Showing posts with label PRK Sungai Kandis. Show all posts
Showing posts with label PRK Sungai Kandis. Show all posts

Saturday, August 4, 2018

Najib: Ini peluang rakyat beri amaran pada HARAPAN


PRK SG KANDIS | Dalam gesaan terakhirnya buat pengundi PRK Sungai Kandis, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa mereka menggunakan peluang ini untuk memberi amaran kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) agar tidak mengambil kesempatan atas kemenangan mereka pada PRU lalu.

Beliau berkata HARAPAN perlu diingatkan bahawa rakyat tidak suka kerajaan yang tidak menepati janji dan mengamalkan fitnah.

"Hari ini adalah hari mengundi untuk PRK Sungai Kandis. Hari ini juga penanda bahawa hanya tinggal 14 hari untuk genap 100 hari PRU ke-14. Tetapi berapa daripada sepuluh janji ini telah ditepati?

"Banyak lagi janji dan tuduhan kelihatan sebagai penipuan dan fitnah sahaja. Lebih parah, harga barang tidak turun selepas GST disifarkan dan akan naik bulan depan apabila SST diperkenalkan.

"PRK ini peluang untuk rakyat membantah dan menghantar amaran kepada pemerintah bahawa mereka tidak suka fitnah, tak mahu ditipu dan setiap janji perlu ditepati," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Antara janji yang disebut Najib adalah penurunan harga petrol, pemansuhan tol, penghapusan hutang Felda dan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk 1MDB.

Untuk rekod, berdasarkan manifestonya, pemansuhan tol tidak termasuk dalam janji 100 hari manakala siasatan terhadap skandal 1MDB tidak semestinya melalui RCI.

Pada 31 Mei lalu, Lim berkata kerajaan mungkin perlu menangguhkan pelaksanaan beberapa janji 100 hari - antaranya pengenalan subsidi petrol bersasar dan penyelarasan dan peningkatan gaji minima - ekoran keadaan kewangan negara yang buruk.

Najib sekali lagi menggesa pengundi Sungai Kandis agar menguatkan suara pembangkang dengan memilih calon BN Datuk Lokman Noor Adam.

"Beliau terbukti seorang pejuang berani memperjuangkan kebenaran dan tidak akan berhenti mempertahankan keadilan demi rakyat," katanya lagi.

Friday, August 3, 2018

PH, kerajaan kaji semula - KJ

MyMetro
Mutakhir
Khairul Azran Husin
dan Mohd Nasaruddin Parzi
cnews@nstp.com.my
KHAIRY Jamaluddin berucap di Ceramah Rakyat ‘Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas, Klang, malam semalam. FOTO Roslin Mat Tahir

AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mendakwa kerajaan sengaja menjadikan alasan hutang tinggi sebagai modal untuk melengahkan pelaksanaan janji manifesto mereka.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sebagai sebuah kerajaan yang komited pada janji, alasan terbabit tidak boleh diterima sama sekali.

“Alasan hutang adalah untuk membeli masa supaya tidak melaksana janjinya,” katanya berucap pada program ‘Ceramah Rakyat Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas, Klang, malam semalam.

Turut hadir memberi ceramah, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa serta calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata, kerajaan sendiri mengakui banyak janji manifesto yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu tidak bersandarkan kepada data dan sumber kewangan yang tepat.

Malah, kata beliau, ada data yang diterima ketika ini adalah maklumat sama yang pernah dimaklum dan dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Ini maknanya apa tuan-tuan? Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bila meletakkan janji, dia tidak pasti sama ada boleh atau tidak ditunaikan,” katanya.

Pada ceramah itu, Khairy turut mengibaratkan PH sebagai ‘Kerajaan Kaji Semula’ ekoran penjelasannya yang tidak menyeluruh dalam soal pelaksanaan janji pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol.

“Pakatan Harapan ini adalah kerajaan kaji semula. Bila kita tanya, jawapannya dalam kajian, sedang diteliti. Walhal mereka hanya ada tempoh yang pendek iaitu 100 hari untuk melunaskan janji.

