Wednesday, May 23, 2018

'Saya dah letak jawatan' - Azeez Rahim

MyMetro
Utama
Reza Rizanizam
mrizanizam@nstp.com.my
ABDUL Azeez Abdul Rahim. FOTO arkib NSTP

DATUK Seri Abdul Azeez Rahim hari ini mengesahkan beliau sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) beberapa hari selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Beliau, ketika dihubungi wartawan NSTP berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada bahagian perundangan Tabung Haji sebaik sahaja kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

“Memang saya dah letak (jawatan Pengerusi TH) hari tu (selepas BN kalah) dah betullah tu. Lepas tarikh itu (9 Mei), saya beri pada legal (bahagian undang-undang TH).

“Saya ikut cara selamat, sama letak jawatan. Saya serah pada bahagian perundangan TH, dia kena bagi (surat letak jawatan) pada menteri. Kerajaan baharu tak nak (wakil) kerajaan lama, kita kena hormatlah, letak semua jawatan, bagi surat,” katanya.

Ditanya adakah tarikh peletakan jawatannya itu dibuat sama pada 14 Mei iaitu tarikh sama Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi FELDA Abdul Azeez mengakuinya.

“Ya, saya bagi pada mereka,” katanya ringkas.

Media hari ini melaporkan Ahli Parlimen Baling itu mengesahkan beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengunjungi rumahnya semalam.

Beliau yang dihubungi oleh Astro AWANI mengesahkan kira-kira 10 anggota SPRM datang ke rumahnya sekitar jam 1 petang semalam sebelum memaklumkan kepada beliau untuk operasi menggeledah.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Abdul Azeez berkata, sebahagian daripada wang tunai RM500,000 yang dirampas oleh SPRM dalam pemeriksaan di kediaman dan pejabatnya semalam adalah untuk digunakan bagi misi ke Gaza, Palestin selain sebahagiannya adalah peruntukan perbelanjaan UMNO Bahagian Baling.

"Wang berkenaan adalah untuk perbelanjaan ke Gaza, Palestin yang dirancang selepas PRU-14 manakala wang yang dirampas di Baling pula adalah milik UMNO Bahagian Baling dan sepatutnya diberikan kepada rakyat sempena bulan puasa dan sambutan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi," katanya

Tambah beliau, selain wang tunai, SPRM turut merampas jam serta pelbagai mata wang asing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi turut mengesahkan mengenai pemeriksaan berkenaan dan rampasan keseluruhan RM500,000 diperoleh dari tiga lokasi yang diperiksa dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud, turut mengesahkan pemeriksaan dibuat di kediaman Abdul Azeez di Taman Bemban, Kupang dan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen di Batu 42, Pulai malam tadi.

Bagaimanapun katanya, maklumat lanjut mengenai kes yang disiasat perlu dirujuk kepada SPRM Putrajaya kerana dikendalikan oleh ibu pejabat dan SPRM negeri sekadar membantu.

Berita berkaitan:

Hanya pemeriksaan biasa - Abdul Azeez

SPRM serbu rumah, pejabat Azeez


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 6:40 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-