Friday, February 9, 2018

PAS bersedia hadapi PRU14 paling getir

By watan 
on February 9, 2018

PAS telah bersiap sedia dan hanya menunggu masa untuk membuktikan kekuatan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan Tantawi berkata, parti tidak perlu memikirkan kekuatan musuh sebaliknya memberi fokus untuk menempa kejayaan pada PRU14 ini.

“Inilah masanya untuk mengerahkan seluruh energy setelah stamina dibina dalam pelbagai siri tamrin, usrah dan liqa fikri. Strategi telah digarap melalui mesyuarat dan retreat yang diadakan.

“Jangan terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan. Sebaliknya fokus pada keupayaan dan peluang yang kita miliki untuk menempa kejayaan,” katanya menerusi akaun facebook miliknya, pada Jumaat.

Bagaimanapun Nasrudin tidak menolak cabaran sengit bakal ditempuhi PAS pada PRU14 ini dengan memberi analogi sebagai pasukan bolasepak yang sedang berjuang mendakap kejuaraan di perlawanan akhir.

“Memang lah kita kurang selesa dengan kemuncup yang banyak di stokin. Tapi kita kesuntukan masa. Kemenangan perlu diraih. Sementara kemuncup itu tidaklah memudaratkan, maka fokus pada pertandingan ini.

“Kita ditakdirkan bertanding di padang yang banyak kemuncup. Masa pula hanya berbaki 45 minit separuh masa kedua. Kita masih ada peluang untuk cipta kemenangan sebelum wisel penamat dibunyikan.

“Pertandingan akhir memang sengit. Penyertaan dalam kejohanan berprestij ini memang mewakili pasukan yang handal. Namun ingat, kita juga telah layak ke final. Tika kita telah sampai ke peringkat ini, kenapa tidak kita membawa pulang tropi juara itu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Justeru, Nasrudin menyeru semua ahli PAS bersatu dalam satu pasukan dan tidak terikut-ikut dengan strategi musuh menjelang PRU14 yang semakin hampir ini.

“Sedarlah, kita punya peluang yang serupa malah mungkin lebih baik dari yang lain. Sebab itu pasukan lawan berulang kali mengadakan sidang media untuk menjatuhkan reputasi kita pada mata awam. Mereka mahu melemahkan kita.

“Perkara paling penting saat ini ialah semua kita mesti mengerahkan tenaga dan memusatkan perhatian untuk menghasilkan kreativiti dalam pendekatan seterusnya mencipta kemenangan bergaya,” katanya.

Wartawan Watan-Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-