“Jadi dalam PRK kali ini, kita kena kaji semula kerajaan Pakatan Harapan ini,” katanya.

Katanya, kemenangan calon BN dalam PRK ini adalah isyarat untuk menyahut seruan kerajaan supaya suara pembangkang yang berwibawa dapat dibentuk.

“Kita sambut apa yang kerajaan mahukan. Lepas ini (harap) seorang lagi (calon BN menang di) DUN Balakong dan Seri Setia, barulah suara rakyat didengar.

“Di Parlimen kita sudah ada suara pembangkang yang kuat. Sebab itu dia tidak berani kata apa. Sebab itu kita kena ada banyak suara di DUN Selangor baru kita boleh lantang bersuara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 12:41 AM

Saturday, July 28, 2018

PAS undi mana? Takkan kena ajar satu persatu, kata Nasrudin

Anne Muhammad & Alyaa Alhadjri
Diterbitkan 28 Jul 2018, 1:04 petang


Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan sekali lagi menyatakan pendiriannya agar Pakatan Harapan (HARAPAN) tewas dalam PRK Sungai Kandis Ogos ini.

Berucap dalam Himpunan Kebangkitan Ummah hari ini, beliau malah berkata akan menyertai kempen PRK untuk tujuan itu.

"Sikap kita nak HARAPAN kalah di (Sungai) Kandis. Ada yang tak setuju?" soalnya kepada lebih 1,000 hadirin di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Kalau setuju dia (HARAPAN) kalah, pengundi PAS di Sungai Kandis nak (undi) macam mana? Takkan nak ajar ABC (satu persatu). Rakyat di depan saya sudah cerdik," katanya, disambut laungan "undi Umno" oleh para hadirin.

Perhimpunan hari ini turut disertai antaranya anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga calon BN di PRK itu Datuk Lokman Noor adam, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, dan beberapa pemimpin PAS seperti Datuk Takiyuddin Hassan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Datuk Khairuddin Aman Razali.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PKR, BN dan seorang calon bebas. PAS mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon.

[Berita penuh menyusul]

Wednesday, July 25, 2018

PRK Sg Kandis: PAS sokong Umno?

ULASAN

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Diterbitkan 25 Jul 2018, 8:34 malam


ULASAN | Selepas mengumumkan menarik diri daripada bertanding di PRK Sungai Kandis, PAS telah membuat satu lagi kenyataan yang jelas bahawa undi ahli parti dan penyokongnya di Sungai Kandis adalah tidak kepada calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

PAS juga dalam kenyataannya tidak memberikan kata putus atau memastikan ahlinya mengundi calon BN yang diwakili oleh Umno.

Mengapa? Jawapannya BN bukanlah rakan gabungan politik PAS dalam Gagasan Sejahtera. Jadi, tiada arahan wajib yang memestikan ahlinya mengundi Umno BN.

Sebaliknya, PAS yakin dengan kebijaksanan ahlinya di dalam membuat pilihan dan mengundi yang terbaik. Petunjuknya adalah:

Mengundi adalah satu kewajipan demi kebaikan negara yang memerlukan pemimpin yang baik untuk menerajuinya. Justeru PAS menyeru ahlinya agar keluar mengundi.

Arahan PAS adalah menolak kerajaan HARAPAN. Sikap dan pendirian PAS terhadap HARAPAN adalah sama, sama ada sebelum atau selepas PRU ke-14, iaitu menolak mereka.

Bagi PAS, HARAPAN bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Ancaman terhadap kedaulatan agama Islam, keadaan ekonomi dan sektor-sektor lain yang tidak stabil selepas PRU ke-14 semakin membuktikan benarnya pendirian PAS.

Kegagalan awal kerajaan HARAPAN untuk mengotakan janji-janji awal manifesto, beberapa kenyataan oleh pemimpin utamanya yang berbelit-belit bagi menjustifikasikan kegagalan mereka mengotakan janji itu, kegagalan mengawal prestasi ekonomi negara yang semakin perlahan.

