Sunday, July 29, 2018

Ramasamy temui Asri di Jakim esok

Bernama | July 29, 2018

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata, pertemuan 3.30 petang itu diatur Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.
P Ramasamy berkata, Zakir Naik tidak akan menyertai perjumpaan tertutup itu. (Gambar Bernama)

BUTTERWORTH: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy akan hadir ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya petang esok untuk membincangkan dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ramasamy berkata, pertemuan pada 3.30 petang yang diatur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa itu akan turut dihadiri Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

“Mediasi akan dilakukan oleh Datuk Mujahid dan ini adalah perjumpaan tertutup. Perbincangan ini adalah satu usaha yang diambil Datuk Mujahid. Saya memang terbuka dalam hal ini dan saya hormati usaha Datuk Mujahid. Ini (perbincangan) bukan satu perkara luar biasa.

“Kalau ada peluang untuk perbincangan, kita boleh berjumpa dan mungkin diselesaikan…perjumpaan ini saya alu-alukan. Ini adalah satu isu penting dalam demokrasi,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian cermin mata percuma kepada 500 warga emas dan pelajar sekolah oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, hari ini.

Ditanya sama ada penceramah agama terkemuka, Dr Zakir Naik akan turut serta dalam pertemuan itu, beliau berkata, pertemuan itu tidak melibatkan Zakir.

Mengulas demonstrasi beberapa kumpulan yang mendesak beliau meletak jawatan sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang di Komtar pada Jumaat lepas, Ramasamy berkata, itu adalah perkara biasa dalam suasana politik bebas dan beliau tidak mempunyai masalah asalkan mereka mematuhi undang-undang.

Katanya, isu itu kini dalam siasatan polis dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat.

“Polis sudah ambil kenyataan saya minggu lepas dan sebelum itu lagi. Setakat ini, saya tidak terima apa-apa ugutan berhubung perkara ini. Kalau saya terima ugutan, saya akan laporkan kepada polis,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid dilaporkan sedia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian membabitkan Zakir dan Ramasamy, susulan cadangan penganjuran perdebatan secara terbuka antara penceramah agama terkemuka itu dan Adun Perai itu oleh Asri bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Gambar yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik pro-LTTE, V Gopalasamy yang dikatakan diambil dalam majlis perkahwinan baru-baru ini tular di media sosial dan menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak di Sri Lanka yang dianggap pengganas oleh beberapa negara.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy atas dakwaan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-