hadi Awang pada sidang ini.

Sebelum pada jam 12.37 Haji Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang telah membentangkan usul berkenaan setelah setengah jam tertangguh gara-gara cubaan ahli Parlimen DAP dan PKR cuba menyekatnya.

Beliau membentangnya selama 22 minit sebelum sidang ditangguhkan untuk waktu rehat tengahari.

Bila sidang disambung semula jam 2.30 petang Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS telah menyampaikan perbahasan menyokong usul Haji Hadi.

Semasa perbahasan itu selama sejam setengah dimana beliau memberi penjelasan lanjut serta hujah-hujah mengenai keperluan meminda RUU355 sebilangan Ahli Parlimen UMNO telah mencelah menyokong.

Ahli Parlimen UMNO itu ialah dari Bagan Serai,Jerantut,Setiu,Lenggong,Kota Tinggi,Sikijang,Gerik dan Rompin.

Bila Takiyuddin menamatkan perbahasan beliau,Pandikar telah membuat pengumuman tangguhkan sidang Dewan Rakyat dan sambung perbahasan pada sidang akan datang.

Sidang Dewan Rakyat sesi itu adalah dari 24 Julai hingga 10 Ogos.

Sebelum umum keputusan itu Pandikar kata setelah mendengar penjelasan dari Haji Hadi dan Takiyuddin beliau benar-benar sudah faham mengenai RUU355.

Antara yang paling kuat memekak membantah semasa penangguhan sidang itu ialah Ahli Parlimen PAN Shah Alam Khalid Samad.

Selain itu Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli.

BERITA SEBELUM INI ....

Ahli Parlimen DAP dan PKR cuba sekat.. Haji Hadi akhirnya dapat bentang usul RUU355 di Dewan Rakyat

Dakwaan puak sebelah sana kononnya UMNO sudah main PAS dalam isu RUU355 terjawab dan mati dengan sendiri di Dewan Rakyat Khamis bila Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang ‘dapat laluan’ bentang usul persendirian beliau.

Ini berikutan keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN baru-baru ini secara konsensus tidak mahu kerajaan membentangkan usul itu.

Namun seperti diduga keputusan itu tidak menjadi sekatan kepada usul persendirian Haji Hadi

Malah Usul itu telah diubah jadi nombor satu dalam urusan mesyuarat pada hari akhir sedang Dewan Rakyat sesi kali ini.

Langkah itu dengan sendirinya beri laluan membolehkan Haji Hadi membentangkannya.

Namun suasana dewan kecoh dan tegang selama kira-kira setengah jam bila mana Ahli Parlimen DAP dan PKR termasuk Lim Kit Siang berusaha bersungguh-sungguh disaat akhir untuk sekat Haji Hadi dari berucap membentangkanya.

Mereka mengunakan alasan ia melanggar peraturan mesyuarat serta ia saman yang telah dikemukakan oleh Taufik Ismail membantah RUU355 dibentangkan di Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan tenang memberitahu ia tidak langgar sebarang peraturan dan saman yang dikemukakan oleh Taufik cuma satu saman pemula.

Suasana beberapa ketika menjadi gamat bila kalangan Ahli Parlimen UMNO bertikam lidah dengan Ahli Parlimen DAP dan PKR dan berteriak ‘ teruskan’ meminta Haji Hadi terus bentang.

Setelah sangkut gara-gara insiden cubaan menyekat dari Ahli Parlimen DAP dan PKR itu,Haji Hadi akhirnya dapat bentang pada jam 12.37 tengahari.

Beliau telah membacakan huraian usul RUU355 beliau selama 22 minit.Antara lain kata ia tidak melibatkan orang bukan Islam.

Hadi juga menegaskan puak yang menentang RUU355 adalah mereka yang kemaruk kuasa.

Akhirnya RUU355 berjaya dibentang..... Kini terserah pada dewan, PAS bukan 'Taliban'

Anne Muhammad
Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyifatkan bahawa parti Islam itu bukan ‘Taliban’ untuk memaksa semua pihak menerima usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355).