Selain itu, tindakan dan kenyataan demi kenyataan oleh pemimpinnya yang mengelirukan dan boleh menggugat kerukunan perlembagaan dan Islam adalah menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan HARAPAN hari ini.

Umno abang PAS yang lupa diri

Kehendak HARAPAN untuk menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU akan datang adalah jelas melalui ucapan beberapa pemimpin utamanya.

Mengundi HARAPAN bererti menyuburkan dan membengkakkan lagi nafsu mereka untuk mengalahkan PAS. Ertinya, tindakan ahli PAS mengundi HARAPAN adalah seperti menikam diri sendiri.

Umno telah hilang nafsunya untuk mengalahkan PAS. Tiada kenyataan yang zahir dan tindakan yang nyata oleh pemimpin utamanya yang menunjukkan sedemikian.

Ertinya, Umno bukan lagi ancaman yang utama kepada PAS hari ini. Malah, beberapa petunjuk baru menunjukkan parti itu sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS. PAS amat mengalu-alukannya.

Ada yang berhujah menghentam PAS dengan berkata PAS berusaha menghidupkan Umno. PAS hanya bersandiwara, kata mereka.

Saya berkata, PAS menghidupkan Umno dengan memberi kesedaran kepada Umno dengan Islam. Umno adalah abang PAS yang lama lupa diri akibat terlalu lama di anjung kuasa.

Kesedaran Umno adalah kekuatan kepada PAS untuk memastikan Islam lebih berdaulat di bumi ini. Islam memerlukan umatnya sendiri untuk bangkit mempertahankan agamanya.

Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi Umno? Saya jawab - Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami.

Selamat mengundi demi agama dan negara.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS dan anggota parlimen Bachok.

Umno dan PAS perlu lupa sengketa lama, kata Najib

Adam Abu Bakar | July 25, 2018

Bekas perdana menteri itu berkata, kedua-dua parti itu perlu melihat semula matlamat dan tujuannya, iaitu mengangkat martabat serta kepentingan Islam tanpa melupakan komuniti lain.
Najib Razak ditemani calon BN, Lokman Noor Adam (kiri, depan) mengadakan lawatan di sekitar DUN Sungai Kandis, hari ini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, PAS dan Umno perlu melupakan persengketaan silam dan berpandangan lebih jauh.

Bekas perdana menteri itu berkata, kedua-dua parti itu perlu melihat semula matlamat dan tujuannya, iaitu mengangkat martabat serta kepentingan Islam tanpa melupakan komuniti lain.

“Ia adalah fakta jelas dalam kalangan penyokong PAS, mereka melihat komitmen Umno terhadap Islam lebih besar berbanding Pakatan Harapan (PH), saya rasa itu adalah fakta.

“Kita harus bersifat realistik kerana sudah berdekad timbulnya permusuhan di antara PAS dan Umno, tetapi mungkin masih ada perasaan yang kita tidak boleh abaikan.

“Harap rakyat sedar apa yang penting bukanlah apa yang berlaku di masa silam, tetapi di masa hadapan,” katanya selepas mengadakan lawatan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Kandis, hari ini.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dengan calon PH, Zawawi Ahmad Mughni serta calon bebas, K Murthy, selepas PAS tidak menurunkan calon atas prinsip satu lawan satu untuk memberi peluang terbaik kepada pembangkang.

Najib Razak mengakui BN memberi lebih banyak bantuan kepada orang Melayu kerana kaum itu masih ketinggalan.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Umno dan PAS ialah adik-beradik kerana keputusan parti Islam itu memberi laluan kepada Umno bertanding menentang PH di Sungai Kandis, tetapi ia dinafikan pemimpin 2 parti pembangkang itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, walaupun tidak menurunkan calon dan jentera, ahli PAS perlu melakukan pertimbangan wajar demi kepentingan Islam-Melayu serta masa depan negara.

Semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti Islam itu menolak sebarang kerjasama, termasuk duduk sepentas berceramah ataupun berkempen dengan BN di Sungai Kandis.

Calon BN, Lokman bagaimanapun berkata, BN tidak mampu menewaskan PH di Sungai Kandis tanpa sokongan dan bantuan PAS.

