16 SEPTEMBER 2018
KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana beberapa manifesto PH terpaksa ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi negara kembali kukuh.
Menurutnya, PH tidak menyangka ekonomi negara dalam keadaan sangat teruk sehingga hutang mencecah RM 1 trilion semasa membuat manifesto berkenaan.
Tambah beliau, mereka juga terkejut apabila mendapat tahu skandal wang melibatkan 1MDB mencecah puluhan bilion ringgit sedangkan mereka menjangka ia hanya berjumlah RM3 bilion.
“Sekarang bila kita lihat, kenyataannya berbeza. Oleh demikian, saya minta maaf kerana ada manifesto yang kita boleh lakukan dan ada yang kita kena tangguhkan.
“Keadaan ekonomi kita taknizin. Masalah sekarang besar, Tun Dr Mahathir kata beri masa,” katanya dalam program dialog bersama anak muda, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menegaskan beliau memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus mentadbir negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan salah seorang peserta bertanyakan wawasan beliau sekiranya dilantik menjadi perdana menteri kelak.
“Sekarang Tun Dr Mahathir baru jadi Perdana Menteri selama empat bulan, bagi peluang dia perintah dengan baik, kita sokong dia.
“Ruang sekarang adalah untuk beri sokongan padu, saya nak kerajaan PH kuat, dihormati dan boleh laksanakan perubahan.
“Sekarang giliran Tun Dr Mahathir, kita sokong. Saya beri dia sokongan 100 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri ini berkata, dasar kerajaan PH tidak akan meminggirkan mana-mana daerah dalam negara walaupun ia dalam negeri pembangkang.
Malah, beliau juga berjanji akan menghapuskan undang-undang ‘draconian’ atau undang-undang zalim dan menindas rakyat.
“Dari segi perlembagaan, tanggungjawab kerajaan adalah untuk membantu rakyat tanpa kira fahaman politik dan agama.
“Bagi Sosma, saya alami derita (dipenjarakan), menyedarkan dan menginsafkan saya supaya dapat rasai derita orang lain.
“Sebab itu bila saya lihat Sosma, saya tak setuju bentuk undang-undang yang ada sekarang,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.