Saturday, July 21, 2018

Undi BN isyarat tidak puas hati terhadap kerajaan PH, kata Lokman Adam

Mohamad Fadli | July 21, 2018

Lokman Adam merayu pengundi berdaftar di Sungai Kandis keluar mengundi untuk beri isyarat tidak puas hati kepada PH.
Lokman berkata beliau bukan sahaja bawa suara BN tetapi suara rakyat yang tidak berpuas hati terhadap isu seperti hak istimewa Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang diperlekeh.

SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam menyeru pengundi memilihnya dalam pilihan raya kecil 4 Ogos depan sebagai isyarat ketidakpuashatian mereka terhadap pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat 2 bulan ini.

Lokman mengakui adalah sukar untuknya menang, tetapi jika beliau dapat mengurangkan undi PH sudah cukup untuk memberi mesej bahawa rakyat tidak berpuas hati terhadap pemerintahan PH setakat selama 2 bulan ini.

“Saya merayu pengundi berdaftar di Sungai Kandis supaya keluar mengundi untuk beri isyarat itu kepada PH.

“Saya bukan sahaja membawa suara BN tetapi membawa suara rakyat yang tidak berpuas hati terhadap beberapa isu seperti hak istimewa Melayu yang dipersenda dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan diperlekeh,” katanya ketika ditemui di luar Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima penamaan 3 orang calon untuk pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dijadualkan 4 Ogos depan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata 3 calon itu adalah dari PKR, Barisan Nasional (BN) dan Bebas.

Ahmad Zaharin berkata calon PKR ialah Zawawi Mughni, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas Murthy Krishnasamy.

Sementara itu, calon PKR, Zawawi berkata beliau dan partinya telah bersedia 100% untuk berkempen dalam PRK kali ini.

Beliau berharap pengundi dapat meneruskan misi dan mandat yang diberikan kepada PKR sebelum ini bagi membela rakyat di Sungai Kandis.

“Alhamdulilah proses penamaan calon berjalan lancar dan tidak ada penolakan. InshAllah kita akan bertemu di gelanggang pilihan raya kecil.

“Kami merayu mandat ini diteruskan dan saya yakin rakyat bukan beri kepercayaan kepada saya tetapi kepada parti yang tunjuk ‘track record’ terbaik setakat ini,” katanya.

Calon Bebas, Murthy pula berkata beliau, yang kini bersara selepas berkhidmat dengan kerajaan negeri Selangor selama 30 tahun, memutuskan untuk bertanding bagi membela nasib rakyat di kawasan itu.

Murthy, 60 yang berasal dari Klang, Selangor enggan mengulas lanjut, tetapi percaya tidak salah untuk beliau mencuba nasib bertanding di situ.

“Ini negara demokrasi biar rakyat yang tentukan,” katanya ringkas.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum lepas, PKR mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dengan majoriti 23,998 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.

SPR menetapkan hari pengundian pada 4 Ogos depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-