Katanya PAS hari ini telah berjaya menerangkan kepada ahli parlimen bukan Islam mengenai cadangan itu dan kini terpulang kepada mereka untuk menerimanya atau tidak.

“Usul terpulang kepada ahli-ahli parlimen. (PAS) tak paksa orang, (PAS) bukan Taliban dan kita ikut prosedur.

“Dengan mendapat penjelasan yang jelas tadi, saya rasa ini satu kebaikan. Kita tidak boleh memaksa orang.

“Kerana untuk mereka nilaikan bagaimana pembentangan dibuat tadi maksudkan dengan pindaan RUU355,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berjaya membentangkan usul untuk meminda akta itu.

Beliau yang juga anggota parlimen Bukit Gantang turut melahirkan rasa syukur akhirnya usul itu dapat dibentangkan.

“Pada kami ini satu kejayaan besar satu mukadimah untuk mesej untuk nak sampaikan maklumat kepada orang ramai,” katanya.

Friday, March 31, 2017

RUU355: Presiden Pas wajar letak jawatan secara en bloc, kata Husam

ZIKRI ABDULLAH
30 Mac 2017
Husam dan Wan Rahim menaikkan bendera Amanah di Kota Bharu.

Keputusan BN untuk tidak membentangkan rang undang-undang meminda akta 355 adalah bukti presiden Pas telah mempermainkan umat Islam.

"Sewajarnya beliau dan seluruh ajk Pas pusat meletak jawatan secara en bloc," kata Naib Presiden Parti Amanah Datuk Husam Musa pada sidang media di majlis menaikkan bendera di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu petang tadi.

Keputusan ini yang disifatkan beliau 'jalan mati' dalam episod RUU355 ciptaan ahli parlimen Marang itu dan memberi implikasi buruk kepada agama Islam.

"(Datuk Seri) Hadi (Awang) tidak boleh lari dari tanggungjawab kerosakan ini dan beliau bersama-sama jawatankuasa Pas pusat perlu meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti," katanya.
Husam bercakap dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.Percubaan Hadi membawa usul persendirian dalam perkara ini bertentangan dengan semua amalan mengikut lunas-lunas demokrasi di negara ini.

"Dalam Pas perkara ini telah kita bincang semasa saya jadi naib presiden lagi.

"Waktu itu kita putuskan pindaan ini hendaklah dibawa oleh pihak kerajaan dan bukannya usul persendirian," katanya.

Husam turut menamakan dua orang menteri BN yang memperdayakan Pas dan umat Islam kononnya pindaan ini akan disokong oleh Umno.

"Datuk Jamil Khir Bahrom dan Datuk Ashraf Wajdi Dasuki juga perlu bertanggungjawab atas penipuan mereka.

"Mereka berdua dilihat begitu kuat menjanjikan untuk menyokong usul ahli parlimen Marang sedangkan dari pihak Umno tidak ada sebarang komitmen," katanya.

Pada majlis itu Datuk Husam, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah dan pimpinan Amanah negeri dan kawasan Kota Bharu menyaksikan upacara menaikkan bendera Amanah.

Upacara itu diadakan di hadapan sebuah bangunan yang dulunya digunakan sebagai pusat operasi Pas di kawasan itu.

Sebelum ini Wan Rahim, dalam satu majlis di Bunut Payung, mengumumkan Husam sebagai baka calon Amanah di parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia kemudiannya disahkan oleh Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu dalam majlis yang sama.

Thursday, March 30, 2017

Akta 355: PAS jelaskan UMNO tak tipu

KUALA LUMPUR – PAS menafikan parti itu ditipu oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Parlimen.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menjelaskan, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu kerajaan yang mungkin akan membentangkan pindaan akta tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini cuma satu “option” bagaimana ia akan dibentangkan di Parlimen.

