Friday, August 24, 2018

Najib Gesa PH Tubuh RCI dan Siasat Tiga Projek Jika Syaki Ada Salah Laku

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Abdul Mursyid Zainuddin
August 24, 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tiga projek berkaitan China bagi menentukan sama ada wujudnya salah laku.

Projek berkenaan adalah Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip gas oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendesak kerajaan PH mendedahkan kesemua perjanjian, kajian kebolehlaksanaan, kajian impak ekonomi dan analisa manfaat kos bagi membolehkan rakyat menilai dengan sendiri sama ada baik atau sebaliknya bagi Malaysia meneruskan atau membatalkan ketiga-tiga projek tersebut.

“Rakyat berhak mengetahui jika keputusan membatalkan itu dibuat atas alasan yang munasabah serta kukuh dan tidak dibuat bersandarkan kepada kemarahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) atau terhadap kerajaan China yang tidak mahu tunduk dengan kemahuan PH.

“Sehingga kesemua dokumen itu didedahkan, saya kecewa dan sedih bagi penduduk Pantai Timur Semenanjung kerana akan kehilangan pembangunan pemangkin kemajuan negeri mereka dan peluang untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi sama seperti yang diperoleh penduduk di pantai barat,” katanya menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan Malaysiakini, mengakui tidak mudah untuk membatalkan projek mega dibiayai negara China yang telah ditandatangani persetujuannya.

Kata beliau, apa yang telah beliau lakukan adalah menetapkan prinsip tentang bagaimana untuk bergerak ke hadapan tetapi sama ada projek itu akan dibatalkan, ditangguhkan atau diselesaikan melalui cara lain, belum dapat ditentukan lagi.

Selasa lalu, Dr. Mahathir dalam sidang akhbar di Beijing, China, memberitahu kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP).

 – UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-