Thursday, January 25, 2018

Masihkah Azmin Menteri Besar selepas PRU-14?

Mohd. Asron Mustapha
25 Januari 2018 3:48 PM

AHLI Pas Gombak bertindak memacak dan mengibarkan bendera besar parti itu di Bukit Barod, Sungai Chinchin baru-baru ini sekaligus membayangkan kesungguhan parti itu untuk bertanding di kawasan diwakili Azmin.-UTUSAN ONLINE

MEMERHATI gerak-geri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas sebagai ugutan politik, memperlihatkan ada rasa gelisah yang bersarang di hati Menteri Besar itu.

Lebih-lebih lagi khabarnya, tindakan itu dibuat selepas rundingan ‘pintu belakang’ dengan Pas Selangor bagi memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru di negeri ini yang cukup dibimbangi Azmin gagal membuahkan hasil.

Persoalannya kenapa baru sekarang peruntukan itu dilambatkan? Apakah ia cubaan untuk melemahkan Pas Selangor khususnya ADUN parti itu dengan menyekat peruntukan dan seterusnya memastikan program parti berkenaan tergendala?

Jika itu maksud tersirat di sebalik tindakan Kerajaan PKR Selangor, pastinya ia berkait rapat dengan kebimbangan Azmin tentang masa depannya, bukan sahaja di Selangor secara keseluruhannya tetapi juga kedudukannya di Gombak dan Bukit Antarabangsa.

Apatah lagi Pas Selangor sudah membulatkan tekad untuk bertanding di 20 kerusi Parlimen serta 42 kerusi DUN, sekaligus menyaksikan Gombak dan Bukit Antarabangsa juga akan ditandingi, yang pastinya menghadirkan cabaran getir buat Azmin.

Ini kerana Azmin tentunya sedar bahawa jika berlaku pertembungan tiga penjuru, kemenangan selesanya di Gombak dan Bukit Antarabangsa dengan lebih 4,000 majoriti pada 2013 bukan sahaja sukar diulangi, bahkan tidak mustahil bertukar menjadi mimpi ngeri.

Apatah lagi ia ditambah pula dengan pengakuan terbuka Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri bahawa Pas sudah bersedia untuk merampas Selangor daripada kepemimpinan Azmin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Tentunya, pada PRU-14 nanti, bukan sahaja persoalan apakah Barisan Nasional (BN) mampu merampas Selangor atau tidak yang menarik perhatian banyak pihak tetapi bagaimana dengan nasib Azmin juga ketika ini hangat dibincangkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/masihkah-azmin-menteri-besar-selepas-pru-14-1.597034#ixzz55C59SpDt
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-