6 SEPTEMBER 2018
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pas kesal terhadap kenyataan Kabinet berhubung kes rotan yang dijalankan oleh mahkamah tinggi syariah di Terengganu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Kabinet jelas mempertikaikan bidang kuasa mahkamah syariah negeri yang berada di luar bidang kuasa kerajaan Pusat.
"Pas menyeru kerajaan PH memberikan kesempatan kepada negeri-negeri melaksanakan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan mempertikaikannya.
"Apa yang dikesalkan ialah yang disensasikan dan difokuskan ialah hukuman sebat itu dan bukannya kebimbangan terhadap perbuatan LGBT yang semakin berleluasa, meskipun ia suatu kesalahan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap pasangan kekasih lesbian (musahaqah) tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh Islam.
Dr Mahathir berkata, umum mengetahui ia adalah kesalahan pertama pasangan tersebut dan mereka sepatutnya diberikan nasihat serta tidak terus dijatuhkan hukuman sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.
Menurut Tuan Ibrahim, tindakan melaksanakan hukuman rotan di khalayak ramai adalah selaras dengan perintah ALLAH SWT dalam Surah An-Nur Ayat 2.
"Apakah melaksanakan hukum yang diperintah oleh Allah boleh dianggap zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Jangan kita mendahului ALLAH dan Rasul dalam urusan hidup dunia ini," katanya.
Katanya, hukuman ke atas pesalah dengan enam kali sebatan syarie langsung tidak menyakiti apa lagi mencederakan pesalah.
"Ia sekadar memalukan dan yang lebih penting ialah dia bertaubat dan memohon keampunan ALLAH di atas kesalahannya. Bukan sahaja itu, hukum syarak juga mempunyai nilai pencegahan ke atas masyarakat di mana penyaksian ke atas hukuman itulah nilai pencegahan kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
"Ini berbeza dengan sebatan sivil yang ternyata gagal mencegah perbuatan jenayah kerana ia dilakukan secara tertutup. Kegerunan hanya ada kepada yang melakukan jenayah, bukan bersifat mencegah mereka yang belum atau berhasrat melakukan jenayah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.