Saturday, August 4, 2018

Najib: Ini peluang rakyat beri amaran pada HARAPAN


PRK SG KANDIS | Dalam gesaan terakhirnya buat pengundi PRK Sungai Kandis, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa mereka menggunakan peluang ini untuk memberi amaran kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) agar tidak mengambil kesempatan atas kemenangan mereka pada PRU lalu.

Beliau berkata HARAPAN perlu diingatkan bahawa rakyat tidak suka kerajaan yang tidak menepati janji dan mengamalkan fitnah.

"Hari ini adalah hari mengundi untuk PRK Sungai Kandis. Hari ini juga penanda bahawa hanya tinggal 14 hari untuk genap 100 hari PRU ke-14. Tetapi berapa daripada sepuluh janji ini telah ditepati?

"Banyak lagi janji dan tuduhan kelihatan sebagai penipuan dan fitnah sahaja. Lebih parah, harga barang tidak turun selepas GST disifarkan dan akan naik bulan depan apabila SST diperkenalkan.

"PRK ini peluang untuk rakyat membantah dan menghantar amaran kepada pemerintah bahawa mereka tidak suka fitnah, tak mahu ditipu dan setiap janji perlu ditepati," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Antara janji yang disebut Najib adalah penurunan harga petrol, pemansuhan tol, penghapusan hutang Felda dan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk 1MDB.

Untuk rekod, berdasarkan manifestonya, pemansuhan tol tidak termasuk dalam janji 100 hari manakala siasatan terhadap skandal 1MDB tidak semestinya melalui RCI.

Pada 31 Mei lalu, Lim berkata kerajaan mungkin perlu menangguhkan pelaksanaan beberapa janji 100 hari - antaranya pengenalan subsidi petrol bersasar dan penyelarasan dan peningkatan gaji minima - ekoran keadaan kewangan negara yang buruk.

Najib sekali lagi menggesa pengundi Sungai Kandis agar menguatkan suara pembangkang dengan memilih calon BN Datuk Lokman Noor Adam.

"Beliau terbukti seorang pejuang berani memperjuangkan kebenaran dan tidak akan berhenti mempertahankan keadilan demi rakyat," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-