Wednesday, August 8, 2018

Kes pendakwaan Najib pindah ke Mahkamah Tinggi

By Mohammad Arif Nizam
- 8 Ogos 2018

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambaikan tangan kepada para media sambil diiringi pegawai polis semasa tiba di mahkamah bagi sebutan kes melibatkan rasuah di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini didakwa lagi atas pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) di Mahkamah Sesyen di sini.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFA) 2001.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjadi Perdana Menteri dan penasihat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Barisan pendakwaan yang diketuai Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon supaya kesemua kes terhadap Najib dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk pengakuan diambil.

Hakim Azura Alwi membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Menurut Seksyen 4, seseorang itu secara langsung atau tidak langsung melakukan kesalahan terlibat dalam transaksi hasil aktiviti haram, memperoleh, menerima, memiliki, mengalihkan atau membawa masuk ke dalam negara hasil aktiviti haram.

Jika sabit bersalah, bekas Presiden UMNO itu boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn. Bhd berjumlah RM42 juta.

 – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-