Najib berkata, terpulang kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memujuk pimpinan PAS menyokong calon BN di Sungai Kandis.

“Itu saya serahkan kepada Zahid, dia adalah presiden parti, jadi dia berhak lakukan apa sahaja yang diperlukan. Saya di sini hanya membantu apa yang termampu bagi memastikan calon kita menang pilihan raya kecil.”

Sementara itu, Najib menafikan dakwaan Umno kini hanya memperjuangkan nasib bangsa Melayu sehingga mengabaikan bangsa lain.

“Itu saya nafikan sebab kalau lihat sejarah Malaysia, kita merdeka hingga bentuk Perlembagaan dan dasar atas satu konsep, iaitu demi kepentingan semua kaum.

“Kita beri bantuan lebih kepada orang Melayu sebab majoriti orang Melayu ketinggalan, hasil atau kesan daripada legasi peninggalan penjajah, kita balik semula pada semangat dan prinsip dasar ekonomi baru.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pengundi di Sungai Kandis masih menerimanya walaupun berdepan dakwaan salah laku dikaitkan dengan 1MDB.

“Apa yang saya lihat, ia suatu penerimaan yang baik, tetapi kawasan ini sangat luas dan terdapat pelbagai jenis orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ini hanyalah lawatan pertama dan kita lihat bagaimana seterusnya.”

PRK Sungai Kandis akan diadakan 4 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).

Statistik pilihan raya umum ke-14 menunjukkan 72% daripada 50,800 pengundi terdiri daripada orang Melayu, Cina (12%) dan India (16%).

Lim bertanya: Di mana suara MCA, MIC?


PRK SG KANDIS | Seorang pemimpin veteran DAP membangkitkan soalan sama ada Umno mendapat sokongan penuh daripada MCA dan MIC bagi memenangkan calon mereka, Datuk Lokman Noor Adam di Sungai Kandis.

Kata Lim Kit Siang kedua-dua parti komponen BN itu juga sepatutnya menyatakan pendirian dengan jelas sama ada mereka menganggap Lokman seorang contoh pemimpin Umno yang sesuai mewakili parti terbabit selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Mengapakah pemimpin MCA dan MIC senyap sunyi mengenai pencalonan Lokman di Sungai Kandis?" katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Lokman menegaskan dia bukan seorang rasis sebaliknya bertindak untuk menegakkan perlembagaan negara, seperti hak-hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam, bahasa serta raja-raja Melayu.

Kata Lim MCA dan MIC juga patut menyatakan pendirian masing-masing mengenai kerjasama Umno dan PAS bagi menghadapi calon Pakatan Harapan ke kerusi berkenaan.

Untuk rekod Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan berkata MCA tetap terbabit dalam kempen BN dalam pilihan raya kecil pada 4 Ogos ini walaupun tiada pemimpin parti terbabit hadir pada hari penamaan calon.

Pilihan raya kecil Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Lokman, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PKr) dan K Murthy (bebas).

PAS tidak meletakkan calon walaupun mencuba pada PRU ke-14 lalu.

[Baca berita penuh]

Tuesday, July 24, 2018

'Umno nak pujuk, tapi PAS takkan turun kempen'

N Faizal Ghazali
Diterbitkan 24 Jul 2018, 2:34 petang


PRK SG KANDIS | Pelawaan pimpinan Umno untuk bertemu pemimpin PAS di Sg Kandis ditafsirkan parti Islam itu sebagai usaha memujuk mereka turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan antara PAS dan Umno berhubung PRK tersebut.

"Kita tak ada perbincangan apa-apa tentang PRK, cuma kita buat keputusan untuk berbanding, dari segi mengundi itu serah pada ahli.

"Mana boleh bersama, kita parti lain-lain. Mungkin itu harapan dia. Dia nak pujuk kita. Kita tidak akan berkempen, turun pun tidak," jelasnya kepada media ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bahru, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa telah bertemu seorang pemimpin PAS untuk mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu.

