Tuesday, July 31, 2018

Anwar tolak spekulasi Tun M 'guna' Azmin untuk kurangkan pengaruhnya

Kosmo Online/
Terkini/
SUHANA MD. YUSOP
31 Julai 2018 10:26 PM

Anwar Ibrahim (duduk, dua kanan) beramah mesra bersama Jamilah Sahak (duduk tiga kiri), 44, isteri Allahyarham Suhaimi Shafiei sewaktu hadir pada majlis Tahlil di kediaman keluarga Allahyarham di Setia Alam di sini hari ini.

SHAH ALAM - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang 'menggunakan' Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengurangkan pengaruhnya dalam kerajaan dan parti.

Beliau berkata, adalah tidak wajar setiap langkah yang diambil Perdana Menteri dilihat dalam konteks politik kerana beliaU mempunyai alasan sendiri demi kepentingan negara.

"Tidak, saya rasa itu (spekulasi) agak jauh. Saya tidak rasa kamu patut terjemahkan setiap langkah Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir) dalam konteks politik.

"Ketika saya dalam jawatan, sudah tentu saya memutuskan mengikut keutamaan dan cara saya.

"Kini, biarlah Tun (Mahathir) diberi kebebasan untuk mentadbir negara,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tahlil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafie di sini malam tadi.

Anwar berkata, beliau tidak boleh menghalang sesiapa sahaja untuk membuat sebarang spekulasi tetapi ia sedikit pun tidak merisaukan dirinya.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.

Semalam, Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menolak dakwaan bahawa Mahathir sedang menggunakan beliau untuk 'mengawal' Anwar.

Dalam perkembangan lain, Anwar ketika ditanya pandangannya mengenai khabar angin berhubung pertandingan jawatan Presiden dalam pemilihan PKR Ogos ini memaklumkan ia masih belum disahkan secara rasmi setakat ini.

"Kita tidak boleh layan desas-desus kerana masih belum ada keputusan yang sah. Azmin ada jumpa saya di Istanbul, Turki, tetapi beliau tidak pernah bangkit soal (pemilihan) ini.

"Belum sah ada pertandingan atau tidak. Kalau ada pertandingan pun, kita kena hormati peraturan dan etika dan saya percaya Jawatankuasa Pemilihan PKR akan pastikan perkara itu dipatuhi," ujarnya.

 - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-