Friday, July 13, 2018

Gugur semua dakwaan terhadap peguam Fadiah, gesa Maria Chin

FMT Reporters | July 12, 2018

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, ia menunjukkan intimidasi polis masih berlaku dan siasatan sedemikian tiada tempat dalam Malaysia hari ini.
Maria Chin Abdullah berkata, PH menerusi manifestonya berjanji akan memansuhkan Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan yang melanggar hak asasi manusia.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa Kementerian Dalam Negeri dan polis menggugurkan semua siasatan ke atas aktivis dan peguam, Fadiah Nadwa Fikri.

“Ia perlu dinyatakan dengan jelas siasatan seperti ini sama sekali tiada tempat di Malaysia hari ini.

“Polis mempunyai tanggungjawab melindungi rakyat Malaysia dan tidak menggunakan undang-undang melampau yang terus mencemarkan imej negara ini,” kata bekas pengerusi Bersih 2.0 itu dalam kenyataan hari ini.

Fadiah dipanggil polis di bawah Akta Perhimpunan Aman, sehari selepas beliau disoal siasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung satu artikel tulisannya yang menyentuh institusi diraja.

“Saya terkejut dengan siasatan polis berhubung artikelnya.

“Saya bertambah marah yang Fadiah akan disosial siasat polis pada 17 Julai ini di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman kerana menghadiri perhimpunan solidariti menyokongnya.

“Ini menunjukkan intimidasi polis masih berlaku.”

Maria berkata, sudah sampai masanya untuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan bagi mengembalikan integriti serta menghormati pasukan polis.

“Sebagai kerajaan baru, kami perlu menunjukkan kepimpinan dan menghapuskan undang-undang drakonian serta Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan dengan segera.”

Katanya, walaupun wujud bantahan terhadap catatan Fadiah, tiada alasan untuk polis menyoal siasatnya 2 kali di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan.

“Kedua-dua akta ini sudah disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk dimansuhkan kerana ia melanggar hak asasi manusia.

“Bergerak ke arah Malaysia demokratik bermakna kita perlu membuka laluan untuk menghentikan penyalahgunaan hak asasi manusia.

“Tidak patut berkompromosi mengenai perkara ini.”

Terdahulu, organisasi lain seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) dan peguam termasuk Ramkarpal Singh, turut menggesa kerajaan PH memansuhkan Akta Hasutan seperti dijanjikan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-