Monday, July 30, 2018

PAS: Jangan ghairah bantu sekolah swasta Cina, tapi anak tirikan sekolah agama

Faiz Zainudin | July 30, 2018

Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua institusi pendidikan, tetapi ia tidak bermakna peruntukan perlu diberikan sama rata, sebaliknya ia bergantung kepada keperluan sesebuah sekolah.
Khairuddin Aman Razali tidak mempersoalkan langkah kerajaan membantu sekolah menengah persendirian Cina, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada sekolah yang memerlukan.

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali mendesak kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak menganaktirikan sekolah agama rakyat dalam keghairahan membantu sekolah menengah persendirian Cina.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau tidak mempersoalkan langkah kerajaan memberi bantuan kepada sekolah menengah persendirian Cina, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada sekolah yang memerlukan.

Khairuddin yang juga bendahari Dewan Ulama PAS Pusat berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua institusi pendidikan, tetapi ia tidak bermakna peruntukan perlu diberikan secara sama rata, sebaliknya ia bergantung kepada keperluan sesebuah sekolah itu.

“Keadilan tidak semestinya sama. Keadilan ialah memberikan hak kepada yang berhak, beri bantuan kepada yang perlu dibantu.

“Bantuan perlu diberikan kepada pusat pendidikan yang memerlukan bantuan kewangan seperti sekolah agama rakyat yang selalunya tidak mempunyai pembiayaan dari kerajaan dan korporat.

“Adapun sekolah yang telah dibiayai korporat dengan dana besar, ia tidak perlukan bantuan kewangan kerajaan persekutuan. Itulah erti keadilan,” katanya kepada FMT mengulas pendirian Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyediakan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina.

Minggu lalu, Maszlee dalam jawapan bertulis kepada Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Parlimen berkata, kerajaan tidak dapat memberikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina kerana ia sama seperti sekolah agama persendirian dan agensi pendidikan swasta lain yang bukan merupakan sekolah kerajaan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh kemudiannya mengingatkan Maszlee berhubung pendirian kerajaan PH menyokong sekolah menengah persendirian Cina dan janji mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Selepas dikritik, Maszlee berjanji menyediakan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina yang akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik dalam bentuk perbelanjaan pembangunan.

“Berdasarkan prestasi ekonomi keseluruhan, kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memutuskan keperluan dan bentuk peruntukan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-