Ismail yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata program itu nanti akan mempertemukan dua parti itu di pentas yang sama, walaupun tidak dianjurkan secara rasmi atas nama parti.

"Sebagai contoh, (boleh diadakan) forum perdana Islam yang menampilkan Syamsul Debat yang mewakili Umno dan Ustaz Azhar Idrus yang mewakili PAS.

"Kita mahu tunjukkan ada kerjasama antara Umno dan PAS. Kalau boleh, mungkin kita letakkan setiausaha agung Umno dan PAS pada malam terakhir (kempen)," kata Ismail.

Malah calon BN, Datuk Lokman Noor Adam juga berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaandengan pemimpin PAS bagi mengajak parti itu bersama-sama BN mendekati pengundi Melayu.

Sebagai rekod, PAS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menunjukkan parti itu akan berpihak kepada mana-mana parti pada PRK kali ini.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, ketiadaan calon PAS bukanlah bermakna mereka akan bekerjasama dengan Umno.

Ismail Sabri: Umno, PAS setuju anjur program bersama di Sg Kandis

Lum Chee Hong
Diterbitkan 24 Jul 2018, 12:20 tengah malam


PRK SG KANDIS | Datuk Seri Ismail sabri Yaakob mendakwa Umno dan PAS sudah sepakat untuk mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu.

Beliau yang baru menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor mendakwa, program itu akan mempertemukan dua tokoh parti itu di pentas yang sama tetapi secara rasmi tidak dianjurkan atas nama parti.

"Tadi saya sudah berbincang dengan seorang pemimpin PAS dan dia setuju. Kita mahu tunjukkan ada kerjasama antara Umno dan PAS

"Sebagai contoh, (boleh diadakan) forum perdana Islam yang menampilkan Syamsul Debat yang mewakili Umo dan Ustaz Azhar Idrus yang mewakili PAS.

"Kalau boleh, mungkin kita letakkan setiausaha agung Umno dan PAS pada malam terakhir (kempen)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengenalan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian Negeri Selangor di Kampung Sungai Kandis, malam ini.
Untuk rekod, PAS setakat ini belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi yang jelas menunjukkan parti itu akan berpihak kepada mana-mana pihak pada PRK kali ini.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata ketiadaan calon PAS bukanlah bermakna mereka akan bekerjasama dengan Umno.

Beliau juga hanya menggesa anggota parti di DUN itu agar membuat pilihan "berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam-Melayu".

Bagaimanapun dua pemimpin parti itu - Ketua Penerangan Nasrudin Hassan dan Anggota Perhubungan Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani - menggesa anggota parti menolak calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Tun Dr Mahathir tidak perlu masuk campur dalam soal hubungan PAS dan Umno.

Ia susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan langkah PAS untuk tidak meletakkan calon kerana kedua-dua parti itu adalah "adik-beradik".

"Ini adalah urusan pembangkang," katanya.

Turut hadir dalam program itu adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan.

Sunday, July 22, 2018

PAS tak tanding PRK Sg Kandis bagi mudahkan HARAPAN ditewaskan


Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis yang menyaksikan ketiadaan calon PAS adalah kerana parti itu tidak mahu memecahkan undi bagi memudahkan pihak lain yang bertanding menewaskan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketua penerangannya, Nasrudin Hassan berkata demikian melalui kenyataan di Facebook hari ini. Kenyataan itu turut disertai slogan 'Asal Bukan Pakatan Harapan - ABAH'.
"HARAPAN mesti dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis. Ia menjadi satu isyarat kepada kerajaan HARAPAN bahawa rakyat tidak mahu terus dipermainkan dengan kegagalan HARAPAN menunaikan janji pilihan raya," katanya.

Nasruddin memetik antara "kegagalan" itu ialah menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, dan menghapuskan hutang peneroka Felda.

Menyifatkan kerajaan HARAPAN sebagai perkauman, Nasrudin menambah bahawa kerajaan baru itu juga "terlalu" membuka jalan kepada pihak tertentu mempersendakan Islam.

"Suara-suara yang mengundang keresahan umat Islam makin marak bebas dan tidak diambil tindakan yang wajar oleh pihak kerajaan HARAPAN.

