Monday, July 30, 2018

Pemuda Umno: PM patut pecat Kula Segaran


Hari ini anggota Pemuda Umno di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata permohonan maaf wakil rakyat DAP itu tidak mencukupi.

“Walaupun beliau meminta maaf dalam kenyataannya semalam tetapi bagi kita pernyataan maaf sahaja tidak cukup.

"Beliau seharusnya mengambil tanggungjawab meletak jawatan kerana beliau seorang menteri dan harus lebih tinggi kebertanggungjawaban moral," katanya.

Jika Kula Segaran enggan meletakkan jawatan, Asyraf berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memecatnya atas dasar menganggu ketenteraman antara kaum.

“Jika beliau tidak mahu meletakkan jawatan kita minta perdana menteri agar memecat beliau atas dasar ini adalah unsur-unsur yang boleh menghancurkan kestabilan dan ketenteraman antara kaum.

“Beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh difahami sebagai hasutan dan boleh mencetuskan ketidaktenteraman,” kata Asyraf, dipetik laporan Umno Online.

'Istilah pendatang'

Asyraf mendakwa seorang warga negara biasa bernama Abdullah Zaid didenda di bawah Akta Hasutan apabila menggunakan istilah 'pendatang' terhadap orang Cina pada masa lalu.

“Jadi kita tidak mahu seorang menteri dalam konteks ini boleh terlepas begitu sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Kula Segaran telah menafikan laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kula Segaran dakwa Melayu bangsa pendatang"

Menyifatkannya sebagai fitnah dan pembohongan, Kula berkata tidak pernah berkata begitu dan kenyataannya pada majlis di Nilai minggu lalu itu telah diputar belit tanpa konteks.

Biarpun begitu, naib pengerusi DAP itu akhirnya mengambil keputusan untuk memohon maaf.

“Saya sepenuhnya mohon maaf terhadap pihak yang terluka dan menarik ucapan ofensif dalam ucapan spontan itu,” katanya.

Kulasegaran juga berkata beliau tidak pernah menjadi sosok kontrroversi dalam isu kaum dan agama dan berikrar mempertahankan perlembagaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-