Friday, April 27, 2018

Puad kini dakwa calon BN Johor ada masalah moral


Langkah Datuk Dr Puad Zarkashi yang melancarkan penentangan selepas tidak dicalonkan semula di kerusi Parlimen Batu Pahat menyebabkan beliau kini semakin tersudut, menerima kritikan termasuk daripada Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

Pada masa sama, anggota Majlis Tertinggi (MT) dan Ketua Umno Batu Pahat itu juga semakin keras dalam kenyataan medianya, termasuk membayangkan menyimpan rahsia sulit sejumlah calon BN.

Selasa lalu, ketika menyangkal kritikan Zahid bahawa Batu Pahat memerlukan muka baru kerana BN kian lemah di kawasan Parlimen itu, Puad mendakwa seorang calon mempunyai "masalah moral".

Beliau bagaimanapun tidak menamakan calon itu. Selepas mengeluarkan dakwaan itu, satu laporan polis yang dibuat pada 2011 muncul kembali di media sosial dan dikatakan berkenaan calon tersebut.

Laporan polis itu mendakwa seorang imam bersama-sama anggota polis menyerbu sebuah rumah di Johor dan kemudiannya menahan seorang lelaki dan dua perempuan - salah seorang perempuan itu adalah calon tersebut.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 27(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 atas kesalahan khalwat.

Kecam kaedah pemilihan

Dalam satu kenyataan lain semalam, Puad mengalihkan sasarannya terhadap Menteri Besar sementara Johor Datuk Seri Khaled Nordin. Beliau menyalahkan Khaled di atas penggugurannya sebagai calon.

Dalam kenyataan itu, Puad sekali lagi membayangkan masalah moral seorang calon BN lain.

"Sebab itu saya kata sistem kita sudah rosak oleh mereka yang mengatakan sistem kali ini terbaik. Sehingga ada calon yang gambarnya di atas katil bersama perempuan bukan mahram juga terpilih sebagai calon," katanya.

Sekali lagi beliau tidak menamakan calon yang dimaksudkannya itu.

Pada 25 April lalu, Puad meletakkan jawatannya sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) atas sebab tidak berbaloi untuk mempertahankan kerajaan.

Pada PRU 2013, Puad tewas di kerusi Parlimen Batu Pahat yang disandangnya di tangan calon PKR Datuk Idris Jusi dengan perbezaan 1,732 undi.

Pada PRU kali ini, beliau digantikan dengan Ketua Wanita Batu Pahat Haliza Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-