Sunday, August 19, 2018

Mengapa Pakatan Harapan Bimbang Penyatuan PAS-UMNO


KESEDIAAN dua parti Melayu terbesar negara, PAS dan UMNO untuk menjalin kerjasama lebih erat dipandang sinis sesetengah pihak.

Dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH), mereka mengecam dan mengejek kerjasama ini yang dianggap kesanggupan “parti lebai” berpakat dengan “parti kleptokrasi.”

Ini hanyalah sedikit gambaran negatif yang dihamburkan oleh PH terhadap kerjasama PAS-UMNO ini, apa yang berlegar di media sosial lebih buruk lagi.

Mereka memberikan kecaman, ejekan, dan analisis palsu untuk menunjukkan kerjasama PAS dan UMNO akan menyebabkan rakyat menolak kedua-dua parti ini.

Sebenarnya mereka bertujuan supaya orang Melayu dalam PAS dan UMNO segan dan bimbang untuk bersatu.

Kerjasama PAS dan UMNO ialah penyatuan rakyat majoriti Malaysia dan penyatuan parti Melayu paling diyakini dan paling besar jumlah ahli.

Inilah yang menyebabkan penentang kuat kuasa politik orang Melayu berasa bimbang, kerana penyatuan PAS dan UMNO akan menguatkan kuasa politik Melayu.

Sebab kenapa perlu kerjasama ini amat mudah, yakni perpecahan orang Melayu telah menyebabkan DAP yang mewakili segala kepentingan bukan Melayu berkuasa dalam PH.

Hanya penyatuan PAS-UMNO boleh memberikan jumlah yang kuat untuk memberikan tentangan pada PH yang dikuasai DAP.

Dalam pilihan raya umum lalu, kuasa Melayu terpecah akibat PAS dan UMNO sama-sama bertanding di kerusi yang sama di banyak tempat.

Pertandingan tiga dan lebih penjuru ini memecahkan undi Melayu, dan pada masa itu, PH yang disokong penuh bukan Melayu juga menerima undi Melayu.

Kedua-dua parti Melayu ini juga masih belum jelas kerjasamanya, malah di pihak PAS terlalu banyak berdolak-dalik.

Sekarang ini sebagai pembangkang, tekanan untuk PAS dan UMNO bekerjasama semakin kuat.

Desakan untuk bekerjasama sekarang makin jelas selepas melihat sendiri apa yang dilakukan oleh PH dan penyokong mereka.

Cabaran terhadap agama dan bangsa Melayu semakin hari semakin kuat, hingga amalan maksiat seperti seks songsang sendiri mahu diiktiraf sebagi normal.

Kerjasama dalam pilihan raya kecil Seri Setia sekarang ini menandakan satu permulaan yang baik bagi kedua-dua PAS dan UMNO untuk terus meningkatkan kerjasama.

Selepas ini, perkembangan di Perak pula memerlukan perhatian untuk ditangani PAS dan UMNO, untuk membuktikan komitmen mereka dalam membela bangsa dan agama. 

Mynewshub.tv

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-