Sunday, September 2, 2018

Azmin sekolahkan 'budak kecil' tentang kesetiaan pada PKR, Anwar

Koh Jun Lin | Diterbitkan 2 Sep 2018, 9:22 malam


Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menyorot sejarah penglibatannya dalam parti itu sebagai menjawab pihak yang mempertikaikan kesetiaannya kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Azmin, beliau setia bersama Anwar sejak pemimpin PKR itu dipindahkan ke kementerian lain, dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 dan keluar masuk penjara.

Tanpa menyebut nama tertentu, Azmin juga berkata bahawa beliau tetap bersama perjuangan parti itu ketika keputusan pilihan raya umum (PRU) 2004 yang tidak begitu baik untuk PKR.

Sedangkan, katanya, pihak yang mempertikaikan kesetiaannya hidup selesa di London, Jakarta dan Australia.

Pihak yang mengkritiknya, kata Azmin, juga tidak ada ketika gerakan Reformasi 1998 yang membawa kepada penubuhan PKR.

Azmin turut menyorot pengalamannya ditahan ketika berjuang bersama PKR sepeti ketika beliau ingin menahan suspek pengundi hantu pada pilihan raya kecil Lunas 2000 namun sebaliknya beliau sendiri yang ditahan polis untuk beberapa hari.

"Ada budak kecil umur dua tiga tahun nak mempertikaikan saya terhadap perjuangan […]

"Orang ini sekarang nak cakap (tentang) Reformasi. Mereka dulu duduk di tempat-tempat mewah, bila dah selesai dah reda baru balik.

"Tiba-tiba pula datang daripada estet mana, belukar mana, (dan kata) Azmin kena buktikan kesetiaan kepada parti," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR bahagian Selangor hari ini.
Program itu yang diadakan di Petaling Jaya disertai kira-kira 500 anggota PKR yang bersorak ketika Azmin berucap.

Azmin juga menegaskan bahawa kesetiaan anggota adalah kepada perjuangan parti dan bukannya dalam bentuk bentuk penaung.

Anggota parlimen Gombak itu berkata demikian ketika beberapa pemimpin PKR mempersoalkan kesetiaannya menjelang pemilihan PKR.

Azmin akan mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden PKR yang dicabar oleh bekas anggota parlimen Pandan dan juga merupakan naib presiden PKR, Rafizi Ramli.

Antara yang mempersoalkan kesetiaan Azmin - sama ada kepada parti atau kepada Anwar - termasuklah calon ketua Pemuda PKR Akmal Nasir, Setiausaha Pemuda PKR Razeef Rakimin, Anggota Parlimen Sungai Siput S Kesavan dan Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul hamid.

Paling ketara adalah apabila Abdullah Sani mencabar Azmin dan Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin untuk meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen untuk mengadakan pilihan raya kecil yang akan memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen, seperti dilapor Malay Mail hari ini.

Dengan melakukan itu, kata Abdullah Sani, akan menjawab pertikaian kesetiaan Azmin dan Zuraida.

Ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah Sani selepas ucapannya, Azmin berkata kenyataan itu seperti menggambarkan kesetiaan diukur dari pihak yang menyerahkan kerusi.

"Dalam konteks itu dalam pemahaman saya, seolah-olah siapa yang tak serahkan (kerusi) dia tak setia. Bagaimana dengan kenyataan (Anggota Parlimen Permatang Pauh) Nurul Izzah?" katanya.

Azmin berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Nurul Izzah - yang merupakan anak perempuan Anwar - sebelum ini yang menyatakan bahawa dia tidak akan mengosongkan kerusi untuk ayahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-