"Seperti gesaan agar sekolah tahfiz ditutup, terlalu memberi muka kepada LGBT, pemikiran antihadis, posisi penting dalam sektor kehakiman dan undang-undang tidak diberikan kepada orang Islam, pemikiran liberal, terdapat individu yang didakwa menyokong gerakan pengganas jadi pemimpin kerajaan, dominasi DAP yang sangat skeptikal terhadap perjuangan Islam dalam HARAPAN dan sebagainya," katanya.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Julai lalu mendedahkan pihaknya mahu berbincang dengan PAS untuk meletakkan hanya seorang calon pembangkang dalam PRK berkenaan.

Kerjasama itu, Kata Zahid, merupakan strategi pihak pembangkang dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu.

Mengulas lanjut, Nasrudin menyeru pengundi menolak HARAPAN dalam PRK Sungai Kandis kerana terdapat "1001 sebab" untuk menewaskan gabungan itu.

"Kekalahan HARAPAN dalam PRK Sungai Kandis adalah untuk menyentak lamunan mereka yang masih asyik dengan kuasa yang dimiliki agar tunaikan janji pilihan raya dan tidak lagi membohongi rakyat.

"Pilihan di tangan anda. Rakyat adalah hakim," katanya.

PRK Sungai Kandis yang dikosongkan selepas penyandangnya Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie meninggal dunia akan diadakan pada 4 Ogos ini.

PRK berkenaan akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Zawawi Mughni, calon BN Datuk Lokman Adam dan calon Bebas K Murthy.

Kempen PRK Sungai Kandis bermula

Tharanya Arumugam
tharanya@nst.com.my

KEADAAN ketika penamaan calon semalam di Sungai Kandis. FOTO/FAIL

KEMPEN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, bermula hari ini selepas penamaan calon, semalam.

Calon PRK Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni daripada PKR; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam (juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO) dan calon Bebas, K Murthy diperuntukkan 13 hari untuk berkempen sebelum hari mengundi.

Mohd Zawawi dan Lokman dijangka menghadiri pelbagai acara selain solat berjemaah sepanjang hari ini, manakala calon Bebas agak berahsia dengan gaya kempennya.

Kedua-dua calon memulakan kempen pagi ini dengan solat Subuh masing-masing di Masjid An-Naim, Jalan Kebun dan Masjid Al Rahimiah.

Ia kemudian diikuti dengan program bersarapan, bertemu rakyat dan lawatan kawasan di lokasi terpilih.

Mohd Zawawi dijangka menghadiri Program Insan Briged Wanita Prihatin di Hotel Aliya, Klang tengah hari ini.

Beliau juga dijangka menghadiri pelancaran Bilik Gerakan di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, 5 petang, hari ini.

Calon BN pula akan melawat rumah pemimpin setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, selain menghadiri majlis doa selamat pada 11 pagi untuk penduduk yang akan mengerjakan haji tahun ini.

Mohd Zawawi akan mengakhiri hari pertama kempen pilihan rayanya dengan solat Isyak berjemaah di Surau Al-Idrisiah Kampung Baru 2, manakala Lokman akan bercakap pada ceramah pertamanya sebagai calon BN di Sungai Kandis.

Program berkenaan akan diadakan bermula 9.30 malam di Kampung Jawa dan Andalas.

Pengundi Sungai Kandis bakal menyaksikan apa janji dan perancangan yang akan dibawakan kesemua calon kepada mereka dan kawasan itu sepanjang tempoh berkempen ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma. 

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), Mohd Yusof Abdullah dari PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76 undi).

Saturday, July 21, 2018

Tiga penjuru di PRK Sungai Kandis

NORHIDAYAH HAIROM & 
RAZIATUL HANUM A.RAJAK
21 JULAI 2018

Pertembungan tiga penjuru di Sungai Kandis.

SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.

Pengesahan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Dun N49 Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, sebentar tadi.

PH meletakkan calon muka baharu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang merupakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat yang juga pengetua tafiz.