Justeru, katanya, PAS tiada masalah dengan pengumuman Najib semalam dan wakil PAS akan menjadi pihak yang membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini melalui Rang Undang-Undang Persendirian (RUU)

“Kedua-dua menjadi “option” yang boleh dipertimbangkan. PAS tidak masalah siapa yang mahu membentangkannya. Apa yang penting Akta 355 mesti berjaya dipinda. Kerajaan tidak jadi mengambil alih pembentangan itu mengembalikan format asal tanpa merosakkan sesuatu,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nasrudin menerangkan, pada 17 Mac lalu Timbalan Perdana Menteri ada membuat kenyataan mungkin kerajaan yang akan membentangkan pindaan Akta 355 di Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 tahun ini.

Jelas beliau, PAS melihat kenyataan Ahmad Zahid itu yang bermaksud ia sebagai satu “option” yang boleh diguna pakai bagi mengurus status dan format Pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, semalam Perdana Menteri memutuskan kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Akta 355 tersebut di Parlimen yang bermaksud memberi laluan kepada PAS untuk membentangkannya.

“Apabila Timbalan Perdana Menteri kata kerajaan yang akan bentang Pindaan Akta 355, mereka (Pakatan Harapan) meloncat tidak ketahuan punca kononnya PAS kena kencing dengan UMNO. Setelah sekian lama PAS berusaha membawa pindaan Akta 355 ke Parlimen, sepantas kilat kerajaan “take over”.

“Jika PAS bentang, mereka kata pula PAS diperalat oleh UMNO dan BN, kenapa tidak kerajaan sahaja yang membentangnya ke Parlimen? Bukankah UMNO menyokong maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS. Pada mereka serba tidak kena,” katanya.

Tuesday, March 28, 2017

Pas hanya 'budak nakal' dalam BN

SITI FATIHAH AWANG
27 MAC 2017
KOTA BHARU - Pas hanya akan menjadi ‘budak nakal’ yang dilihat mudah merajuk dan sukar dipujuk bila berada dalam BN, kata Setiausaha BN Negeri, Senator Datuk Hanafi Mamat.

Menurutnya, isu biawak hidup yang dibawa Pas itu bukan perkara baharu malah sebelum ini banyak pihak berpendapat mengatakan BN sebenarnya menyokong biawak hidup jika Pas berada bersama dengan parti pemerintah itu.

“BN tidak pernah menagih simpati Pas untuk bentuk pakatan politik bagi memimpin negara. Kita hanya mempelawa Pas bekerjasama atas dasar-dasar dan isu-isu agama, bangsa, pembangunan, kebajikan dan malapetaka.

“Contohnya, kita sokong RUU355, bantu rakyat miskin melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bayar gaji tok imam, membina dan baik pulih surau dan masjid. Bantu mangsa banjir. Memberi peruntukan bayar gaji kakitangan kerajaan negeri yang tidak mencukupi dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengumpamakan tindakan menyertai BN sebagai memikul biawak hidup kerana parti itu sedang dibebani dengan pelbagai masalah dan penyakit.

Malah Abdul Hadi juga berkata, walaupun sebahagian daripada pemimpin BN yang bermasalah telah menyertai Pakatan Harapan, namun ada ‘biawak yang lebih besar’ dalam gabungan itu dan penyakitnya yang dialami juga lebih parah.

Hanafi berkata, Pas kini boleh diibaratkan sebagai seorang yang berbadan kuat, tetapi sebenarnya bila-bila masa sahaja boleh ‘goyah’ dengan kebesaran yang dimiliki itu, namun masih lagi lantang menentang kiri dan kanan.

Beliau berkata, kekuatan yang ada pada parti Amanah tidak boleh sesekali dipertikaikan dan diambil remeh, namun mungkin perkara tersebut tidak disedari secara jelas oleh Pas.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting, BN punyai kekuatan tersendiri dan mampu bersendirian. Tetapi pintu kerjasama sentiasa terbuka. Kita tidak tutup dan tidak membakar jambatan,”katanya.

