Friday, January 26, 2018

Undi hak individu, tidak perlu fatwa haram undi DAP, kata mufti

Mohamad Fadli
January 26, 2018

Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan menyokong dan mengundi parti politik adalah hak individu.

PETALING JAYA:  Mufti Pulau Pinang menolak gesaan daripada felo kanan sebuah badan berkait Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa para mufti mengeluarkan fatwa tentang menyokong, membantu dan mengundi DAP yang didakwa membawa agenda sekularisme dan anti Islam.

Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan seorang mufti tidak perlu mengeluarkan fatwa seperti itu kerana menyokong dan mengundi sesebuah parti politik adalah hak individu.

“Terserah pada pertimbangan masing-masing untuk menentukan parti mana dia rasa lebih bermanfaat pada umat Islam,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan seorang felo kanan Institiut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali yang berkata, fatwa seperti itu perlu kerana ia melibatkan aktiviti mengundi, menyokong dan membantu mana-mana individu atau parti politik yang berhasrat menggunakan undi, sokongan dan bantuan yang diberikan bagi tujuan yang bercanggah dengan tuntutan Islam.

Engku Ahmad berkata demikian selepas penceramah kontroversi, Zamihan Mat Zin, dilaporkan mendakwa pengundi beragama Islam haram mengundi DAP kerana parti itu menolak hukum Islam apabila membantah usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), dalam wawancara dengan sebuah portal baru-baru ini.

Iksim adalah sebuah badan yang ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dan majlis-majlis agama Islam negeri demi memelihara kedaulatan Islam.

Mufti Wan Salim sebaliknya meminta pengundi untuk mengkaji dan menilai semua parti dari segi amalan dan bukan pada lambang dan slogan semata-mata

Ini kerana dalam banyak bidang ada pihak yang menggunakan label Islam tetapi tidak mengamalkan Islam.

“Ini bukan pasal politik sahaja, lain-lain juga. Kita guna nama Islam tetapi tak buat amalan Islam dan itu boleh menimbulkan tanggapan tak baik kepada agama kita sendiri.

“Kita buat tak semestinya sebut Islam tetapi jika berlaku adil dan buat kebajikan kepada rakyat sudah baik.

“Pada pandangan saya tidak perlu mufti keluarkam fatwa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-