Thursday, June 28, 2018

Najib hanya tunggu masa...?

Zainudin Isa
cnews@nstp.com.my

DATUK Seri Najib Razak. FOTO Arkib NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad menjangkakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan didakwa di mahkamah, tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan Najib termasuk dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) nyata menyebabkan kerosakan besar kepada sistem negara.

“Ada yang bertanya kenapa begitu lama tiada tindakan pun, tapi dia diberi layanan sebagai mantan Perdana Menteri.

“Saya fikir tidak lama lagi, untuk bawa kes ini (1MDB) ke mahkamah, ia memerlukan bukti mencukupi supaya tidak kalah di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada lebih 300 warga Malaysia pada Sesi Khas Bersama Perdana Menteri di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia, malam ini.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Dr Mahathir berkata, penyiasat perlu menentukan wang dan pembelian barangan mewah datang daripada wang 1MDB.

“Kena tentukan Najib dan isterinya (Datin Seri Rosmah Mansor) dan Jho Low (Low Taek Jho) akan diteliti dan kumpul bukti jelas yang tidak dapat dinafikan oleh peguam Najib di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga didesak untuk membuka semula banyak kes perbicaraan yang tidak diadili dengan baik di bawah pentadbiran terdahulu.

Ini katanya, termasuk perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan kerajaan beri jaminan ia akan dibuat mengikut lunas undang-undang.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai sokongan rakyat Malaysia di luar negara yang bersemangat untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) dan menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:01 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-