Sunday, July 29, 2018

Calon PKR terus harapkan undi PAS



Zawawi (kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika majlis selawat dan cukur jambul bersama wanita Sungai Kandis. FOTO Syarafiq Abd Samad

CALON PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin sekurang-kurangnya 50 peratus ataupun 3,000 penyokong PAS di DUN itu akan mengundinya pada 4 Ogos ini.

Beliau menyuarakan keyakinan itu berdasarkan hasil pertemuan dengan penyokong parti Islam berkenaan ketika berkempen di beberapa tempat seperti surau dan masjid di Sungai Kandis pada sebelah pagi, petang dan malam.

“Di DUN Sungai Kandis, lebih 7,000 orang mengundi PAS pada pilihan raya umum lalu dan kita sasar sekurang-kurangnya 50 peratus ataupun 3,000 daripada jumlah pengundi itu akan mengundi saya kali ini,” katanya pada sidang media hari kesembilan kempen PRK itu di Shah Alam, hari ini.

Mohd Zawawi berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan pimpinan PAS agar anggota parti itu mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pada PRK itu.

Beliau berkata meskipun terdapat arahan daripada pimpinan PAS untuk mengundi calon pembangkang, namun mengikut sistem demokrasi, anggota parti itu mempunyai pilihan untuk mengundi calon yang wajar dan layak mewakili mereka.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi menepis dakwaan sesetengah pihak semalam kononnya beliau menggunakan kemudahan Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun untuk berkempen bagi PRK Sungai Kandis, sebaliknya calon PKR itu menjelaskan beliau dijemput oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu untuk melepaskan acara ‘fun run’ di sekolah berkenaan.

“Saya diundang oleh pihak PIBG atas penghargaan saya merealisasikan pelbagai kemudahan di sekolah itu termasuk padang sekolah sewaktu saya menjadi Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan dan saya pun tidak langsung berucap pada program itu, sebaliknya hanya melepaskan acara larian,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis yang adalah PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Dalam PRK itu, selain Lokman, Mohd Zawawi ditentang calon Bebas, K. Murthy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 9:36 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-