Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata ini kerana gabungan itu terbentuk atas dasar untuk mencapai cita-cita peribadi individu tertentu antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu membalas dendam terhadap pucuk kepimpinan negara.
Katanya, Dr Mahathir bertindak sedemikian kerana menganggap dirinya mengetahui segala-galanya, marah anaknya tewas dalam pertandingan jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO pada 2013 dan merasakan segala legasinya dihapuskan.
"Kita kena muafakat untuk menyelamatkan Malaysia, ...mereka parti tiada idealogi, tenggelam dan timbul, aktif bila menjelang pilihan raya tetapi selepas itu tidak aktif.
"Barisan Nasional (BN) sebaliknya aktif membantu rakyat," katanya berucap melancarkan Jentera BN Parlimen Temerloh di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Hwa Lian, Mentakab, dekat sini, sebentar tadi.
Turut hadir, Pengerusi BN Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Mohd Shamsuddin.
Mengulas lanjut, Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, BN menawarkan kesejahteraan dan masa depan gemilang menerusi pelbagai perancangan dilakukan kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"BN adalah parti yang mahu kedamaian dan kesejahteraan negara, mahu sedia peluang ekonomi serta pendidikan, ...malah kita merancang untuk masa depan sebab itu dirancang program Transformasi Nasional 2050 (TN50).
"Di Temerloh ini sekiranya ada masalah kelajuan dan liputan internet, beritahu saya dan kita akan tingkatkan sekali ganda dengan separuh harga pada 2019 seperti dimahukan Perdana Menteri kerana kita mahu membangunkan digital ekonomi," katanya.
Dalam pada itu, Salleh berpuas hati dengan persiapan jentera BN Temerloh dan yakin ia mampu merampas kembali Parlimen Temerloh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan serta Mentakab dan mengekalkan DUN Lanchang.
"Semua jentera parti komponen perlu bersatu dan berani menentang apa sahaja cabaran termasuk tohmahan serta fitnah pembangkang dilemparkan melalui media sosial.
"Kita kena lawan ketakutan, kalau berjuang kena berani, ..lawan terus lawan, lawan di media sosial, lawan di ceramah diadakan, barulah kita boleh menang," katanya.
- BH Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.