Thursday, September 29, 2016

Tanam Kak Wan di jirat: Mufti Pulau Pinang kecam YDP PAS kafirkan sesama Islam

GEORGE TOWN, 29 SEP: Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mahu supaya umat Islam tidak mengkafirkan sesama Islam berikutan polemik melibatkan rang undang-undang pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang bakal dibentangkan di Parlimen pertengahan Oktober kelak.

Beliau melahirkan rasa sedih apabila wujud segelintir agamawan di negara ini yang sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut.

“Kita tidak wajar memaksa mana-mana ahli Parlimen menerima RUU355 dengan apa jua cara termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Wan Salim, usul pindaan rang undang-undang tersebut perlu diteliti dari pelbagai aspek perundangan dan dibahaskan demi menghasilkan sebuah undang-undang yang dapat berlaku adil kepada seluruh warga.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah, yang sakral. Tetapi RUU 355 bukan hukum Allah.

“Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti,” katanya.

Dr Wan Salim berkata, perbahasan dan penelitian perlu dibuat terhadap segala kemungkinan berlakunya kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU tersebut yang dan diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.

Polemik RUU355 mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila Yang Di-Pertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim dalam kuliahnya yang viral di media sosial meletakkan hukuman ‘jatuh iman’ bagi mereka yang tidak menyokong RUU355.

Dalam kuliah tersebut, Shaharudin cuba mengkafirkan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan berkata jika beliau tidak sempat menyokong usul tersebut dan meninggal dunia, beliau akan ditanam di tanah perkuburan bukan Islam.

“Yang Berhormat Kak Wan, Kak Wan nanti Tan Sri Pandikar tanya ahli-ahli yang berhormat siapa yang menyokong akta 355 sila angkat tangan. Kak Wan, Kak Wan kena angkat tangan. Kalau Kak Wan tak angkat tangan, boleh menyebabkan jatuh (gugur) iman, kalau ditakdirkan lepas tak angkat tangan tu mati, kami tanam jirat (perkuburan bukan Islam)”.

Jangan mengkafir

Kesal dengan kenyataan pemimpin PAS tersebut, Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Kassim berkata ucapan Shaharuddin itu tersebut menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

“Saya nak beri amaran jangan cuba pecah-belahkan umat Islam di Pulau Pinang dengan menggunakan taktik kotor lama dulu dimana kita tahu (berlaku) kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan sebagainya,” katanya dalam sidang media pagi tadi.

Menurut Abdul Malik, ucapan takfiri yang dikeluarkan Shaharuddin adalah satu perbuatan yang sangat serius,

“Pelampau agama bukan sahaja bermaksud pengganas bersenjata yang menyalahgunakan nama Islam, tetapi juga boleh terdiri daripada mereka yang mengkafir sesama Muslim,” ujarnya.

Beliau menggesa supaya agamawan Islam, khususnya pemimpin tertinggi PAS menasihati Shaharuddin supaya tidak sewenang-wenangnya menghukum sesama penganut Islam.

Menganggap ucapan takfiri Shaharuddin itu sebagai taktik kotor dan bahaya dari pemimpin PAS, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari mahu supaya semua pihak berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Kenyataan yang dibuat itu memang mencerminkan politik kotor, jijik dan pada saya telah memburukkan imej Islam itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Selain telah menjejaskan imejnya sendiri sebagai seorang pemimpin politik beragama Islam, ucapan yang dikeluarkan Shaharuddin itu juga boleh mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Pada saya bukan setakat perlu minta maaf secara terbuka tapi beliau harus tarik balik kenyataannya,” gesa Zairil.

Ini bukanlah kali pertama Yang Di-Pertua Pas Padang Serai itu mendapat publisiti dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan fitnah.

Jun lalu, beliau telah menfitnah kerajaan negeri Pulau Pijnang kononnya azan tidak boleh dilaungkan di negeri tersebut dalam satu tazkirah Ramadan di Padang Serai.

 – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-