Sunday, May 27, 2018

PAS tuntut janji PAN bentang RUU355

27 MEI: PAS mendakwa bekas pemimpinnya yang kini Ahli Parlimen PAN terikat kepada janji untuk membolehkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 2016 (RUU 355) dibentangkan di Parlimen.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata beberapa pemimpin parti itu dikatakan pernah mendakwa perlu membentuk kerajaan Persekutuan terlebih dulu bagi membolehkan suara mereka didengar di Parlimen.

“Kini mereka sudah berjaya membentuk kerajaan baharu menggantikan BN. Kita akan melihat sama ada mereka akan mengotakan janji sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita masih menaruh harapan tinggi pembentangan RUU 355 dapat diteruskan menerusi kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH),” katanya di petik BH Onlinehari ini.

PAN merupakan salah satu parti komponen PH yang kini membentuk kerajaan Persekutuan bersama PKR, DAP, PPBM, manakala parti Warisan Sabah menyokong dasar gabungan, walaupun tidak menyertai secara rasmi.

Dua pemimpin kanan PAN iaitu Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub kini merupakan sebahagian daripada kabinet di bawah pentadbiran perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Amar mengingatkan pemimpin parti pembangkang lain supaya memberi ruang dan peluang kepada kerajaan baharu PH.

“Ketika ini adalah terlalu awal untuk kita membuat sebarang kritikan, sebaliknya melihat apa yang akan dilakukan PH termasuk menunaikan janji dalam tempoh 100 hari pemerintahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-