BN pula mengemukakan calon yang lantang mengkritik PH, Datuk Lokman Noor Adam melalui NGO Pemantau Malaysia Baharu.

Calon Bebas pula ialah Murti Krishnasamy yang menghantar kertas pencalonannya jam 9.35 pagi.

"SPR telah menerima kertas penamaan dari tiga calon untuk bertanding PRK Dun Sg Kandis.

"Mereka telah kemukakan kertas penamaan.

Mohd Zawawi jam 9.08 pagi daripada PKR, Lokman parti BN 9.09 pagi dan Murti Krishnasamy 9.35 pagi parti Bebas," katanya ketika pengumuman.

Sementara wakil daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Kamarudin, 42 memaklumkan diarahkan parti menarik diri pada saat akhir bagi memberi laluan satu lawan satu di PRK Dun Sg Kandis.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon PRam, Hanafiah Husin (76).

Thursday, July 12, 2018

PRK Sg Kandis: Umno bincang dengan PAS letak 1 calon pembangkang

Bernama | July 12, 2018

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu merupakan strategi pembangkang untuk memastikan pertembungan satu lawan satu pada PRK itu dan memberikan saingan sengit.
Zahid Hamidi yakin masih ramai individu dan ahli parti akan menyumbang untuk membantu gerak kerja parti semasa berkempen untuk PRK DUN Sungai Kandis, susulan pembekuan akaun Umno Pusat dan Selangor. (Gambar Bernama)

BAGAN DATUK: Umno bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) akan berbincang bersama PAS untuk meletakkan hanya seorang calon pembangkang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Selangor nanti.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu merupakan strategi pihak pembangkang dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu pada PRK itu dan memberikan saingan sengit.

“Kami perlu mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain yang menjadi pembangkang, khususnya PAS untuk menentukan seorang calon sahaja akan bertanding.

“Kami akan ambil perkiraan keboleh menangan kepada parti dan juga keboleh sokongan kepada calon yang akan (diletakkan) bertanding di DUN Sungai Kandis, ertinya daripada pihak pembangkang, termasuk Umno dan parti-parti komponen BN, kami bersetuju hanya seorang calon sahaja.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kesyukuran meraikan 93 bakal haji kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini, petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Zahid turut menjelaskan perbincangan mengunakan logo Umno pada PRK itu turut dibincangkan dalam masa terdekat, selepas dicadangkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.

“Kami belum meneliti secara rasmi (cadangan) itu, biarpun ia merupakan cadangan yang diperbincangkan dalam jawatankuasa pengurusan dan saya akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat jawatankuasa politik untuk kami melihat perincian terhadap keberuntungan jika menggunakan logo di luar BN.”

Mengenai dana berkempen pada PRK nanti, susulan pembekuan akaun Umno Pusat dan Selangor, Zahid yakin masih ramai individu dan ahli parti akan menyumbang untuk membantu gerak kerja parti semasa berkempen.

“Kami tidak akan berbelanja seperti PRK terdahulu, tapi pegangan kami ialah ‘kos rendah impak yang tinggi’, itu pendekatan kami ambil nanti.”

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada pilihan raya umum ke-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada Umno, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Umno Selangor serah 4 nama

Sementara itu, Umno Selangor 4 nama yang berpotensi dipertaruhkan pada PRK DUN Sungai Kandis kepada presidennya.

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, 4 nama itu terdiri daripada pemimpin tempatan lelaki dan wanita.

“Yang kami hantar senarai nama pimpinan Umno, namun ini bukan muktamad. Saya semalam berbincang dengan presiden parti mengenai senarai nama calon cadangan kami.

“Namun, kalau pucuk pimpinan mungkin melihat kenapa tidak cuba calon bukan daripada pimpinan Umno kami kena terima, kami serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan muktamad berkenaan calon,” katanya selepas penyerahan sumbangan kepada 125 bakal haji di Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Noh berkata, Umno Selangor juga akan memberi sokongan penuh sekiranya pucuk pimpinan parti memutuskan untuk menurunkan calon luar dalam PRK itu nanti.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-